Isnin, 14 Ogos 2017 | 7:00pm

Prekuel Annabelle lebih menyeramkan

Kemunculan filem boneka berpuaka, Annabelle, yang menghantui pawagam sekitar tiga tahun lalu membuatkan peminat karya bergenre sebegitu tidak sabar untuk menantikan sambungannya.

Ramai yang ingin tahu, dari manakah datangnya boneka bergaun putih dan bertocang dua yang menyeramkan itu? Apakah juga yang berlaku ke atasnya sehingga menyebabkan roh jahat menguasai patung terbabit.

Kemunculan Annabelle: Creation, hasil sentuhan sutradara yang pernah mengarahkan filem seram, Light Out, tahun lalu, David F Sandberg, bagai menjawab segala tanda-tanya yang sebelum ini berlegar di fikiran masing-masing.

Melihat judulnya saja, ia dirasakan sudah cukup untuk menterjemahkan bentuk persembahan bakal diketengahkan si pengarah dalam naskhah terbaru ini.

Pada permulaan cerita, penonton disajikan dengan kemunculan beberapa watak utama iaitu pasangan Samuel dan Esther yang tinggal di sebuah kawasan terpencil bersama anak tunggal mereka, Bee.

Samuel ialah seorang pembuat anak patung dan ketika itu ditunjukkan juga babaknya menghasilkan Annabelle.

Tanpa diduga, kebahagiaan keluarga berkenaan direntap apabila Bee meninggal dunia akibat kemalangan tragik. Sejak hari itu, kehidupan pasangan terbabit tidak lagi seperti dulu.

Kerinduan yang mendalam terhadap Bee turut membuatkan mereka hilang pertimbangan dan kewarasan akal fikiran.

Bagi mengembalikan semula anaknya, masing-masing membuat perjanjian dengan syaitan. Namun, akhirnya mereka menyedari perbuatan itu sebenarnya mengundang bahaya apabila roh jahat terbabit mahukan jasad untuk membuatkannya terus berkuasa.

Melihat garapan Sandberg, filem prekuel ini nyata lebih menyeramkan daripada naskhah pertama. Pengarahnya berjaya membuat khalayak tidak senang duduk dan gelisah dengan pelbagai elemen kejutan.

Babak menyeramkan di dalam gudang dan karakter 'orang-orang' yang ditampilkan sememangnya berjaya membuat panggung bergema dengan jeritan.

Gerak kerja kamera turut menyumbang kepada terbitnya perasaan takut dan debaran kencang di dada penonton.

Menerusi bayangan samar-samar, penonton diperlihatkan bagaimana Annabelle bernyawa. Paparan itu saja sudah cukup untuk memberikan impak lebih seram sebenarnya.

Pemilihan lagu retro, You Are My Sunshine, sebagai latar juga turut membantu kerana setiap kali irama itu berkumandang, terasa seperti roh Bee berada di sisi kerana ia adalah lagu kegemarannya sebelum dia mati.

Dari segi lakonan, pujian sewajarnya diberikan kepada Talitha Bateman. Remaja berbakat itu berjaya menghidupkan watak sebagai pesakit polio yang diganggu roh jahat, yang mahukan jasadnya.

Ketakutan dan gangguan emosi yang dialaminya berjaya diterjemahkan menerusi lakonan hebatnya.

Sebagai sebuah judul prekuel, penonton akhirnya menemui jawapan terhadap apa yang berlaku dalam filem pertama dan Sandberg cukup bijak dalam membuat penamat kerana menyelitkan satu petunjuk.

Pesan saya, jangan terus tinggalkan pawagam sebaik saja filem ini tamat kerana petunjuk itu ditampilkan pada penghujung.

Info

Judul: Annabelle: Creation

Pelakon: Stephanie Sigman, Miranda Otto, Lulu Wilson, Anthony LaPaglia, Talitha Bateman

Pengarah: David F Sandberg

Penulis: Gary Dauberman

Genre: Seram / Misteri / Cemas

Durasi: 109 minit

Tarikh Tayangan: Mulai 10 Ogos 2017

2724 dibaca
Berita Harian X