Ahad, 26 November 2017 | 6:54am

Cemas berselisih dengan lori, bas

JALAN sempit dan terpaksa berhenti beberapa kali kerana berselisih dengan bas serta lori ketika melalui Terowong Ivan di Sarajevo, antara cabaran getir buat Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman yang dalam Misi Kayuhan Solo Lapan Negara Balkan.

Hasan berkata, beliau tiada pilihan kerana terowong sejauh 645 meter itu adalah satu-satunya jalan ke Mostar tetapi masalahnya, lorong berkenaan hanya muat untuk sebuah kenderaan, manakala penunggang basikal terpaksa berhenti di bahu jalan.

"Hanya kenderaan bergerak laju dibenarkan melalui terowong berkenaan. Penunggang basikal kena pantas atau berhenti di bahu jalan sambil menunggu laluan kosong.

"Ditambah pula lampu di dalam terowong agak malap. Keadaan menjadi cemas apabila lori dengan lori atau bas berselisih. Sukar hendak melihat apa yang datang.

"Jika mahu meneruskan kayuhan, kita kenalah mengayuh dengan kelajuan 40 kilometer sejam. Kalau tidak, alamatnya kena hon dek pemilik kenderaan lain," kata Wira Daratan itu kepada BH ketika mengayuh ke Mostar, bandar di sempadan Bosnia-Croatia.

Hasan berkata, di Sarajevo, beliau berehat dua hari bagi membuat persiapan untuk berkayuh ke Croatia dengan suhu di bawah tahap beku -2 Celsius dan lebih tujuh terowong terpaksa ditempuh.


TEROWONG Ivan di Sarajevo.


HASAN bergambar bersama dua gadis Malaysia yang berasal dari Ampang, ketika melawat Bihac di sebelah barat Bosnia.

"Saya sempat melawat Bihac di sebelah barat Bosnia untuk bermain salji. Ketika asyik melihat keindahan pemandangan di situ, saya dihampiri dua gadis Malaysia berasal dari Ampang.

"Mereka terkejut apabila bertemu saya dan bertanyakan sama ada saya adalah individu yang disiarkan oleh RTM. Apabila diberitahu saya orang pencen dan hanya berbasikal ke Sarajevo, mereka terpinga-pinga.

"Bagaimanapun, apabila saya menunjukkan WhatsApp mengenai artikel yang disiarkan BH, barulah mereka memahaminya," katanya.

Hasan berkata, ketika berkayuh ke Mostar, beliau terfikir untuk menubuhkan Kelab Kembara Basikal bagi melahirkan modal insan berjiwa besar dan mampu menghadapi cabaran.

"Saya juga ingin membukukan pengalaman sepanjang berkayuh di Balkan sebagai motivasi kepada generasi muda dan mencabar mereka untuk melakukannya di luar jangkaan.

"Macam-macam ilham terbayang di fikiran ketika berkayuh bersendirian. Malah rakan-rakan di Kajang bersetuju untuk membantu membuat program XPDC termasuk menjelajah Malaysia," katanya.


PEMANDANGAN indah bandar Mostar.

Perjalanan dari Sarajevo ke Mostar sejauh 140 kilometer, namun cuaca sejuk dan bersalji membataskan percubaan bekas Pegawai Daerah Port Dickson itu yang pernah diisytihar sebagai rakyat Malaysia pertama berbasikal mengelilingi dunia.

Namun, kepenatannya berbaloi apabila melihat keindahan pemandangan kawasan kampung terutama sebaik menghampiri bandar Konjic.

"Untuk sampai ke sini, saya melalui banyak laluan berbukit dan beberapa kali turun untuk menolak basikal. Sesekali terhibur juga apabila melihat salji berguguran di tepi jalan.

"Ketika berkayuh di atas Jambatan Konjic, binaan peninggalan Khalifah Uthmaniyyah, saya bertemu dua gadis Bosnia bernama Elma. Mereka terkejut melihat saya bersendirian mengayuh basikal dalam suasana salji.

"Kami sempat bergambar berlatarbelakangkan jambatan yang berusia hampir 300 tahun itu. Memandangkan baru jam 2 petang dan cuaca terang saya cuba bersiar-siar di situ, namun suasana bertukar menjadi gelap seperti senja, walhal baru jam 3.30 petang. Keadaan ini memaksa saya berpatah ke hotel untuk berehat," katanya.

Hasan berkata, di Croatia, beliau akan berkayuh menyusuri laluan pantai bagi mengelakkan cuaca sejuk yang melampau jika menggunakan jalan raya di tengah negara berkenaan.

"Berdasarkan pengalaman lalu, angin laut lebih panas jika berkayuh di tepi pantai dan ia sedikit sebanyak menghangatkan tubuh.


DUA gadis Bosnia bernama Elma bergambar dengan basikal Hasan ketika berkunjung di Konjic.

"Di Croatia nanti, saya akan berkayuh sejauh 604 kilometer melalui bandar Metkovic, Ploce, Makarska, Split, Sibenik, Zadar serta Rijeka, dan mungkin mengambil masa lima hari.

"Biasalah setiap kali sampai ke sesebuah negara, pastinya penggurup wang akan saya tuju bagi menukar mata wang kerana pekedai biasanya tidak menerima mata wang luar," katanya.

Selepas urusan imigresen selesai, beliau berkayuh sejauh 20 kilometer untuk sampai ke bandar terdekat, Metkovic, kira-kira jam 4 petang.

"Apa yang menarik perhatian saya ialah deretan pokok delima dengan saiz buahnya yang agak besar dan lebat berbanding delima yang kita tanam.

"Betapa besar kuasa Allah, Dia mengkehendaki apa sahaja termasuk tumbuhnya pokok delima di negara berhawa dingin. Macam hendak petik sahaja delima yang sedang masak ranum itu," katanya.

Hari kedua di Metkovic, cuaca yang agak panas dengan suhu mencecah 10 Celsius, menyaksikan Hasan menanggalkan sehelai daripada tiga baju yang dipakainya dan tidak lagi memakai seluar tebal.

"Cuaca sebegini, seperti berkayuh di Turki dan saya tidak perlu lagi memakai baju penahan sejuk yang tebal untuk berkayuh di Split. Faktor ini mungkin mempercepatkan kayuhan saya di Croatia nanti," katanya.

1029 dibaca
KEADAAN sebuah perkampungan di Mostar, Bosnia.
Berita Harian X