Jumaat, 16 Februari 2018 | 2:41pm
PELAKON, Shaheizy Sam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sam sedia bawa watak The Pocket Rocketman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam, menganggap bayangan Azizulhasni Awang yang melihat dirinya membawakan watak jaguh lumba basikal itu dalam filem biografi atau biopik The Pocket Rocketman sebagai satu penghargaan.

Katanya, walau sekadar memetik nama, ia sesuatu yang sangat membanggakan, apatah lagi naskhah terbabit mengenai perjuangan anak tempatan dalam sukan berbasikal hingga mampu membuka mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.

"Jujurnya, saya sedia membawakan watak Azizulhasni kerana percaya, banyak pengajaran boleh dikongsi melihatkan usaha dan pengorbanan beliau untuk sampai ke tahap sekarang.

"Sudah tentu saya bangga dan gembira jika dapat memainkan wataknya. Saya percaya, ia mampu menyuntik motivasi kepada masyarakat untuk terus menggapai impian walau pun tampak mustahil.


Azizulhasni Awang. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Pada masa sama, secara peribadi saya juga memang sukakan kisah biografi kerana menonjolkan perjuangan dan saya percaya, Azizulhasni sendiri percaya terhadap dirinya," katanya kepada BH Online.

Kelmarin, pada majlis pengumuman dan sidang media mengenai pembikinan filem terbabit, juara dunia acara keirin itu memberi bayangan Shaheizy Sam atau Sam paling dekat dengan karakter dirinya.

Katanya lagi, suka duka perjalanan hidupnya hingga menjadi sebutan di arena sukan antarabangsa bakal dikongsi dengan khalayak di layar perak, berkemungkinan besar pada pertengahan 2019.

Bersandarkan perancangan pihak produksi, ThreeSixty Management, UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia (UUM), filem berbajet RM6 juta itu akan diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Filem yang dijadualkan digarap dan disempurnakan dalam tempoh setahun itu dihasilkan sebagai bahan rujukan, sekali gus diharap dapat menyuntik inspirasi kepada masyarakat.

Buat masa ini, Sam baru saja menyelesaikan penggambaran Polis Evo 2 bersama Zizan Razak, selain memulakan proses praproduksi untuk penerbitan filem sulung syarikatnya.

1989 dibaca
Berita Harian X