Rabu, 9 Ogos 2017 | 9:25pm
PELAKON Korea, 'The Battleship Island' di Pavilion. - Foto Mahzir Mat Isa

Ribuan banjiri Pavilion demi pelakon The Battleship Island

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 peminat membanjiri pusat beli-belah terkemuka, Pavilion, di sini hari ini bagi melihat secara dekat bintang Korea, Song Joong-ki, So Ji-sub dan Hwang Jung-min.

Ternyata populariti Joong-ki yang melonjak berikutan kejayaan drama Descendants of the Sun, tahun lalu, menyebabkan peminat sanggup bersesak dan menunggu dalam tempoh yang lama untuk melihat sendiri kelibat pelakon berwajah kacak itu.

Malah, sebahagian peminat difahamkan mula menunggu di pusat beli-belah berkenaan sejak jam 10 pagi lagi.

Ketiga-tiga pelakon berkenaan berada di negara ini bagi mempromosikan filem berunsur sejarah, The Battleship Island, yang bakal menemui penonton mulai 17 Ogos.


PEMINAT yang hadir pada promosi filem Korea, 'The Battleship Island' di Pavilion. - Foto Mahzir Mat Isa

Bintang sensasi terbabit mula kelihatan pada jam 7.25 malam dan sebaik saja melihat kelibat ketiga-tiga pelakon itu, peminat mula menjeritkan nama artis kegemaran masing-masing.

Ketiga-tiga pelakon berkenaan kemudian dibawa ke pentas utama untuk menjayakan sesi temu bual mengenai filem terbaru lakonan mereka itu.

Sesi berkenaan berlangsung selama 20 minit dalam suasana yang cukup bingit apabila peminat tidak henti-henti memanggil dan menjeritkan nama tiga aktor terbabit.

Biarpun dikelilingi lautan manusia, tiada kejadian kurang menyenangkan dilaporkan berlaku pada acara yang berakhir kira-kira jam 7.50 malam itu.

Filem The Battleship Island menceritakan kisah benar membabitkan buruh paksa Korea ketika Perang Dunia Kedua. Naskhah arahan pengarah Ryu Seung Wan itu menjadi filem yang mencatat kutipan tertinggi bagi hari pertama tayangan di Korea Selatan, mengatasi filem hit, Train to Busan.

1321 dibaca
Berita Harian X