Isnin, 12 March 2018 | 5:59pm
PENGARAH KL Special Force, Syafiq Yusof (kiri), bersama bapanya yang juga penerbit filem itu, Datuk Yusof Haslam. - Foto: Nurul Shafina Jemenon.

KL Special Force raih RM4.7j selepas 4 hari

KUALA LUMPUR: Baru empat hari ditayangkan, filem KL Special Force berjaya meraih kutipan kira-kira RM4.7 juta, sekali gus mencatat rekod baharu syarikat produksi, Skop Productions.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata lebih mengejutkan apabila filem aksi arahan anaknya, Syafiq Yusof, itu turut mencatat jumlah kutipan tertinggi, iaitu hampir RM1 juta, pada hari pertama tayangan, Khamis lalu.

"Jumlah kutipan pada hari pertama tayangan termasuk 'sneak preview', iaitu tayangan lewat malam Rabu, berjaya mencatat jumlah kutipan kira-kira RM900,000. Jumlah ini melebihi kutipan hari pertama filem Abang Long Fadil 2, tahun lalu.


BINTANG utama KL Special Force, Datuk Rosyam Nor, pada majlis tayangan filem berkenaan baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Terus-terang, saya memang tak jangka kerana filem ini lebih serius, tidak seperti Abang Long Fadil 2 yang mempertaruhkan komedi.

"Harapan saya, biarlah ia terus mendapat sokongan padu kerana saya bimbang juga dengan kemunculan filem 'blockbuster', Pacific Rim Uprising dan Lee Chong Wei, selepas ini," katanya ketika dihubungi BH Online.

Mengulas kejayaan filem berkenaan, pengarah yang pernah mendapat jolokan Six Million Dollar Man ini berkata, faktor kreativiti dan banyak babak aksi yang dimuatkan di dalamnya berjaya menarik penonton untuk menyaksikan KL Special Force di pawagam.


BARISAN penerbit, pengarah dan pelakon KL Special Force pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya mendapat banyak maklum balas positif mengenai filem terbabit. Bukan saja penonton dewasa, tetapi golongan kanak-kanak juga menyukai filem terbaru daripada kami ini," katanya mengenai naskhah yang diterbitkan secara kerjasama dengan Damofa Productions dan Viper Studios.

Tinjauan di media sosial turut mendapati, netizen menggemari hasil sentuhan Syafiq itu dan mereka menyifatkannya sebagai penanda aras baharu untuk filem tempatan.

KL Special Force menyaksikan lakonan hebat Datuk Rosyam Nor bersama-sama bintang popular, Fattah Amin, dan Syamsul Yusof. Ia turut dibantu oleh Tania Hudson, Esma Danial, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis dan Josiah Hogan.

17236 dibaca
Berita Harian X