Ahad, 19 November 2017 | 8:00am

Bosnia yang damai

TERPANCAR senyuman di bibir Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, apabila melihat tersergam indah Masjid Rogatica di Visegrad, bandar terdekat berhampiran sempadan Serbia - Bosnia dalam Kayuhan Solo Lapan Negara Balkan 2017.

Hasan berkata, sepanjang berkayuh dari Bulgaria hingga ke Serbia, hanya sebuah masjid ditemuinya, iaitu Masjid Bunya Bashi di Sofia, manakala ketika melintas Serbia tiada ditemui rumah ibadat orang Islam itu.

"Hati mana tidak gembira, dapatlah juga bersolat di masjid kerana sebelum ini hanya di bilik hotel atau tempat rehat di pertengahan jalan. Berehat sebentar di Masjid Rogatica memberi peluang kepada saya berkenalan dengan penduduk setempat, di samping dapat mengembalikan tenaga," katanya kepada BH.

Kata Hasan, di bandar Visegrad beliau tidak ragu-ragu untuk menikmati makanan memandangkan rata-ratanya disediakan orang Islam Bosnia, berbanding di Serbia.

"Ketika menginap di Cacak, kira-kira 32 kilometer dari Kraljevo minggu lalu, perut mulai berkeroncong, memandangkan ketika tengah hari, saya memakan biskut dan buah-buahan sebagai pengalas perut.


MASJID Rogatica tersergam indah di pekan Visegrad, Bosnia. - Foto ihsan Hasan Nawawi


TEROWONG Sokoloca dibina di sempadan Serbia-Bosnia bagi memendekkan perjalanan ke Visegrad. - Foto ihsan Hasan Nawawi

"Apabila lagi terpaksalah cari kedai serbaneka untuk membeli roti buku, kuah kacang, pisang dan air buah. Hendak makan pizza tidak berani kerana semuanya ada babi, mahu tak mahu telan buah pisang," katanya.

Seperti Bulgaria, Serbia juga tidak ketinggalan menjadi medan peperangan yang mengakibatkan masjid yang dibina ketika kecemerlangan Islam Eropah, dirobohkan tentera Kristian ketika Perang Salib pada 1877.

Lebih malangnya, Serbia tunduk di bawah pemerintahan komunis Yugoslavia (Presiden Tito) hampir 50 tahun selepas Perang Dunia Kedua, sekali gus pengaruh Islam di negara Balkan berkenaan turut hancur seperti Sepanyol (kerajaan Andalusia).

Selepas itu, beliau mengayuh ke Mokra Gora, pintu sempadan Serbia - Bosnia dan ketika di situ beliau dimaklumkan cuaca sejuk yang melanda Bosnia termasuk salji sudah mula turun di Banja Luka.

"Sebelum mendaftar masuk ke hotel, saya sempat membeli kasut dan seluar penahan cuaca sejuk. Kasut yang saya pakai sejak dari Malaysia sudah pun lekang dan berlubang, menyebabkan kaki berasa kebas bila suhu menjengah 5 darjah Celcius," katanya.

Beliau berkata, di bumi Visegrad, dia kagum melihat tamadun Islam terpancar di situ kerana terdapat banyak binaan peninggalan Empayar Uthamaniyyah yang masih utuh.

"Selain masjid, Jambatan Sokolovic yang direka jurutera terkenal, Sinan pada kurun ke-16. Menariknya di tengah jambatan ini, terdapat sebuah tembok yang tertulis ayat suci Al-Quran.


JAMBATAN Sokolovic yang merentasi Sungai Drina di Visegrad, Bosnia dibina jurutera Sinan di zaman keagungan Uthmaniyyah. - Foto ihsan Hasan Nawawi

"Bayangkan, betapa hebatnya jurutera Islam ketika itu membina jambatan menyeberangi Sungai Drina yang masih kukuh hingga sekarang, serta puluhan meriam gergasi," katanya.

Menjadi kebiasaan bekas Datuk Bandar Ipoh ini, selepas tiba di sesebuah negara, beliau akan membeli kad SIM bagi memudahkannya berhubung dengan keluarga atau dengan penulis.

"Malangnya selepas kad SIM diaktifkan, ketika perlu ditambah nilai, ramai pekedai tidak pandai berbahasa Inggeris. Terpaksalah saya meminta bantuan staf hotel.

"Dengan perkataan Bosnia 'Kopuna' saya kembali ke kedai yang menjual kad SIM. Selesai satu bab, dapatlah melayari Internet dan menelefon dari Bosnia," katanya.

Ketika menginap di hotel, beliau menerima pesanan daripada Duta Malaysia ke Bosnia, Tuan Yang Terutama Zakri Jaafar dan meminta datang menemui beliau apabila sampai di Sarajevo.

"Jika di Leluburgaz, Turki, tiub tayar hadapan bocor, manakala di Krusevac, Serbia rim tayar belakang bengkok dan jejarinya patah, hingga merencatkan perjalanan.


DAYAN pemilik kedai basikal di Serbia, sedang membaiki rim basikal Hasan yang bengkok. - Foto ihsan Hasan Nawawi

"Malangnya di Visegrad, ketika hendak memulakan kayuhan didapati tayar belakang basikal pula pancit. Apa lagi jadi McGyver saya sekejap membaikinya.

"Selepas itu, saya berkayuh sejauh 120 kilometer selama dua hari untuk sampai ke pejabat Kedutaan Malaysia di Sarajevo, Bosnia Herzegovina," katanya.

Menurut Hasan, beliau berehat tiga hari di Sarajevo, sambil mengabadikan foto kenang-kenangan di situ sebelum menyambung kayuhan ke Mostar sebelum memasuki Croatia, esok.

"Sepanjang di Sarajevo, saya dijamu makan malam oleh duta. Pada masa yang sama berkenalan dengan kakitangan kedutaan Malaysia di sana," katanya.

Hasan berkata, mengikut perancangan, kayuhan ke Croatia akan melalui jalan pantai bagi mengelakkan cuaca yang sangat sejuk ketika ini.

1371 dibaca
HASAN bersiap sedia untuk meninggalkan pekan Mokra Gora, Serbia bagi meneruskan perjalanan ke Bosnia. - Foto ihsan Hasan Nawawi
DAUN-DAUN pokok yang menguning mulai gugur menandakan musim luruh di Serbia sudah tiba. - Foto ihsan Hasan Nawawi
ALAT pemanas api lama dan manual masih digunakan pengusaha hotel di Mokra Gora untuk pengunjungnya. - Foto ihsan Hasan Nawawi
Berita Harian X