Isnin, 8 Januari 2018 | 10:13pm

Nostalgia perahu tambang

KEPALA BATAS: Kampung Permatang Bendahari yang terletak bersempadan di antara kawasan Penaga, Pulau Pinang dan Kota Kuala Muda, Kedah, menyimpan banyak nostalgia dengan peninggalan warisan yang diusahakan nenek moyang mereka lebih 200 tahun lalu.

Apa yang paling banyak diperkatakan penduduk mengenai peninggalan warisan di kampung itu adalah sebuah jeti yang dahulunya menjadi pangkalan menghubungkan Pekan Penaga dengan Pekan Kota Kuala Muda, Kedah melalui jalan sungai sebelum jambatan baharu siap dibina pada 2008.


AKTIVIS Sejarah dan Warisan Pulau Pinang, Dahalan Fazil (kanan) menceritakan sejarah pembentukan pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga yang digunakan sejak tahun 1821. - Foto Amir Irsyad Omar

Menyingkap kembali nostalgia warisan lebih dua abad itu, sekiranya penduduk mahu ke Kedah atau penduduk Kedah mahu ke Pulau Pinang, pangkalan itulah yang menjadi jalan utama hingga wujudnya perahu tambang sebagai pengangkutan pada ketika itu.

Penduduk veteran kampung itu, Md Salleh Shaari, 73, berkata perkhidmatan perahu tambang di jeti itu begitu meriah dengan kunjungan penduduk antara kedua-dua negeri yang mahu menyeberang hingga kampung ini secara tiba-tiba dikenali ramai.


DAHALAN Fazil (kanan) menunjukkan kesan tapak jeti yang digunakan sejak tahun 1821 sehingga 2006. - Foto Amir Irsyad Omar

"Dulu pangkalan inilah yang menjadi laluan utama penduduk dari kedua-dua negeri sebelum wujud sebuah jambatan yang mana menyebabkan perkhidmatan perahu tambang terpaksa dihentikan.

"Ketika itu, satu perahu boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang. Perahu ini pada awalnya tidak memiliki enjin, cuma pakai dayung," katanya ketika ditemui, di sini.

Md Salleh yang juga Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Permatang Bendahari berkata, perahu tambang yang digunakan oleh masyarakat ketika itu mengalami beberapa revolusi.


DAHALAN Fazil menceritakan sejarah pembentukan pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga. - Foto Amir Irsyad Omar

"Pada awalnya perahu ini tidak dilengkapi enjin, sebaliknya hanya menggunakan tenaga manusia sepenuhnya hingga wujudnya peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

"Tambang permulaan ketika perahu itu beroperasi hanya sekitar 20 sen untuk satu perjalanan dan meningkat kepada RM1 ketika khidmat perahu tambang ini mengakhiri perkhidmatannya," katanya.


KEADAAN tangga pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga yang sudah terbiar dan tidak dijaga dengan baik. - Foto Amir Irsyad Omar

Beliau berkata, jambatan menghubungkan Permatang Bendahari ke Kota Kuala Muda mula dibina sekitar tahun 2003 dan ketika itu perlahan-lahan khidmat perahu tambang mula suram.

"Ketika jambatan siap dibina, ramai yang memandang sepi khidmat perahu tambang ini. Ada juga yang gunakan, tetapi tak seramai dahulu apabila penduduk lebih suka menggunakan jambatan berbanding perahu tambang berikutan jarak perjalanan yang lebih singkat.


KEADAAN tembok pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga yang sudah terbiar. - Foto Amir Irsyad Omar

"Ditambah pula, pihak kerajaan mahu menjalankan projek tebatan banjir yang akhirnya menyebabkan perkhidmatan perahu tambang terpaksa dihentikan. Namun bagi penduduk kampung pangkalan di sini, ia mempunyai sejarah tersendiri dan akan diingati sampai bila-bila," katanya.

Penduduk, Wan Salmi Wan Ahmad,48, berkata biarpun tidak dapat melalui pengalaman menaiki perahu tambang itu kerana menetap di Kelantan atas urusan kerja, dia banyak mendengar cerita mengenai kemeriahannya melalui orang tuanya.

"Saya hanya dengar mengenai kemeriahan menaiki perahu tambang dari ibu bapa serta pak cik saya yang juga seorang daripada pendayung sampan berkenaan ketika itu.


PETA lama mengenai sejarah pembentukan Tanah Melayu di Permatang Bendahari, Penaga pada tahun 1839. - Foto Amir Irsyad Omar

"Ketika kecil, saya lihat ramai yang akan lalu lalang di hadapan rumah saya untuk pergi ke jeti ini dan mereka pula bukan semuanya terdiri dari penduduk tempatan hingga ia menjadi satu kebanggaan penduduk kampung ini," katanya.

Sementara itu, seorang aktivis warisan yang mendalami sejarah tempatan kampung itu, Dahalan Fadzil berkata, beliau kecewa apabila pangkalan yang menjadi tempat pendaratan perahu tambang, dibiarkan tanpa penjagaan sewajarnya.


DAHALAN Fazil (kanan) ketika menceritakan mengenai sejarah pembentukan pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga yang digunakan sejak tahun 1821 sehingga 2006. - Foto Amir Irsyad Omar

"Jeti ini menjadi kawasan tumpuan kaki pancing dan sebelum projek tebatan banjir dilaksanakan terdapat kedai makan di sini yang mendorong kawasan ini hidup. Namun sayang apabila projek siap, kawasan ini tiba-tiba `mati' tanpa penjagaan.

"Kita tidak menyalahkan projek itu kerana ia adalah baik untuk rakyat kawasan ini bagi mengatasi masalah banjir kilat yang meruncing namun berharap dapat berbuat sesuatu supaya peninggalan warisan ini tidak dilupakan," katanya.


KEADAAN pengkalan tambang di Permatang Bendahari, Penaga pada masa sekarang. - Foto Amir Irsyad Omar

Beliau mahu semua pihak sama ada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mewartakan kawasan pangkalan jeti itu sebagai satu tapak warisan sejarah di Seberang Prai yang mana ia secara tidak langsung dapat menghidupkan kembali kawasan terbabit.

Dahalan berkata, pewartaan itu penting kerana ia dapat membolehkan pelbagai aktiviti dapat diadakan dan menjadikan kawasan jeti sebagai pusat rekreasi yang lebih terurus.

INFO

  • Sebelum 2008, sebuah jeti menjadi pangkalan menghubungkan Pekan Penaga dengan Pekan Kota Kuala Muda.
  • Perkhidmatan perahu tambang pernah menjadi keutamaan penduduk.
  • Bayaran untuk perkhidmatan perahu tambang ketika itu hanya 20 sen.
Berita Harian X