Ahad, 5 November 2017 | 12:04pm
BURJ Khalifa.

Dubai gamit pelancong Malaysia

KEBIASAANNYA Dubai menjadi destinasi transit bagi pelancong sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi dituju dan lapangan terbang Dubai menjadi persinggahan sementara menunggu penerbangan seterusnya.

Bagi mereka yang transit lama atau mahu mencari kelainan dalam percutian, mungkin boleh meneroka keindahan kota raya Dubai yang kini gah di persada dunia sebagai lokasi pelancongan mewah dan pesat membangun.

Dubai adalah satu daripada tujuh emiriah yang membentuk negara Emiriah Arab Bersatu (UAE). Enam lagi emiriah adalah Abu Dhabi yang juga ibu negara UAE; Ajman, Ras Al Khaimah, Fujairah, Umm Quwwain dan Sharjah.

Keluasan geografi dan kekayaan minyak di Abu Dhabi serta kuasa politik yang berpusat di bandar itu, menjadikan pemerintah Abu Dhabi iaitu Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan menjadi Presiden UAE, manakala pemerintah Dubai, Sheikh Mohammad Rashid Al Maktoum pula menjadi Perdana Menteri UAE.

Jika Abu Dhabi dan emirah lain bergantung kepada hasil minyak sepenuhnya, ia berbeza bagi Dubai yang meletakkan sektor pelancongan dan kewangan sebagai punca utamanya.

Pusat berbelanja bebas cukai

Susulan itu, bagi menarik kedatangan pelancong ke bandar raya di tepi Teluk Arab ini, Dubai perlu mencipta kelainan dengan mewujudkan ikon pelancongan terhebat di dunia.

Dubai yang mempunyai 2.9 juta penduduk terkenal sebagai pusat beli-belah bebas cukai, memiliki seni bina pembangunan mengagumkan dan kehidupan malam yang menarik.

Kesan pembangunan pesat dialami Dubai menjadikan bandar kosmopolitan ini digelar bandar raya paling mahal di Asia Barat, malah pada tahun 2014, kadar bilik hotel di Dubai dicatatkan sebagai kedua termahal di dunia selepas Geneva.

Tidak sah berkunjung ke Dubai jika tidak melawat mercu tanda utamanya - Burj Khalifa dengan ketinggian 828 meter, sekali gus menjadi bangunan tertinggi di dunia. Ia bangunan ikonik berlatarbelakangkan seni bina Islam yang terpacak megah di kelilingi bangunan pencakar langit lain di tengah bandar raya ini atau lebih dikenali sebagai Downtown Dubai.

Menara tinjau tertinggi dunia

Pelancong berpeluang menikmati keindahan Dubai jika berada di menara tinjau di tingkat 124, 125 atau 148, sekali gus menjadi menara tinjau tertinggi di dunia dengan pengalaman menaiki lif yang terlaju di dunia. Dari tingkat satu ke 124 hanya mengambil masa seminit!

Di dalam Burj Khalifa ini, terletak hotel mewah, Hotel Armani Dubai yang hiasan dalaman semua biliknya hasil sentuhan pereka terkenal dunia, Giorgio Armani. Tidak hairanlah jika bilik suite ditawarkan kepada pelancong berharga sehingga RM52,000 satu malam. Selain di Dubai, Hotel Armani turut berada di Milan, Itali.

Burj Khalifa juga bersambung dengan pusat beli-belah terbesar dunia, Dubai Mall yang memiliki 1,400 kedai menawarkan pelbagai barangan. Di aras bawah Dubai Mall turut menempatkan Dubai Aquarium yang juga antara terbesar di dunia!

Melengkapkan lagi pemandangan indah di sini, terdapat pancuran air Dubai (Dubai Fountain) di kaki bangunan Burj Khalija yang dihiasi semburan air setinggi 500 kaki dan cahaya pelbagai warna mengikut rentak muzik pada waktu tertentu setiap hari yang menjadi tarikan pelancong.

Nama asal Burj Khalifa adalah Burj Dubai, dimajukan syarikat hartanah terkenal, Emaar pada 2004 dan siap pada 2009 ketika Dubai berdepan krisis kewangan global. Kerajaan Abu Dhabi kemudian memberi bantuan pinjaman kewangan kepada Dubai bagi pembinaan Burj Dubai dan bagi menghargai bantuan itu, ia kemudian dinamakan Burj Khalifa bagi mengenang jasa Sheikh Khalifa.

Pulau buatan menyerupai pokok palma

Selain Burj Khalifa, Dubai turut memiliki Burj Al Arab iaitu hotel tujuh bintang mewah dunia dengan ketinggian 321 meter. Reka bentuknya bagaikan kapal layar dibina di atas pulau buatan di Teluk Arab dengan pasir putih pesisiran pantai diimport dari Nigeria.

Bukan sembarangan orang yang boleh merakam kenangan di hotel ini kerana hanya tetamu hotel dan pelanggan restorannya saja boleh memasukinya dengan syarat berpakaian kemas serba lengkap. Tempahan awal perlu dilakukan untuk ke Burj Al Arab dan bersarapan di sini saja dikenakan bayaran RM260 seorang.

Selain bangunan pencakar langit, Dubai juga terkenal dengan pulau buatan manusia, The Palm Jumeirah yang dibina pada 2001 dan didiami pada 2007.

Pulau buatan ini menyerupai pokok palma dilengkapi kawasan perumahan, kedai dan hotel mewah seperti Atlantis The Palm, Dubai. Pantai Jumeirah pula dibuka kepada awam dan wanita yang mandi di sini dibenarkan memakai bikini.

Bagi peminat barangan kemas, tekstil, rempah-ratus dan cenderamata, Dubai Gold Souk dan Dubai Spice Souk perlu dilawati yang menawarkan barangan dengan harga berpatutan jika bijak menawar kerana peniaga boleh menurunkan harga sehingga 70 peratus daripada harga dipamerkan.

Terokai cabaran gurun safari


'DUNE bashing' di Desert Safari Dubai.

Tidak terhenti di situ, tarikan Dubai juga terletak di padang pasirnya. Pelancong ekstrem yang mahu memacu andrenalin pasti tidak melepaskan peluang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) meneroka Desert Safari Dubai selama setengah jam.

Pemandu profesional 4WD akan membawa pelancong naik dan turun bukit padang pasir yang curam untuk 'dune bashing'. Namun, aktiviti ini tidak sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan. Paling menarik jika berpeluang melihat keindahan matahari terbenam di padang pasir.

Melengkapkan pakej ekstrem itu, nikmati makan malam di resort mewah di tengah padang pasir sambil dihiburkan dengan tarian gelek dan persembahan tarian Arab.


MENIKMATI makan malan di tengah padang pasir di Desert Safari Dubai.

Masjid ukiran dinding batu marmar

Selepas puas menjelajah Dubai, pelancong boleh terus ke Abu Dhabi yang jaraknya hanya 150 kilometer atau dua jam pemanduan dari Dubai. Lokasi kunjungan pertama tentunya masjid ketiga terbesar di dunia, Masjid Agung Sheikh Zayed, yang juga masjid terbesar di UAE dengan kapasiti lebih 45,000 jemaah.

Dibina pada tahun 1996 dan dibuka pada 2007, masjid berwarna putih dihiasi ukiran dinding daripada batu marmar diimport serta seni bina mengagumkan ini memegang beberapa rekod dunia termasuk permaidani buatan tangan terbesar di dunia dan lampu gantung chandelier paling besar dan indah di dunia yang dihiasi kristal Swarovski.


PEMANDANGAN di dalam Masjid Agung Sheikh Zayed.

Pembinaan masjid ini diilhamkan Sheikh Zayed dan pada Disember 2007, ia dibuka kepada umum untuk lawatan serta mula digunakan untuk beribadah. Memiliki 82 kubah, lebih 1,000 tiang dan empat menara setinggi 107 meter di empat penjuru masjid. Terpukau menyaksikan keindahan seni bina masjid ini yang dikelilingi kolam, bangunannya serba putih kelihatan binaannya seolaholah seperti Taj Mahal.

Bagi peminat kereta Ferrari, lawatan ke Ferrari World Abu Dhabi (FWAD) bagai melengkapkan impian mereka. Terletak di Yas Island, FWAD adalah taman tema dalam bangunan pertama dibina Ferrari di dunia dan bukannya di negara asal syarikat pengeluar kereta di Itali itu.


ALAMI kemeriahan taman tema Ferrari World.

Ia bukan taman tema biasa tetapi memberikan pengalaman mengujakan kepada peminat dunia permotoran kerana memiliki banyak tarikan termasuk menaiki Formula Rossa, roller coaster terpantas di dunia mempunyai dayaGsama seperti memandu kereta F1, selain gelung trek bagi roller coaster tertinggi di dunia dengan kepantasan hanya dua minit bagi menghabiskan satu sesi permainan.

Pakej menarik, harga berpatutan

Pelancong juga boleh merakam kenangan bergambar bersama beberapa model kereta Ferrari yang dipamerkan di situ.

Kedatangan penulis ke Dubai bersama MATTA Chapter KL diketuai Pengerusinya, Rocky Kho dan 40 agensi pelancongan tempatan bagi meninjau prospek pelancongan di UAE, khasnya di Dubai yang boleh diteroka pelancong Malaysia. Superjet Travel & Holidays yang juga agensi pelancongan utama di Dubai menyediakan pelbagai pakej menarik pada harga berpatutan.

Pengarah Urusannya, Masiuddin Mohammed berkata, pihaknya menyasarkan pertambahan kedatangan pelancong Malaysia ke Dubai dan menjadikan Malaysia sebagai pasaran baharu sektor pelancongan di UAE.


PENULIS bergambar di Desert Safari.

926 dibaca
Berita Harian X