Selasa, 7 November 2017 | 1:48am
SYAFIQ dinobat Pengarah Terbaik Filem pada Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) 2017 di PWTC. - Foto Saifullizan Tamadi

Syafiq Yusof menang Pengarah Terbaik Anugerah PROFIMA

KUALA LUMPUR: Sutradara muda, Syafiq Yusof, dinobat Pengarah Terbaik Filem pada Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Syafiq menjulang trofi berkenaan menerusi filem Desolasi dengan menewaskan pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan dan Polis Evo, Ghaz Abu Bakar.

Tidak pulang dengan tangan kosong, karya pecah panggung, Polis Evo, mengungguli anugerah Penerbit Terbaik kategori filem menerusi Joel Soh.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak (tengah) dan Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (kiri) bersama dengan penerima tokoh PROFIMA Yoki Chin (dua kiri), Prof Dr. Asiah Sarji (dua kanan) dan Datuk Seri Jessy Lai (kanan) pada Anugerah Profima 2017 di PWTC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Rashid Sibir pula diangkat sebagai Pengarah Terbaik kategori telefilem hasil karya arahannya berjudul Tanah Kubur: Ummah Jamaliah.

Pemilik Zeel Production, Fadzil Teh, pula dianugerahkan Penerbit Terbaik bagi kategori drama menerusi Meh, Sandar Pada Aku.

Sebanyak 63 anugerah dipertandingkan pada Anugerah PROFIMA kali ini.

Anugerah edisi ke-11 itu membabitkan lebih 80 karya filem, drama, telefilem, filem iklan, majalah, filem pendek, animasi dan dokumentari diadakan bagi mengiktiraf pekerja-pekerja di belakang tabir.

1521 dibaca
Berita Harian X