Isnin, 21 Ogos 2017 | 5:26pm

Kisah jagoan dicabar pelumba muda dalam Cars 3

CABARAN terbesar dalam penghasilan filem susulan sudah tentu pada hakikat sama ada ia mampu mengulangi keajaiban dicipta menerusi naskhah pertama atau kedua.

Bukan sedikit judul susulan yang akhirnya menjadi bahan kecaman peminat selain menerima kritikan pedas daripada pengulas filem. Pendek kata, lebih baik saja filem sekuel itu tidak dihasilkan.

Namun, bagi sesetengah studio, menyedari laba yang mungkin bakal dijana menerusi penghasilan judul susulan, justeru filem sambungan bagi karya popular tetap mahu diterbitkan.

Animasi Cars pula antara francais yang dianggap mampu menggegarkan pawagam setiap kali judul baharunya diputarkan. Mulai 24 Ogos ini, filem ketiga dalam siri popular itu pula bakal menggeletek jiwa khalayak.

Naskhah pertama Cars menemui penonton pada 2006, diikuti siri kedua lima tahun kemudian.

Kisah santai

Biarpun ada peminat yang sudah menonton filem berkenaan tidak berapa berkenan atau kurang menggemari pertaruhan terbaru Pixar Animation Studios dan Walt Disney itu, namun bagi penulis, ia masih sebuah naskhah yang menghiburkan.

Apatah lagi, visual dan teknologi grafik yang digunakan kali ini antara terbaik pernah dihasilkan bagi sebuah filem bercorak animasi. Begitu juga banyak babak aksi dan perlumbaan yang dikira cukup mendebarkan dimuatkan di dalamnya.

Menerusi filem arahan Brian Fee, berdasarkan cerita yang ditulisnya sendiri bersama beberapa penulis lain, penonton dihidangkan dengan kisah yang dikira agak santai, bagaimana jagoan lumba kereta, Lightning McQueen, bersaing semula di gelanggang selepas tujuh kali menjuarai Piston Cup.

Namun, cabaran kali ini lebih mendebarkan apabila pelumba baharu yang menggunakan teknologi terkini dan lebih pantas daripadanya turut menyertai pertandingan.

Sedikit tergugat dengan kehadiran pelumba muda yang jauh lebih canggih, McQueen menggunakan kepakarannya di gelanggang untuk bersaing bersama mereka.

Didesak supaya bersara

Mencabar pelumba baharu untuk bersaing dengannya membuatkan McQueen hilang kawalan di dalam trek, menyebabkannya mengalami kemalangan.

Jagoan itu juga harus berehat empat bulan akibat kecederaan dialaminya. McQueen turut didesak teman wanitanya, Sally Carrera, untuk bersara awal seperti bekas jaguh lumba kereta, Doc Hudson.

Pemilik kumpulan perlumbaan Rust-eze, Rusty dan Dusty, bagaimanapun menghantar McQueen ke sebuah tempat bagi membolehkannya mempelajari sesuatu yang baharu. Malangnya, McQueen mendapat tahu Rust-eze dijual kepada Sterling yang menugaskan McQueen bekerja dan berlatih bersama Cruz Ramirez.

Saat itu juga, McQueen mula belajar sesuatu daripada pencabar baharunya, Jackson Storm, yang mencipta pelbagai kejuaraan. Dia juga tidak berputus asa dengan menyertai pertandingan di Florida.

Info:

Judul: Cars 3

Pengarah: Brian Fee

Pelakon (suara): Owen Wilson, Cristela Alonzo, Chris Cooper, Armie Hammer, Larry the Cable Guy, Bonnie Hunt, Nathan Fillion, Lea DeLaria, Kerry Washington

Genre: Animasi / Aksi

Durasi: 1 jam 50 minit

Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2017

414 dibaca
Berita Harian X