Ahad, 1 Oktober 2017 | 5:18pm

Abang Long Fadil 2 benam rekod Polis Evo

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, Abang Long Fadil 2 meraih kutipan RM17.8 juta hingga semalam, sekaligus memecah rekod jualan tiket tertinggi yang dipegang Polis Evo, dua tahun lalu.

Filem arahan Syafiq Yusof yang mula ditayangkan pada 24 Ogos lalu itu, masih boleh ditonton di 70 pawagam di seluruh negara.

Penerbit filem Abang Long Fadil 2, Datuk Yusof Haslam, berkata jualan tiket memberangsangkan itu membuktikan industri perfileman tempatan kembali cerah.

"Saya melihat kebangkitan semula filem Melayu semakin positif dengan persaingan sihat dalam kalangan pengarah muda.

"Jika dua tahun lalu, filem Polis Evo karya sutradara baharu, Ghaz Abu Bakar mengejutkan industri perfileman, kini ramai pengarah muda berlumba-lumba menghasilkan filem berkualiti.

"Saya juga lihat saingan antara anak saya, Syamsul dan Syafiq yang sentiasa mahu filem arahan mereka meningkat kepada tahap lebih tinggi setiap tahun," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Polis Evo memegang rekod filem mencatat jualan tiket tertinggi sebanyak RM17.7 juta.

Yusof yang berada di Jakarta, Indonesia, bagi menjalani penggambaran drama Gerak Khas berkata, pihaknya dan Astro Shaw mungkin meneruskan kerjasama menerbitkan trilogi Abang Long Fadil.

"Keputusan menerbitkan trilogi ini akan diputuskan, tidak lama lagi. Syafiq juga bersemangat apabila filem arahan menepati cita rasa penonton hari ini," katanya.

Filem Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib, Datuk AC Mizal, Achey, Wak Doyok, A Galak dan Tania Hudson.

10534 dibaca
Berita Harian X