Khamis, 19 Oktober 2017 | 12:57pm

Haunted Hotel sudah kaut RM10 juta di China

KUALA LUMPUR: Diam-diam mengaut hampir RM10 juta selepas seminggu ditayangkan di China, filem Mandarin dihasilkan anak tempatan, Haunted Hotel mula mengisi slot di pawagam di seluruh negara, hari ini.

Penerbitnya, Aron Koh memberitahu, pihaknya berharap filem arahan Ryon Lee yang menulis skrip untuk filem box office, Journey, tiga tahun lalu, mencapai kejayaan sama di tanah air sendiri.

"Ada pelbagai sebab kenapa filem ini perlu ditonton. Selain faktor Ryon yang sudah mengarah enam filem, Haunted Hotel dibintangi pelakon hebat dari tiga negara.

"Kita tampilkan Aom Sushar dari Thailand, Li Chuan dari China dan dua pelakon tempatan iaitu Teddy Chin Alvin Chong yang semakin dikenali menerusi drama Melayu," katanya kepada BH Online.

Filem Haunted Hotel yang menjadikan lokasi seram, Hotel Amber Court di Genting Highlands sebagai tempat penggambaran, mula ditayangkan di China sejak 12 Oktober lalu.

Aron berkata, filem terbitan syarikat produksinya, Lomo Pictures dengan kerjasama He Media dari China membabitkan kos RM4.8 juta.

"Penggambaran dilakukan selama sebulan pada Mei tahun lalu. Malah, babak di Amber Court saja mengambil masa 20 hari.

"Mungkin ada yang bertanya kenapa lokasi itu dipilih? Jawapannya, kalau kita taip carian hotel berhantu di Asia, hotel itu menjadi antara premis disenaraikan.

"Jadi saya lihat ia menjadi tarikan utama untuk orang menonton filem ini. Kita juga menggunakan teknologi teknologi imej janaan komputer (CGI) yang canggih," katanya.

Filem Haunted Hotel yang berdurasi 92 minit, akan ditayangkan di Hong Kong dan Thailand, tidak lama lagi.

4874 dibaca
Berita Harian X