Ahad, 15 Oktober 2017 | 8:03am

Tombiruo: Penunggu Rimba jadi penanda aras

KOTA KINABALU: Tombiruo: Penunggu Rimba, filem adaptasi novel Ramlee Awang Murshid boleh dianggap penanda aras kepada pengkarya lain yang berminat menghasilkan filem daripada penulisan novel.

Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Deddy M Borhan, berkata penulis novel dari negeri ini khususnya perlu mencontohi usaha Ramlee yang berani mengangkat karyanya ke layar perak, selain mengambil peluang itu untuk mempromosikan Sabah.

Katanya, Sabah memiliki ramai penggiat sastera yang mampu menghasilkan banyak naskhah berkualiti, namun terhenti pada medium penulisan saja tanpa dikembangkan ke platform seni berbeza seperti drama, filem dan teater.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong karya penulisan yang memiliki idea terbaik dan mampu diangkat ke layar perak atau televisyen.

"Saya boleh dikatakan pengantara penggiat seni dan pihak tertinggi (FINAS). Oleh itu, jika ada pengkarya sastera yang yakin mempunyai karya berpotensi diadaptasi ke filem atau drama, mereka boleh mengemukakan cadangan.

"Penulis harusnya mengambil peluang dan ruang diberi kerajaan atau syarikat penerbitan kerana ini bukan sahaja boleh meletakkan sesuatu karya lebih dikenali, malah membuka mata masyarakat bahawa Sabah memiliki ramai penggiat seni berpotensi," katanya.

Beliau ditemui BH selepas sesi tayangan khas filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang dihadiri kira-kira 100 penonton di City Cineplex, City Mall di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah salah seorang pengarah Tombiruo: Penunggu Rimba, Seth Larney dan pelakon, Hasnul Rahmat.


RAMLEE Awang Murshid (dua dari kanan) bergambar beramai bersama penggiat seni tempatan Sabah yang hadir selepas tayangan khas filem Tombiruo Penunggu Rimba, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, Deddy yang juga pengarah filem Azura pada era 1980-an berkata, Tombiruo: Penunggu Rimba adalah antara filem Melayu terbaik yang pernah ditonton beliau.

"Pemilihan pelakon, kesan bunyi, pengarahan, penggunaan kesan khas dan pengolahan cerita dilakukan dengan cemerlang hingga meninggalkan kesan kepada penonton.

"Pemilihan lokasi penggambaran berlatarbelakangkan Sabah juga secara tidak langsung mengangkat keindahan budaya dan bahasa di negeri ini," katanya.

Sementara itu, pelakon dari Sabah, Dg Hasnah Ibrahim teruja menonton filem tulisan bekas rakan sekerjanya di RTM Sabah suatu ketika dulu.

"Saya memang penggemar tegar novel tulisan Ramlee sejak dahulu lagi dan apabila mendapat tahu salah satu novel terkenal beliau yang sudah diterbitkan kira-kira 20 tahun lalu dijadikan filem, sudah pasti mahu menontonnya.

"Selepas menonton filem ini, saya terkejut melihat hasilnya dan tidak keterlaluan kita harus berbangga dengan karya anak kelahiran Sabah diterjemahkan dalam dilem yang kualitinya hampir seperti filem antarabangsa," katanya.

Tombiruo - Penunggu Rimba mengisahkan mengenai Ejim lakonan Zul Ariffin yang digeruni kerana mempunyai kuasa luar biasa dan digelar Tombiruo berikutan wajahnya yang cacat.

Dalam bahasa Kadazandusun, Tombiruo bermaksud roh atau hantu dan filem ini turut membariskan pelakon seperti Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Farah Ahmad.


RAMLEE Awang Murshid (tiga dari kanan) bersama Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Deddy M Borhan(dua dari kiri) begambar beramai bersama penggiat seni tempatan Sabah serta peminat yang hadir selepas tayangan khas filem Tombiruo Penunggu Rimba, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

13053 dibaca
Berita Harian X