Khamis, 24 Ogos 2017 | 3:26pm
FILEM Abang Long Fadil 2 menemui penonton negara ini secara rasmi mulai hari ini.

Abang Long Fadil 2 'dirompak', laporan polis dibuat

KUALA LUMPUR: Baru beberapa jam Abang Long Fadil 2 (ALF2) ditayangkan, petang semalam, filem lakonan Zizan Razak itu sudah pun berjaya memungut RM260,000.

Sambutan memberangsangkan terhadap karya arahan Syafiq Yusof itu memberikan bayangan awal naskhah terbabit berada di laluan tepat untuk mencatat kutipan pecah panggung.

Filem berkenaan mula menemui penonton negara ini secara rasmi mulai hari ini, dengan 120 pawagam memilih untuk memutarkan naskhah terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan Astro Shaw itu.

Begitupun, dalam kegembiraan melihat sambutan hangat diberikan, syarikat penerbitannya bimbang dengan insiden seorang individu memuat naik sedutan 30 saat filem berkenaan di laman sosial Instagramnya, semalam.

Justeru, satu laporan dibuat di Balai Polis Taman Melawati, di sini, sebagai memberi amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya perkara itu masih berlaku.

Bercakap kepada BH Online, penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata perkara itu dibimbangi akan menjadi gejala yang boleh merosakkan imej industri perfileman tempatan sekiranya tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

"Insiden seperti itu bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini Astro Shaw pernah melaporkan perkara sama apabila filem terbitan mereka, Kau Yang Satu, juga dimuat naik secara langsung menerusi FB Live ketika tayangannya oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kami juga sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan mereka akan turut membuat pemantauan berhubung kejadian terbabit.

"Gejala itu boleh menjadi lebih serius sekiranya tiada tindakan tegas diambil," katanya yang enggan meletakkan sebarang sasaran berkaitan kutipan filem terbabit.

Selain Zizan, filem bercorak aksi komedi berkenaan turut dibintangi oleh Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok dan A Galak.

21272 dibaca
Berita Harian X