Ahad, 16 Julai 2017 | 6:34pm

Spider-Man baharu menghiburkan

SETIAP kali sesebuah filem diberikan nafas baharu, pastinya peminat dilanda kerisauan. Apakah naskhah terbabit mampu mengulangi kehebatan judul asal atau muncul sebagai karya mengecewakan?

Persoalan itu jugalah yang bermain di minda pengikut setia Spider-Man apabila ia diterbitkan kembali dengan sentuhan berbeza, menampilkan pula bintang berlainan menerusi Spider-Man: Homecoming. Kini, adiwira berkenaan ialah sebahagian daripada karakter dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).

Sejak 15 tahun lalu, siri filem adiwira labah-labah berkenaan menampilkan dua pelakon yang boleh dianggap meyakinkan. Tobey Maguire menyarung kostum superhero terbabit menerusi Spider-Man (2002), Spider-Man 2 (2004) dan Spider-Man 3 (2007), manakala Andrew Garfield pula menjayakan watak adiwira itu dalam The Amazing Spider-Man (2012) dan The Amazing Spider-Man 2 (2014).

Terbaru, watak kesukaan ramai berkenaan dipegang oleh pelakon Inggeris, Tom Holland, yang sebelum ini memikat hati peminat menerusi penampilannya dalam The Impossible.

Sebagai Spider-Man dan Peter Parker yang baharu, beliau mula diperkenalkan kepada penonton secara ringkas menerusi filem Captain America: Civil War, tahun lalu. Menerusi kemunculan singkatnya itu, peminat mula membuka mata terhadap kemampuan Holland melakonkan watak ikonik berkenaan.


POSTER filem Spider-Man: Homecoming.


PELAKON Inggeris, Tom Holland yang memegang watak sebagai adiwira Spider-Man yang baharu.

Sejak 6 Julai lalu, penonton di negara ini dapat menyaksikan sendiri bagaimana bintang berusia 21 tahun terbabit menghidupkan karakter Parker dan adiwira itu. Sehingga kini, persembahannya mendapat pujian ramai.

Rata-rata peminat memberikan sokongan kepada gaya persembahan Holland dalam menjayakan watak ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko, yang mula diperkenalkan kepada umum sekitar 1962 itu.

Pelakon terbabit, bersama garapan sutradara Jon Watts, mampu menjadikan naskhah terbaru terbitan Columbia Pictures, Marvel Studios dan Pascal Pictures berkenaan tampak lebih muda dan remaja.

Holland sendiri, selain menampilkan lakonan meyakinkan sebagai remaja yang kini berusaha mengimbangi antara kehidupan sebagai pelajar sekolah dan kuasa luar yang tiba-tiba menjadi miliknya, turut menghadirkan elemen humor sepanjang tayangan.

Unsur lawak yang diketengahkan menerusi Homecoming sangat terasa bersama lakonan membanggakan anak muda yang mempunyai asas dalam tarian berkenaan. Ada saja babak menggeletek hati mahupun dialog selamba yang membuatkan khalayak terkekeh-kekeh menonton filem berdurasi kira-kira 130 minit ini.

Digambarkan sebagai remaja yang baru berusia 15 tahun dan penuh dengan tenaga, selain pintar dalam sains, Holland sememangnya pilihan tepat bagi menjayakan watak terbabit.

Bukan sekadar mampu membuatkan penonton tergelak, beliau juga berupaya mengubah emosi penonton kepada rasa berbeza, contohnya saat Parker mula menyedari siapa sebenarnya penjahat yang selama ini cuba beliau tumpaskan.


TOM Holland yang sebelum ini memikat hati peminat menerusi penampilannya dalam The Impossible.

Sebagai filem aksi pula, beberapa babak mendebarkan dada tidak terkecuali dihidangkan. Sekurang-kurang tiga babak besar membabitkan aksi hebat Spider-Man dan musuh baharunya, Vulture, mampu menghiburkan peminat yang tertunggu-tunggu detik menyesakkan nafas.

Antara adegan paling menggegarkan tentu saja saat Spider-Man berdepan musuh kentalnya itu di atas Feri Staten Island. Hampir gagal menewaskan musuh selain membahayakan penumpang yang berada atas pengangkutan berkenaan, akhirnya Iron-Man tampil memberikan bantuan.

Namun usah risau, kemunculan Iron-Man hanyalah sekadar sokongan dan ia tidak sesekali membayangi adiwira remaja berkenaan.

Menerusi Homecoming, watak Peter Parker kini kembali ke New York selepas khidmat Spider-man digunakan seketika untuk membantu pasukan Iron-Man menentang pasukan Captain America di Berlin, Jerman. Belum lagi diserapkan sepenuhnya ke dalam pasukan Avengers, Parker sebaliknya diletakkan di bawah pengawasan Stark dan pemandu peribadinya, Happy Hogan.

Cuba mengemudi kehidupan sebagai remaja sekolah dan adiwira, Parker ditemukan dengan seorang penjenayah dikenali sebagai Vulture atau Adrian Toomes, lelaki yang menggunakan teknologi makhluk asing bagi mencipta senjata berbahaya dan dijual di pasaran gelap.

Pada masa sama, Parker menyukai pelajar senior di sekolahnya, Liz, yang bakal mencetuskan konflik terhadap anak muda berkenaan.

Selain Holland, Homecoming juga diperkuatkan kemunculan Robert Downey Jr, Jon Favreau, Zendaya dan Michael Keaton yang melakonkan watak Vulture. Tidak ketinggalan menceriakan filem cukup menghiburkan ini ialah bakat Baharu, Jacob Batalon, yang diberikan peranan rakan baik Parker, Ned.

Info:
Judul: Spider-Man: Homecoming
Pengarah: Jon Watts
Pelakon: Tom Holland, Michael Keaton, Jon Favreau, Zendaya, Donald Glover, Tyne Daly, Marisa Tomei, Laura Harrier, Robert Downey Jr.
Genre: Adiwira, Aksi
Tayangan: Mulai 6 Julai 2017.

Berita Harian X