Khamis, 2 November 2017 | 5:01pm
DRAMA bersiri Titian Cinta mencatat 11 juta penonton di TV3.

11 juta tonton Titian Cinta

KUALA LUMPUR: Drama bersiri yang menjadi bualan ramai, Titian Cinta, mencatat 11 juta penonton apabila ia menemui peminat slot Akasia di TV3, baru-baru ini.

Disiarkan mulai 12 September sehingga 30 Oktober lalu, drama yang diangkat daripada novel karya Ridhya Iman itu menyaksikan episod akhirnya ditonton oleh 4.3 juta orang.

Menampilkan pelakon utama seperti Zul Ariffin dan Farah Nabilah, Titian Cinta yang diterbitkan oleh Zamriez Golden Pictures adalah hasil arahan Heykal Hanifah.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata mereka bersyukur apabila slot Akasia sekali lagi berjaya mencipta fenomena tersendiri menerusi drama berkenaan.

Tahun lalu, slot sama mencatatkan sejarah tersendiri apabila drama 7 Hari Mencintaiku ditonton 12 juta orang.

"Sepanjang siaran, Titian Cinta bukan saja berjaya menarik 11 juta penonton mengikutinya di TV3, malah ia juga mencatat rekod sebagai tontonan drama paling tinggi di portal video nombor satu negara ini, Tonton.

"Titian Cinta membuktikan kejayaan slot Akasia tidak hanya bersandarkan populariti novel atau barisan pelakon semata-mata, tetapi kami juga mahu berkongsi kisah yang dapat memberikan kesedaran dan pengajaran kepada khalayak," kata Siti Nurlisia.

Drama sepanjang 28 episod itu berkisar pada kisah rumah tangga pasangan Aisy (Farah Nabilah) dan Haris (Zul Ariffin).

Berikutan hatinya dikaburi rasa cemburu, Haris sanggup menghina dan menghalau isterinya. Dia bagaimanapun menyesal dengan tindakannya, akibat mempercayai fitnah dan hasutan Sofea (Tisha Shamsir).

Aisy, yang menyangkakan dirinya diceraikan, terkejut dengan perubahan suaminya yang kini menjadi sangat penyayang. Haris sabar dengan kerenah dan sikap Aisy terhadapnya. Dia juga tidak berputus asa untuk memikat semula hati isterinya yang sudah terluka.

Namun, kemunculan bekas tunang Aisy, Rayyan (Daler Yusuf), menyebabkan Haris kembali kepada perangai asalnya yang kuat cemburu dan panas baran.

Sofea pula berdendam dengan Aisy kerana mengahwini bekas tunangnya. Dia ingin memporak-perandakan rumah tangga Aisy dan Haris agar mereka berdua bercerai.

Selepas Titian Cinta menutup tirainya pada 30 Oktober lalu, slot Akasia kini diserikan pula oleh drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku yang menampilkan pelakon seperti Raja Afiq, Puteri Aishah, Julia Farhana Marin, Syazuwan Hassan dan Natasya Mahyan.

5291 dibaca
Berita Harian X