Sabtu, 21 Oktober 2017 | 4:25pm

Tombiruo kaut RM5 juta

KUALA LUMPUR: Filem Tombiruo : Penunggu Rimba mengutip lebih RM5 juta selepas 10 hari ditayangkan di pawagam tempatan sejak 12 Oktober lalu.

Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata kelainan kisah yang diadaptasi daripada novel karya Ramlee Awang Murshid menjadi daya tarikan utama menonton filem berkenaan.

"Kami terharu dengan sokongan peminat filem tempatan dan berharap pawagam juga memberi sokongan berterusan terhadap filem ini.

"Bagi kami, faktor utama yang menarik penonton ke pawagam adalah kerana novel tulisan Ramlee ini disukai ramai sejak dihasilkan 20 tahun lalu.

"Apabila diangkat ke layar perak bersama nilai produksi yang tinggi selain garapan babak aksi, lakonan mantap serta promosi bagus, ia memancing khalayak," katanya kepada BH Online.

Tombiruo : Penunggu Rimba mengisahkan mengenai Ejim lakonan Zul Ariffin yang digeruni kerana mempunyai kuasa luar biasa dan digelar Tombiruo berikutan wajahnya yang cacat.

Dalam bahasa Kadazandusun, Tombiruo bermaksud roh atau hantu.

Filem ini membariskan pelakon seperti Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Farah Ahmad.

6957 dibaca
Berita Harian X