Ahad, 30 September 2018 | 8:05pm
YUSOF bersama barisan pelakon utama Munafik 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Munafik 2 cemerlang di Indonesia

KUALA LUMPUR: Filem Munafik 2 yang meluaskan penguasaan di Indonesia bermula 26 September lalu mampu berbangga apabila meraih RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, sambutan terhadap filem arahan dan lakonan anaknya, Syamsul di luar dugaan apabila mendapat permintaan 116 panggung berbanding perancangan awal hanya 50 pawagam.

“Saya difahamkan Munafik 2 mengetepikan filem Hollywood, Johnny English Strikes Again untuk menduduki carta teratas di rangkaian pawagam CGV Cinemas.

“Bagi kami, penerimaan penonton di Indonesia sangat menggalakkan, malah Munafik 2 juga dikatakan menjadi filem Malaysia yang paling mendapat sambutan setakat ini.

“Sekiranya maklum balas diterima semakin memberangsangkan, kami jangka jumlah pawagam dan tayangan akan bertambah, selain mampu bertahan sebulan di pawagam,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Jumaat lalu, Yusof mengadakan promosi di beberapa panggung di Jakarta bersama barisan pelakon filem itu termasuk Syamsul, Maya Karin, Fauzi Nawawi dan Datuk Fizz Fairuz.

Katanya lagi, jika tiada aral, mereka berbesar hati untuk turun padang di Bandung pada minggu depan bagi melaksanakan misi sama.

“Jika boleh, kami mahu bertemu semua penonton yang memberikan sokongan terhadap filem ini. Terharu saya melihat sambutan mereka yang luar biasa.

“Saya difahamkan selain di Pekan Baru, tayangan di Bandung membabitkan dua dewan juga menerima sambutan memberangsangkan. Kami mungkin akan ke sana minggu depan,” ulasnya.

Terdahulu, Munafik 2 memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan di negara ini dengan pungutan RM42 juta sejak ditayangkan pada 29 Ogos lalu.

3564 dibaca
Berita Harian X