Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:06pm
Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.
Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.

Kenangan Ops Gubir dalam 'Malay Regiment'

Filem 'Malay Regiment' bukanlah sebuah karya yang dihasilkan bagi memperlekehkan mana-mana pihak, jauh sekali memaparkan babak yang dikatakan sebagai berunsur perkauman bagi menyebarkan propaganda politik, seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, ia sebuah naskhah yang memperlihatkan kepada masyarakat mengenai fakta sejarah mengapa Ops Gubir dilaksanakan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam membanteras komunis sekitar 1976.

Filem yang diangkat daripada kisah benar itu sebenarnya diolah daripada manuskrip yang mengangkat tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dan diterapkan dalam filem bagi membakar semangat generasi hari ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara.


Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.

Seperti kata penerbit yang juga pengarahnya, Datuk Jurey Latiff Rosli, filem yang menelan belanja hampir RM2 juta itu bukan cerita rekaan, tetapi rakaman sejarah yang tidak boleh dipadam.

"Jelasnya, jika filem ini mengandungi unsur perkauman, saya pasti Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan teragak-agak untuk memotong mana-mana babak yang boleh mengundang sensitiviti sesetengah pihak.

"Namun, menerusi penelitian mereka, hanya satu babak yang perlu dibuang dan pemotongan adegan itu juga ia tidak mengganggu perjalanan cerita," katanya kepada BH ketika ditemui pada malam pratonton filem berkenaan, baru-baru ini.

Menurut Jurey lagi, filem yang menyaksikan skripnya ditulis oleh Yusof Kelana itu tidak menjurus kepada sesuatu kaum ia apabila turut memaparkan babak orang Melayu, yang turut menyokong agenda 'busuk' komunis.

"Saya turut menyelitkan babak anggota komunis muda daripada keturunan Cina yang tidak bersetuju dengan perjuangan pasukan mereka, yang berperang hingga mengorbankan nyawa.

"Bagi mereka, lebih baiklah masing-masing berfikir bagaimana mahu memajukan bangsa dan ekonomi daripada mati sia-sia.


Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.


Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.

"Apa yang mahu saya paparkan bukan mengenai bangsa, tetapi ideologi yang dibawa musuh negara," katanya.

Filem ini agak menarik dari segi penceritaan apabila ia turut dipersembahkan secara imbas semula, membabitkan dua era iaitu zaman sekarang dan ketika perwira kita menentang musuh di perbatasan pada dekad 70-an.

Bagi era terkini, ia diwakili oleh watak cucu askar yang membuat penyelidikan dan berusaha menggali rahsia kehebatan datuk masing-masing, termasuklah rahsia besar seorang daripada anak muda berkenaan.

Pujian juga boleh diberi kepada pengarahnya yang bijak bermain dengan teknik suntingan, yang membuatkan babak ke babak bergerak secara pantas.

Selain itu, ia turut memaparkan persembahan visual yang segar dari segi aksi, gerak lakon, permainan kamera dan teknik sinematografi. Kekuatan inilah yang membantu melahirkan kesan emosi dan mampu mengundang elemen patriotik pada penceritaannya.


Antara babak dalam filem Malay Regiment yang akan menemui penonton di pawagam sempena Hari Kebangsaan.

Malay Regiment turut memaparkan dengan lebih jelas keganasan anggota komunis dan kesungguhan mereka untuk menjajah Tanah Melayu ketika zaman sebelum merdeka dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Ia antara lain ditunjukkan menerusi babak kesungguhan mereka membina kubu bawah tanah dan beberapa kem bagi menggulingkan pasukan tentera. Lebih jelek, mereka turut menghina anggota RAMD dengan pengulangan dialog dalam bahasa Mandarin yang bermaksud 'anjing kerajaan'.

Pengganas komunis juga berpesta ketika mereka berjaya menembak jatuh helikopter yang membawa 11 pegawai tentera di Gubir, Kedah, pada 1976, iaitu peristiwa hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh waris mangsa sehingga ke hari ini.

Sinopsis

-----------

Filem ini mengisahkan tiga cucu bekas tentera yang terkorban ketika bertempur dengan pengganas komunis pada era 70-an di Gubir, Kedah, yang ingin mengetahui kisah datuk mereka sewaktu berkhidmat dalam pasukan bersenjata.

Mereka dipertemukan dengan pesara tentera berpangkat Mejar Jeneral yang sedang menulis sebuah manuskrip mengenai pengalamannya dalam pasukan tentera darat ketika zaman darurat.

Menerusi manuskrip itu, suka-duka dan pahit-maung serta semangat tinggi dipaparkan oleh tiga wira tidak didendang, Kapten Zainal, Leftenan Muda Hamid dan Leftenan Muda Razak dicatatkan.

Menerusi tali barut mereka, pengganas komunis menyebabkan beberapa anggota tentera terbunuh. Pada masa sama, sebahagian anggota musuh juga kecundang apabila serangan berterusan dilakukan pihak tentera.

Komunis turut membunuh orang kampung yang tidak menyokong mereka, tanpa mengira bangsa.

Setelah diserang teruk, pihak Komunis bertelagah sesama sendiri apabila seorang anggotanya mempersoalkan, apakah yang diperjuangkan oleh mereka sebenarnya?

Kisah perjuangan ini menarik minat tiga cucu kepada tentera itu untuk mengetahui lebih lanjut, apakah yang sebenarnya yang berlaku ketika datuk mereka berkhidmat dalam pasukan seragam berkenaan.

Info
Judul: Malay Regiment
Terbitan: World Evolution Brain Sdn Bhd
Penerbit: Datuk Jurey Latiff Rosli, Amierah Jurey
Skrip: Yusof Kelana
Pelakon: Yuswaisar, Zack Zamree, Lan Shiro, Nad Zainal, Kamal Adli, Nonny Nadirah, Falisha Crossley, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Normah Damanhuri
Tarikh Tayangan: Mulai 31 Ogos 2017.

731 dibaca
Berita Harian X