Khamis, 9 November 2017 | 8:25pm
DATUK Lee Chong Wei (tengah) bersama pelakon utama Filem Lee Chong Wei Rise of the Legend, Jake Eng (kiri) dan Tosh Chan pada sidang media pelancaran filem tersebut di Hotel Mandarin Oriental. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DATUK Lee Chong Wei (tengah) bergambar bersama barisan pelakon Filem Lee Chong Wei Rise of the Legend ketika majlis pelancaran filem tersebut di Hotel Mandarin Oriental. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Filem jadi motivasi dekati badminton

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu filem yang diangkat daripada kisah hidupnya berjudul Lee Chong Wei mampu memberi inspirasi kepada penonton.

Chong Wei, 35, berkata, beliau berharap filem bercorak biografi itu mampu membuka hati penonton supaya lebih positif terhadap sukan badminton.

"Filem ini diharap dapat memberi motivasi kepada rakyat Malaysia supaya menyukai sukan badminton.

"Saya harap ia membuka mata semua pihak, termasuk rakyat di luar negara bahawa Malaysia mampu menghasilkan sebuah filem bertemakan sukan, yang terbaik dan setaraf dengan apa yang pernah dihasilkan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Lee Chong Wei di hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, pengarah filem berkenaan, Teng Bee serta barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Noor serta dua bakat baharu yang membawakan watak Chong Wei ketika kecil dan remaja, iaitu Jake Eng dan Tosh Chan.

Mengulas mengenai pemilihan dua pelakon yang membawa wataknya itu, Chong Wei memberitahu, beliau berpuas hati kerana mereka menepati kriteria diperlukan.

"Selain mempunyai wajah seiras, mereka juga boleh bermain badminton serta dilihat begitu bersungguh-sungguh membawa watak saya," katanya.

Bakal menemui penonton tahun depan, projek terbitan CB Pictures Sdn Bhd turut disasar ditayangkan di peringkat antarabangsa, antaranya Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

828 dibaca
Berita Harian X