Rabu, 18 Oktober 2017 | 2:02pm
PENGARAH, Aziz M Osman, bakal muncul dengan filem XX Ray 3 pada tahun depan.

Aziz jamin XX Ray 3 filem menyeronokkan

KUALA LUMPUR: Aziz M Osman menggabungkan unsur komedi dan pengembaraan dalam filem arahan terbarunya, XX Ray 3.

Menurut sutradara berusia 55 tahun itu, beliau tidak boleh mengambil mudah soal keinginan generasi muda yang ingin berhibur di pawagam, justeru ramuan hampir sama dengan naskhah terdahulu dikekalkan.

Sebelum ini, Aziz, yang turut dikenali dengan siri filem Senario, pernah mengarahkan XX Ray pada 1992 dan XX Ray II (1995).

"Saya tidak terlalu bernostalgia dengan XX Ray yang dulu, biarpun ramai menganggap saya sinonim dengan filem berkenaan. Ia hanyalah suatu jenama.

"Tapi saya tidak boleh ambil mudah dengan keinginan generasi sekarang yang gemar menonton wayang," katanya kepada BH Online.

Penggambaran filem bercorak fiksyen sains sudah dimulakan sejak September lalu di Melaka dan ia dijangka menyambung rakamannya di Jordan, tidak lama lagi.

Masih berahsia mengenai jalan ceritanya, filem yang diterbitkan oleh syarikat milik beliau, Ace Motion Pictures Sdn Bhd, itu antara lain menampilkan pelakon Izzue Islam dan Nonny Nadirah sebagai teraju utama.

Kata Aziz, beliau memerlukan wajah baharu dan segar untuk naskhah garapannya.

"Saya tidak perlukan bintang besar kerana saya menjual filem ini secara pakej, bukan sekadar pelakonnya. XX Ray 3 pula sebuah pakej filem yang menyeronokkan," katanya.

Filem yang menelan belanja kira-kira RM2.5 akan mengambil masa 35 hari untuk disiapkan dan kemungkinan besar ditayangkan pada Aidilfitri tahun depan.

2800 dibaca
Berita Harian X