Khamis, 30 November 2017 | 8:20am
MENTERI Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun (tengah) bersama Ketua Deligasi Duta Kedutaan Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez (empat dari kiri) dan deligasi pada Majlis Pelancaran Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke 18 di Golden Screen Cinema (GSC) Suria Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Hasilkan karya budaya, biodiversiti di Sabah

KOTA KINABALU: Penggiat industri seni di Sabah diminta menghasilkan lebih banyak karya berunsurkan kepelbagaian budaya serta aset biodiversiti yang kaya di negeri ini supaya dapat ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, beliau mahu melihat lebih banyak filem tempatan berunsurkan Sabah dihasilkan dengan mensasarkan khalayak daripada dalam mahupun luar negara.

"Saya selaku wakil kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan bidang seni dan persembahan di negeri ini, malah yakin filem tempatan yang dihasilkan turut boleh menjadi daya tarikan pelancong," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam dan Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjum di majlis pelancaran Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF), di sini, malam tadi.

Musa berkata, pemilihan Sabah sebagai antara lokasi EUFF dianggap sebagai penghormatan kepada rakyat negeri ini.

"Ia juga boleh dijadikan platform bagi terus memperkenalkan Sabah kepada pengunjung luar sekali gus memperlihatkan keindahan semula jadi serta kawasan bersejarah yang mungkin sesuai dijadikan lokasi penggambaran filem antarabangsa," katanya.

Sementara itu, peminat filem antarabangsa di Sabah kini berpeluang menonton 19 filem pelbagai genre dari negara EU yang pernah meraih pelbagai anugerah sepanjang EUFF ke-18 yang bermula hari ini hingga 6 Disember.

Negeri ini adalah lokasi keempat dan terakhir penganjuran EUFF selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.

Menerusi kerjasama dengan Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) dan Cinema Online, penonton boleh menonton 19 filem pelbagai genre dari Eropah yang pernah meraih anugerah serta pengiktirafan.

Antara filem itu termasuk Car Park, The Commune, Big Game, Victoria dan Coconut Hero.

Semua filem berkenaan boleh ditonton di GSC Suria Sabah dengan kadar tiket RM8 yang boleh didapati secara atas talian GSC E-payment di www.gsc.com.my, GSC Mobile Apps atau kaunter tiket GSC yang mengambil bahagian.

196 dibaca
Berita Harian X