Rabu, 18 Oktober 2017 | 11:39am

Pengarah dedah tajuk filem mengenai Han Solo

LOS ANGELES: Pengarah Ron Howard semalam, mendedahkan tajuk filem terbaharu terbitan Lucasfilm mengenai Han Solo, iaitu Solo: A Star Wars Story.

Dalam video yang dimuat naik di Twitter, beliau yang pernah meraih anugerah Oscar memaklumkan produksi filem terbabit sudah siap sepenuhnya.

Pada masa sama, Howard mengucapkan terima kasih kepada semua pelakon dan kru produksi atas usaha mereka sepanjang penerbitan filem yang bakal ditayangkan tahun depan.

Dalam video itu, kelihatan lengan berbulu Wookie di skrin yang menyerahkan sekeping kad besar ketika Howard menjerit sama ada beliau boleh mendedahkan tajuk filem itu, sekali gus membuatkan pengarah itu berpaling ke kamera dan mengumumkan perkara berkenaan.

Filem berkenaan menceritakan kehidupan zaman muda Solo, yang dilakonkan oleh Alden Ehrenreich dan teman baiknya, Chewbacca, iaitu sebelum filem pertama dalam francais terbabit, Star Wars: Episode IV - A New Hope pada 1977, ketika Solo menyertai perikatan pemberontak.

Dalam trilogi asalnya, watak Solo dilakonkan oleh Harrison Ford.

Solo adalah filem kedua yang diterbitkan bagi merungkai kisah sebenar mengenai keluarga Skywalker.

Filem pertama bertajuk Rogue One, yang ditayangkan pada 2016 berjaya meraih lebih AS$1 bilion (RM4.22 bilion) pulangan di 'box office'.

Dalam pada itu, Howard mengambil peranan sebagai pengarah filem itu daripada Phil Lord dan Chris Miller, iaitu beberapa minggu sebelum penggambarannya tamat.

Sebelum ini, Howard pernah mengarahkan filem Willow pada 1998 untuk Lucasfilm, namun beliau lebih terkenal dengan filem seperti Splash (1984), Apollo 13 (1995) dan A Beautiful Mind (2001) yang membolehkannya meraih anugerah Oscar bagi kategori Pengarah Terbaik.

Filem A Beautiful Mind turut memenangi anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik.

Sementara itu, Episode VIII - The Last Jedi, iaitu bahagian kedua dalam siri tiga trilogi itu yang diarahkan oleh Rian Johnson, bakal ditayangkan pada 15 Disember. - AFP

476 dibaca
Berita Harian X