Jumaat, 28 September 2018 | 11:01am
PENULIS buku Billion Dollar Whale, Tom Wright . - Foto Aziah Azmee

Billion Dollar Whale ke layar perak

KUALA LUMPUR: Buku Billion Dollar Whale yang mendedahkan perincian mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, bakal diangkat ke layar perak.

Ia selepas SK Global berjaya mendapat hak penerbitan bagi filem untuk buku berkenaan, seperti yang diumumkan pengarang bersama buku Billion Dollar Whale, Tom Wright.

Filem itu akan diterbitkan Ivanhoe Pictures yang juga anak syarikat SK Global, bersama aktres antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang menjalin kerjasama dengan syarikat itu baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan dikongsi Wright yang menulis buku itu bersama wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope, pengumuman itu dibuat oleh Presiden SK Global, John Penotti.

“Tom dan Bradley menghasilkan kisah terperinci dan meyakinkan yang sukar untuk dipercayai,” kata Penotti, yang menzahirkan rasa bangga syarikat itu untuk terbabit dengan projek berkenaan.

Wright berkata, dirinya dan Hope teruja untuk bekerjasama dengan SK Global untuk mengangkat kisah menakjubkan mengenai Jho Low, yang disifatkannya sebagai ‘Gatsby zaman moden’, ke layar perak.

Baru-baru ini, Ivanhoe Pictures turut menjadi penerbit bersama dan menyumbang dana bagi penghasilan filem Crazy Rich Asians yang berjaya mengutip AS$200 juta seluruh dunia.

826 dibaca
Berita Harian X