Selasa, 8 Ogos 2017 | 8:03pm
SYED Zul (tengah) bersama barisan pelakon pada tayangan filem Hijabsta Ballet di Damansara. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Puteh Maimun Zahrah. - Foto Aziah Azmee

Salah tafsir punca Hijabsta Ballet 'sejuk' di pawagam

KUALA LUMPUR: Sekadar mengutip RM13,000 selepas empat hari ditayangkan, penerbit filem Hijabsta Ballet mendakwa salah tafsiran terhadap naskhah itu memberi kesan kepada penjualan tiket.

Penerbit filem itu, Syed Zul Tojo kecewa Hijabsta Ballet mendapat tafsiran negatif termasuk daripada pihak yang hanya membuat andaian berdasarkan judul dan poster filem berkenaan.

"Ramai yang salah anggap dan mendakwa kononnya saya merendah-rendahkan Islam. Ada juga yang mendakwa saya menghasilkan filem itu untuk memperkudakan agama sendiri.

"Hanya dengan melihat tajuk, mereka menganggap saya mahu mengajak semua penari balet berhijab. Ada juga yang mengecam seolah-olah filem ini sengaja mahu melahirkan fahaman Islam baharu," katanya kepada BH Online.

Filem terbitan Explosive Magic Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) pada kos lebih RM1 juta itu masih ditayangkan di pawagam, sehingga esok.

Syed Zul menambah, filem adalah bahan propaganda dan tidak adil apabila reaksi negatif diberi tanpa menonton hingga habis dan menilai sendiri karya yang dihasilkan.

"Ini kerana hak bersuara adalah berdasarkan pandangan masing-masing," katanya.

Menyedari risiko Hijabsta Ballet mungkin dihentikan tayangan jika kutipan teruk, Syed Zul bagaimanapun berpuas hati masih ada pihak yang melihat filem berkenaan daripada sudut positif.

"Saya berpuas hati apabila kebanyakan penonton adalah daripada pelbagai bangsa dan agama. Rata-rata mereka memberi komen positif dan menganggap mesej berjaya disampaikan.

"Saya tidak akan mengalah dan akan terus menerbit dan mengarah filem yang dapat mencetuskan isu tanpa mengira apa genre sekalipun," katanya.

Hijabsta Ballet mengisahkan penari profesional, Adale yang mencintai seni tarian balet sejak kecil, berdepan dilema apabila merasakan sudah sampai masanya dia mendekati Islam dengan mengenakan hijab.

Filem itu dibintangi Puteh Maimun Zahrah, Betty Banafe, Aman Graseka, Aida Khalida, Danny-Syaz dan Aliff Azeman.

3889 dibaca
Berita Harian X