Ahad, 18 Februari 2018 | 12:38pm
QOBIN selepas berjaya menawan puncak Gunung Mc Kinley di Amerika Utara.

Qobin tiup semangat gen Y

BERGELAR Penjelajah Grand Slam selepas berjaya menjejaki semua puncak tertinggi di tujuh benua, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin sudah cukup menyerlahkan kehebatannya dalam aktiviti lasak yang bukan semua orang mampu mengapainya.

Justeru, Qobin, 36, mahu lebih ramai lagi rakyat Malaysia, khususnya generasi muda (Gen Y) menyertai aktiviti seumpama itu yang lasak dan mencabar, selain mampu melakar nama negara di persada global.

Qobin berkata, remaja yang ingin membabitkan diri dalam aktiviti lasak ini, perlu berani menghadapi kegagalan dan jangan berputus asa.


QOBIN melayan pelajar sekolah bagi mendapatkan tanda tangannya.

"Walaupun ada kalanya, hasilnya boleh menggagalkan atau membuatkan kita berputus asa. Jangan ambil kisah apa orang hendak kata, buatlah beberapa kali daripada langsung tidak melakukannya, sudah pasti gagal.

"Kalau kita kata hendak berjaya, kenalah ikut cara kita kerana kadang-kadang peluang itu datang tetapi kita tidak ambil, ia akan pergi begitu sahaja. Bila peluang datang kita cuba lakukan yang terbaik, gagal tidak mengapa kerana kita sudah melakukannya.

"Saranan saya remaja supaya berani menyahut cabaran, berani lontarkan idea dan inspirasi. Berani berbakti kepada negara kerana peluang sentiasa ada untuk melakukan sesuatu yang berfaedah.

"Jika tak dapat peluang, kita cari peluang itu. Semangat dan jiwa kental perlu ada pada anak muda zaman ini," katanya kepada BH.

Jangan mudah putus asa

Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Lembah Pantai itu berkata, beliau beberapa kali gagal pada awal pembabitannya dalam sukan lasak seperti menyertai larian jarak jauh.

Pada zaman sekolah pernah mengalami kecederaan kaki dan otot hingga meraih di tempat akhir. Tetapi, beliau tidak berputus asa dan mencari jalan dan kemudian menjalani latihan bagi memantapkan jatidiri.

"Dengan semangat dan usaha, akhirnya saya menjadi juara dalam sukan lari jarak jauh," katanya.

"Sama juga dengan aktiviti penjelajahan dan mendaki juga tidak kurang hebat cabaran yang dihadapi. Pernah juga putus asa dan ingin menghentikan ekspedisi, tetapi entah macam mana semangat baharu datang supaya bangkit bagi menamatkan pendakian berkenaan.


TIGA rakan karib Qobin, Ahmad Reduan Rozali dan Fauzan ketika mendaki Carstenz Pyramid di Australia pada 2014.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sifat berputus asa sepatutnya diketepikan, sebaliknya menanamkan semangat daya juang yang tinggi untuk meraih impian.

"Saya pernah putus asas ketika berada di Kem Ketiga sebelum menamatkan pendakian Gunung Everest gara-gara kecederaan dialami.

"Nasib baik sahabat saya, Ahmad Reduan Rozali sentiasa memberi kata-kata perangsang bagi menaikkan semangat juang untuk segera menamatkan ekspedisi itu," katanya.

Ceramah percuma di IPT

Qobin berkata, beliau kini puas selepas penat-lelah usahanya dan pengorbanan selama 13 tahun menyelesaikan tujuh pendakian gunung tertinggi di tujuh benua dan menakluk kutub utara serta kutub selatan tercapai.

Kejayaan ini bukan boleh dikecapi sekelip mata, sebaliknya memakan masa yang agak lama dengan latihan bersistematik dan berterusan, tidak mudah putus asa, percubaan demi percubaan dilakukan bagi menakluk puncak tertinggi lain serta sokongan semua pihak.

Bercakap mengenai sokongan ini, ia bukan sahaja dari segi moral, malah juga wang ringgit terutama tajaan daripada kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan.

"Tajaan itu saya juga gunakan untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar universiti dan kolej sebagai sumbangan saya kepada kerajaan serta negara. Saya beri ceramah percuma sebaik sahaja balik dari Everest.

"Saya mempelbagaikan aktiviti memberi ceramah motivasi, menyambung belajar dan meneruskan misi seterusnya, " katanya.

Kelakar dan rendah diri

Sementara itu, beliau berkata walaupun mendapat pengiktirafan dunia, Qobin masih merendah diri, bersikap kelakar, mudah bermesra dengan masyarakat sekeliling dan rakan-rakan, selain cuba memenuhi jemputan ceramah motivasi dan menolak sama sekali tanggapan liar mengenai dirinya sebagai selebriti.


QOBIN bersama Kumpulan pendaki dari Malaysia berkhemah di Namchee Bazar, Nepal.

"Saya sama seperti Qobin yang dulu, tidak mengubah hidup saya dan boleh dihubungi bila-bila masa, paling mudah ditemui di masjid sekitar Lembah Pantai pada setiap malam atau subuh.

"Bagaimanapun, sejak pulang ke tanah air pada 7 Januari lalu, jadual saya agak ketat dengan urusan bersama keluarga, perniagaan dan jemputan ceramah motivasi di institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, kelab belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Hujung minggu saya bersama penduduk setempat di Lembah Pantai melakukan pelbagai aktiviti sekiranya tiada jemputan ceramah motivasi," katanya.

Penjelajah Grand Slam

Terbaharu Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 melalui Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) bermula pada 19 Disember sehingga 27 Disember lalu.

Dengan kejayaan itu, Qobin diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia, selain 60 manusia dan penjelajah terawal yang mendapat pengiktirafan berkenaan.

Qobin berkata, beliau memerlukan sahabat untuk berkongsi dan bekerjasama bagi mencapai kejayaan.

"Sejak balik dari Kutub Selatan, saya amat sibuk dan memohon supaya diberi masa untuk menjaga kesihatan, bersama keluarga dan mengatur mana yang terbaik untuk memenuhi undangan.


QOBIN bersama seorang rakan ketika mendaki Gunung Elbrus di Russia pada 2012.

"Saya bukan artis dan datang menemui orang ramai kerana ilmu serta pengalaman yang dimiliki. Saya lebih suka pengalaman itu dikongsikan bersama terutama generasi muda yang berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini," katanya.

Rezeki dari Allah

Beliau menyifatkan kejayaannya adalah rezeki dan keizinan Allah kerana kebiasaan penjelajahan bermula daripada puncak rendah ke tertinggi.

"Saya menakluk puncak tertinggi iaitu Everest (8,848 meter), ia bonus diberikan Allah. Sepatutnya bermula di Gunung Kosciusko dengan ketinggian 2,228 meter di benua Australia dan diikuti beberapa gunung di benua lain.

"Apabila melakukan sesuatu, kita kena yakin, kalau hendak meminta berdoalah kepada Allah. Selalu orang ingat rezeki di dunia kerana usaha kita sendiri, sebenarnya mereka silap.

"Setiap pagi kita kena jumpa 'bos' sebenar kita iaitu Allah. Jangan tinggal solat Subuh berjemaah dan setiap kali selepas solat berdoa, jangan segan meminta kepadanya apa yang kita mahukan. Selepas itu pergi kerja minta keizinan bos, Insya Allah diizinkan," katanya

PROFIL

  • Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 36,
  • Berkahwin, memiliki tiga orang anak.
  • Diploma Kesihatan dan Kecergasan di UiTM
  • Penjelajah Grand Slam

- Berjaya mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua.

- Gunung Everest (puncak tertinggi di dunia)

- Berski di Kutub Utara.

- Berski di Kutub Selatan.

  • Pendaki termuda dari Asia Tenggara menawan Everest (22 tahun).
  • Berjaya mendaki Gunung Everest setinggi 8848 meter dari aras laut.

INFO - KEJAYAAN QOBIN

Puncak gunung tertinggi di 7 benua ditawan Qobin.

  • Everest 2004 (8,848 m - Asia)
  • Kosciusko 2005 (2,228 m - Australia)
  • Kilimanjaro 2010 (5,895 m - Afrika)
  • Aconcagua 2010 (6,962 m - Amerika Selatan)
  • Mc Kinley 2011 (6,190 m - Amerika Utara)
  • Vinson Massif 2011-2012 (4,892 m - Antarctica)
  • Elbrus 2012 (5,642 m - Eropah)
  • Carstenz Pyramid 2014 (4,884 m - Australasia)

215 dibaca
Berita Harian X