Isnin, 11 Disember 2017 | 10:53am

3 destinasi terindah di Hong Kong

ANDA mungkin tidak pernah membayangkan Hong Kong sebagai destinasi yang menawarkan pelbagai aktiviti luar dan lasak apabila anda dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit dan lampu-lampu neon di bandar raya yang tidak pernah sunyi ini.

Namun, tidak jauh dari metropolis tersebut, anda akan menemui sisi Hong Kong yang sungguh berbeza.

Dari pemandangan gunung-ganang yang mempesonakan hinggalah kawasan pesisir pantai yang indah dan laluan pendakian yang menarik untuk diterokai; Hong Kong menawarkan pelbagai tarikan semula jadi yang hebat.

Bayangkan anda menikmati keindahan langit yang dipenuhi bintang di sebuah pulau terpencil; awan yang menyelimuti puncak gunung yang tenang; matahari terbit dari puncak yang menakjubkan; kehijauan alam serta taman-taman seluas pandangan, dan banyak lagi.

Berikut adalah pilihan kami untuk mereka yang ingin mengembara ke Hong Kong:

Landskap menakjubkan - Sunset Peak

Tahap: Sukar

Jarak: Kira-kira 9 km

Tempoh purata pendakian: Kira-kira 4 jam

Cara untuk ke Pak Kung Au: Dari MTR Tung Chung Station, ambil Exit B. Naik bas 3M, 11 atau 23 di Tung Chung Bus Terminus dan turun di Pak Kung Au.

Sunset Peak di Islands District adalah salah satu destinasi melihat matahari terbenam dan pemandangan laut yang mesti anda kunjungi! Terletak pada ketinggian 869 meter, Sunset Peak ialah puncak ketiga tertinggi di Hong Kong.

Dihiasi rumput silvergrass, pondok-pondok batu gaya desa dan pemandangan laut seluas mata memandang, waktu matahari terbenam di sini menjadi pilihan golongan pendaki dan jurugambar. Tiada gerai makanan di sepanjang laluan ini, jadi pastikan anda membawa bekalan yang mencukupi dari Tung Chung sebelum mula mendaki.

Tempat bermula - Pak Kung Au. Pendakian anda bermula di laluan di antara Lantau Peak dan Sunset Peak. Dari sini, anda dapat menikmati keindahan Tung Chung ke arah utara dan pesisir pantai Cheung Sha ke arah selatan. Apabila sudah bersedia untuk mendaki, cari petunjuk arah ke Lantau Trail Stage 2 di kawasan perkelahan.

Hentian pertama - Lantau Trail. Ini adalah satu-satunya laluan mendaki bukit dengan jarak melebihi 450 meter - pendakian yang mencabar tetapi sangat berbaloi dan kebanyakan laluannya teduh.

Apabila sampai ke altitud yang lebih tinggi, pokok-pokok tinggi akan digantikan dengan pokok-pokok renek dan rumput yang tinggi, memberikan pemandangan yang terbuka ke semua arah. Ia sememangnya pilihan yang terbaik untuk mendekati alam semula jadi!

Hentian kedua - Sunset Peak & Yi Tung Shan. Apabila sampai ke rabung di antara Sunset Peak dan puncak Yi Tung Shan, keindahan sinaran matahari, awan dan rumput silvergrass pasti memukau pandangan anda. Pada musim sejuk, rumput silvergrass akan bertukar warna keemasan, menerangi cerun-cerun di sekelilingnya.

Singgahlah di pondok-pondok batu di Lantau Mountain Camp yang dibina hampir seabad lalu oleh mubaligh-mubaligh British.

Jika anda ingin menyaksikan matahari terbenam di sini, lawatilah laman web Hong Kong Observatory terlebih dahulu untuk mengetahui waktu sebenar matahari terbenam, dan bawa lampu suluh atau lampu kepala untuk membantu pendakian anda.

Hentian ketiga/ Tempat keluar - Nam Shan. Teruskan pendakian ke Lantau Trail Stage 2 dan turun ke Nam Shan, dan jalan dengan berhati-hati di atas batu-batuan.

Jika anda ingin menamatkan pendakian di sini, anda boleh menaiki bas 1, 2, 3M atau 4 ke Mui Wo, atau 3M ke MTR Tung Chung Station, di hentian bas di South Lantau Road.

Hentian keempat - Luk Tei Tong Watch Tower & Mui Wo. Jika ingin meneruskan pendakian, masuk ke laluan perkampungan di antara Nam Shan dan Mui Wo.

Jalan selama 20 minit dan anda akan dapat melihat sebuah menara jam yang diperbuat daripada granit yang kukuh - ia telah dibina oleh penduduk kampung untuk melindunginya dari penjahat dan lanun.

Teruskan perjalanan menyusuri perkampungan dan anda akan sampai ke pekan Mui Wo dalam masa 15 minit. Ada banyak kafe, restoran dan gerai makan di Mui Wo untuk anda menjamu selera dan mengisi perut setelah penat mendaki.

Tempat berakhir - Silver Mine Bay. Selepas menjamu selera dan menambah tenaga, teruskan perjalanan anda ke laluan tepi pantai untuk berenang di pantai yang indah.

Di Mui Wo Bus Terminus, naik bas 3M ke stesen MTR Tung Chung; atau naik feri ke Central dari Mui Wo Ferry Pier.


PEMANDANGAN langit yang dihiasi bintang dan lautan awan yang sungguh menakjubkan dari ketinggian 869 meter di Sunset Peak, puncak ketiga tertinggi di Hong Kong. Gambar-gambar ini diambil oleh Pemenang Peraduan Foto National Geographic Hong Kong, Will Cho.

PEMANDANGAN langit yang dihiasi bintang dan lautan awan yang sungguh menakjubkan dari ketinggian 869 meter di Sunset Peak, puncak ketiga tertinggi di Hong Kong. Gambar-gambar ini diambil oleh Pemenang Peraduan Foto National Geographic Hong Kong, Will Cho.

Bersiar-siar ke puncak tertinggi - Tai Mo Shan

Tahap: Sederhana

Jarak: Kira-kira 5 km (sehala)

Tempoh purata pendakian: Kira-kira 2 jam (sehala)

Cara untuk ke Tai Mo Shan Country Park Visitor Centre: Dari MTR Tsuen Wan Station, ambil Exit A dan cari tangga menuju ke hentian bas Tai Ho Road North (di atas stesen). Naik bas 51 ke Country Park dan berhenti di Route Twisk, kemudian jalan kaki menyusuri Tai Mo Shan Road.

Pada ketinggian 957 meter dan sering diselimuti awan stratus, Tai Mo Shan di Tsuen Wan District adalah puncak tertinggi di Hong Kong yang masih dapat dilihat dari banyak kawasan di bandar raya ini.

Walaupun pada ketinggian tersebut, Tai Mo Shan boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki; anda akan teruja menyaksikan keindahan dan kehijauan alam yang pasti akan menghasilkan gambar-gambar yang cantik.

Tempat bermula - Tai Mo Shan Country Park Visitor Centre. Selepas anda bermula dengan melintasi Tai Mo Shan Road dan Route Twisk, anda akan sampai ke Visitor Centre yang berada di sebelah kiri anda.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai Tai Mo Shan Country Park dan perubahan cuaca dari perspektif tempatan dan global melalui panel-panel interaktif di sana. Anda juga boleh membeli makanan dan minuman di kiosk yang terletak di tempat letak kereta Tai Mo Shan Country Park sebelum memulakan perjalanan.

Hentian pertama - Tai Mo Shan Lookout. Teruskan berjalan menaiki bukit di Tai Mo Shan Road dan anda akan dapat melihat pemandangan tepi bukit dan bandar raya ini. Nikmati keindahan Kam Tin dan Yuen Long dari menara tinjau yang terletak sebelum tiang kawalan trafik. Pastikan anda peka terhadap kenderaan yang lalu-lalang di jalan yang berhampiran.

Hentian kedua - Tai Mo Shan Road. Kawasan yang berbelok-belok di Tai Mo Shan Road yang juga merupakan sebahagian daripada MacLehose Trail Stage 8, akan membawa anda menuju ke puncak gunung ini. Pada ketinggian ini, anda akan dapat menikmati pemandangan indah di tempat-tempat yang jauh dan dekat, dan mungkin juga akan bertembung dengan lembu-lembu liar semasa dalam perjalanan!

Tempat berakhir - Weather Radar Station. Tanpa halangan dari semua arah, stesen cuaca Hong Kong Observatory di puncak Tai Mo Shan ini mengumpul data yang diperolehi dari imej-imej radar dan mengukur kelajuan angin pada ketinggian yang berbeza di Hong Kong.

Dari lokasi ini, tanpa memasuki kawasan stesen cuaca, anda boleh kembali ke stesen bas Country Park di Route Twisk untuk menaiki bas 51 ke MTR Tsuen Wan Station di mana anda boleh mendapatkan pelbagai jenis pengangkutan untuk menerokai bandar raya ini.


ABADIKAN keindahan cahaya lampu di bandar raya ini dari Tai Mo Shan dengan tetapan cahaya yang berbeza untuk menikmati kecantikan latar langit. Gambar diambil oleh jurugambar sukan aktiviti luar yang berpengalaman, Elvis Mo.

LAUTAN awan menyelimuti puncak gunung yang tenang di Tai Mo Shan, puncak tertinggi di Hong Kong pada ketinggian 957 meter. Gambar diambil oleh jurugambar yang telah memenangi pelbagai anugerah, Jessica Li.

Mengembara ke tanah legenda - Plover Cove Country Park

Tahap: Sederhana

Jarak: Kira-kira 7.5 km

Tempoh purata pendakian: Kira-kira 3 jam

Cara untuk ke Bride's Pool: Jalan kaki dari MTR Tai Po Market Station, ambil Exit B ke Tai Po Market Station Public Minibus Terminus. Dari sana, naik bas mini 20R selama kira-kira 40 minit menuju ke Bride's Pool Nature Trail di Bride's Pool Road; atau dari Tai Po Market Station Bus Terminus, naik bas 275R ke Bride's Pool Bus Terminus pada hari Ahad dan cuti umum.

Anda perlu melihat sendiri untuk mempercayai betapa indahnya Plover Cove Country Park yang seolah-olah terperangkap dalam masa lampau.

Dikelilingi perkampungan Hakka yang berabad usianya dengan nama-nama yang eksotik, kisah-kisah dongeng yang menarik, sungai yang mempesonakan, kawasan air terjun yang dikenali sebagai Bride's Pool, pokok-pokok buluh dan banyak lagi; semua keistimewaan alam semulajadi dan warisan ini dekat saja dengan bandar raya Hong Kong - namun anda akan berasa seperti beribu batu jauh darinya.

Tempat bermula - Bride's Pool. Mulakan perjalanan anda dari Bride's Pool Nature Trail. Ikuti laluan yang menyusuri sungai hingga sampai ke air terjun. Menurut legenda, seorang pengantin perempuan telah melalui kawasan ini dalam perjalanannya untuk bertemu dengan pengantin lelaki, namun salah seorang pembawa tandunya telah tergelincir.

Pengantin tersebut jatuh ke dalam sungai dan dibawa arus sehingga ke air terjun dan lemas dalam pakaian perkahwinannya yang berat dan penuh hiasan. Kolam ini kemudian dinamakan sempena memperingati nasib pengantin tersebut yang sungguh tragik.

Hentian kedua - Wu Kau Tang Village. Teruskan perjalanan di laluan yang dikelilingi pokok-pokok buluh, sarang labah-labah yang cantik dan anak sungai yang mengalir tenang. 'Wu Kau Tang' bermaksud 'naga hitam berterbangan' dalam bahasa Cina, sejenis eufemisme untuk kura-kura yang sangat banyak di kawasan ini apabila orang Hakka mula tinggal di sini semasa Dinasti Qing (1644-1911).

Hentian ketiga - Lai Sam Ancient Trail. Ikuti laluan yang digunakan oleh penduduk untuk berulang-alik dari perkampungan Wu Kau Tang dan Sam A melalui Lai Tau Shek beberapa abad lalu. Nikmati keindahan Sam A Wan, sebuah teluk yang bersambung dengan Double Haven, apabila anda sampai ke Lai Tau Shek.

Hentian keempat - Sam A Village. 'Sam A' bermaksud cangkuk serampang tiga dalam bahasa Kantonis yang merujuk kepada bentuk muka bumi teluk tersebut. Perkampungan yang sunyi ini berlatarbelakangkan bukit-bukau yang kelihatan hijau gelap dengan tasik yang sangat jernih di hadapannya.

Rumah teh di perkampungan ini dimiliki oleh pasangan warga emas yang menyajikan masakan Hakka pada hari minggu dan cuti umum. Pada hari biasa, mereka menjual mi, snek dan minuman.

Tempat berakhir - Lai Chi Wo. Ikuti petunjuk arah dan teruskan pendakian selama kira-kira 45 minit menuju ke Lai Chi Wo, yang bermaksud 'suak Laici' dalam bahasa Cina. Naiki tangga di pintu masuk perkampungan ini untuk menikmati pemandangannya.

Lai Chi Wo menempatkan sebuah perkampungan Hakka yang telah dibuka 400 tahun lalu, dan telah dinobatkan sebagai Site of Special Science Interest (SSSI). Hutan feng shui di belakang perkampungan ini menyimpan pelbagai khazanah alam untuk kajian ekologi. Di sepanjang Lai Chi Wo Nature Trail, anda akan menemui pelbagai tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan kecil yang menarik.

Dari tempat berakhir, perkhidmatan feri disediakan di antara Ma Liu Shui dan Lai Chi Wo (3:30pm) pada hari Ahad dan cuti umum, dan mengambil masa kira-kira 90 minit. Apabila sampai ke Ma Liu Shui Pier, jalan kaki selama kira-kira 15 minit menuju ke MTR University Station di mana anda boleh pergi ke tempat-tempat lain di Hong Kong.

Laluan lain untuk pulang adalah dari Lai Chi Wo melalui jalan yang sama atau melalui Wu Kai Tang Village di mana anda boleh menaiki bas mini 20R ke Tai Po Market di mana anda boleh mendapatkan pengangkutan jenis lain.


MENAMPILKAN perkampungan Hakka yang berabad usianya dengan nama-nama yang eksotik, kisah-kisah dongeng yang menarik, air terjun, pokok-pokok buluh dan banyak lagi, Plover Cove Country Park hampir kelihatan seperti terperangkap di masa lampau. Gambar diambil oleh jurugambar terkenal yang menetap di Hong Kong, Romain Jacquet Lagreze.

LANDSKAP menghijau di Lai Sam Ancient Trail.

Untuk lebih banyak lagi pilihan menyusuri alam semulajadi dengan pengalaman percutian yang unik di Hong Kong, rujuklah buku panduan terkini Hong Kong Great Outdoors: Your Guide to Hiking and Cycling dan nikmati keindahan alam semula jadi yang hebat di sini:

http://www.discoverhongkong.com/seasia/see-do/great-outdoors/great-outdo...

Panduan ini dibahagikan kepada tiga tema: Hiking in Heritage; Picture-Perfect Vistas; dan Geological Wonders untuk disesuaikan dengan pilihan individu pendaki, dari cadangan laluan yang menepati tema, tempoh pendakian hinggalah tahap kesukaran.

Panduan ini juga memaparkan beberapa laluan berbasikal untuk mereka yang ingin meneroka bandar raya ini dari perspektif yang berbeza.

Ikuti Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) di Instagram, Facebook, Twitter: @DiscoverHongKong untuk berita/ trend terkini di Kota Dunia Asia ini dan sertai perbualannya dengan menaip hashtag: #DiscoverHongKong.

902 dibaca
Berita Harian X