Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:43am
KECIK kini menggalas tanggungjawab sebagai vokalis baharu Kristal, menggantikan Lan Solo yang berundur November lalu. - Foto NSTP/Mohd Shahril Badri Saali
KECIK enggan dirinya dibandingkan dengan penyanyi asal Kristal. - Foto NSTP

'Jangan bandingkan dengan Lan Solo'

KUALA LUMPUR: Vokalis baharu kumpulan Kristal, Kecik berharap, dirinya diberi peluang untuk membuktikan bakat dan kemampuan sebenarnya tanpa perlu dibandingkan dengan penyanyi asal, Lan Solo.

Kecik atau nama sebenarnya, Mohammad Fauzi Kamarudin, 24, yang sebelum ini bergerak bersama Hyper Act berkata, dia bersetuju menyertai Kristal kerana yakin dengan keupayaan kumpulan itu, selain diberi kelonggaran meneruskan aktiviti nyanyian secara solo.

"Selepas keluar daripada Hyper Act, saya lebih selesa bergerak solo dan tidak mahu lagi menyanyi berkumpulan. Saya bagaimanapun, tertarik bersama Kristal kerana mereka memberi kelonggaran untuk saya meneruskan projek solo.

"Sebelum ini, pergerakan saya agak terbatas dan sukar menerima tawaran persembahan solo kerana terikat dengan kumpulan. Namun, Kristal sedia berbincang dan mereka juga tiada masalah jika saya mahu tampil sendirian," katanya.

Kecik sebelum ini, membuat keputusan meninggalkan Hyper Act pada Disember 2016 selepas berlaku perselisihan faham dengan pengurusan kumpulan itu.

Penyertaannya dalam Kristal diumumkan pada sidang media memperkenalkan vokalis baharu dan pelancaran single, Cintaku Kristal di sini, semalam.

Mengulas pemilihan Kecik menggantikan Lan, pemain gitar yang juga ketua kumpulan itu, Rodi, 32, berkata mereka mengagumi kemampuan vokal penyanyi itu, selain jiwanya juga serasi dengan genre rock yang mereka perjuangkan.

"Dia mempunyai ciri vokal yang tersendiri, membuatkan kami tertarik untuk mengambilnya sebagai vokalis baharu. Sebelum dipilih, Kecik pernah beberapa kali bersama kami sebagai vokalis undangan. Dari situ, kami melihat kesungguhannya untuk bersama Kristal.

"Dia juga rajin dan selalu berusaha memberikan yang terbaik setiap kali beraksi. Komitmen padu yang ditunjukkan Kecik membuatkan kami terpanggil untuk membawanya bersama meneruskan perjuangan Kristal," katanya.

Kristal akan menjayakan persembahan showcase di House Restaurant, G Tower, Jalan Tun Razak, di sini pada 24 November depan bagi memperkenalkan vokalis baharu, selain beraksi dalam sebuah konsert di Tawau, Sabah pada 1 Disember.

1721 dibaca
Berita Harian X