Selasa, 17 April 2018 | 6:30pm
Penyanyi Ariff Bahran. - Foto Mahzir Mat Isa

Ariff Bahran dilarang bercinta

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Ariff Bahran mengakui, keluarga terutama ibu dan bapanya sentiasa memantau setiap pergerakannya supaya tidak lalai dan tersasar ketika namanya semakin dikenali.

Ariff, 20, yang juga penuntut jurusan seni di Universiti Antarabangsa Malaya-Wales berkata, ibu bapanya begitu bimbang jika namanya dikaitkan dengan isu remeh yang boleh mengganggu kerjaya dan pengajiannya.

"Kedua-dua orang tua kurang senang apabila saya terbabit dalam dunia seni. Namun, selepas melihat usaha dan kesungguhan saya sehingga single pertama, Kata Akhirmu diterima ramai, mereka mula menunjukkan sokongan.

"Kepercayaan itu bagaimanapun, datang bersama syarat. Saya tidak boleh mengabaikan pelajaran dan harus memastikan kedua-dua bidang berjalan seiring. Mereka juga tidak menggalakkan saya mempunyai kekasih kerana bimbang fokus akan fokus lari," katanya kepada BH Online.

Ariff berkata, dia tidak menduga Kata Akhirmu yang diperkenalkan sejak November tahun lalu mendapat perhatian peminat, sekali gus menaikkan namanya sebagai bakat baharu.


Ariff Bahran semasa rakaman Muzik-Muzik 33 di IOI City Mall, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Populariti lagu yang turut dicalonkan dalam program, Muzik Muzik 33 itu turut membuatkan laman Instagram Ariff dihujani lebih 90 mesej peminat menerusi 'Direct Message' (DM), setiap hari.

Mengakui teruja dengan sambutan positif itu, Ariff berkata, kebanyakan peminatnya dalam kalangan mereka yang sebaya usianya. Ia secara tidak langsung memudahkan dia berkomunikasi dan berkongsi pendapat dengan mereka.

"Peminat saya seimbang antara lelaki dan perempuan. Kami juga 'satu kepala', mungkin kerana usia kami sebaya. Saya boleh berkongsi apa sahaja dan mereka faham maksud yang cuba disampaikan.

"Cuma, saya agak terkilan apabila terpaksa berdepan peminat wanita yang memberi komen tidak senonoh. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana saya di sini untuk berkongsi bakat," katanya.

1485 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »