Ahad, 18 Februari 2018 | 1:42pm
TOAD Stool Field tampil pesona.- Foto Adibah Ahmad Izam
LIGHT of Aiyana saji pemandangan memukau.- Foto Adibah Ahmad Izam

7 keajaiban Tambun

Pekan kecil berdekatan bandar raya Ipoh, Perak iaitu Tambun mendapat namanya apabila suku kaum Orang Asli, Malayana merujuk kawasan berkenaan sebagai tempat timbunan bijih timah disebut Tambunan dan akhirnya menjadi Tambun.

Sehingga hari ini, hutan mahupun bonjolan batu kapur sekitar Tambun yang kebanyakannya masih berstatus dara, dibangunkan bagi tujuan pelancongan apabila destinasi berkenaan menyediakan pelbagai produk alam semula jadi yang menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Destinasi pelancongan itu turut mendapat jolokan Tujuh Keajaiban Tambun daripada penduduk setempat gara-gara hasil semula jadinya, sejarah silam dan mitos.

Lebih menarik, destinasi Tujuh Keajaiban Tambun itu terletak di dalam kawasan atau berhampiran taman tema, Sunway Lost World of Tambun (LWOT).

Tarikan baharu taman tema menyediakan keriangan berterusan dari siang hingga ke malam ialah Luminous Forest (LF) atau hutan biopendarcahaya yang menghasilkan kilauan atau pantulan cahaya oleh organisma seperti kelip-kelip.

Namun, bukan kelip-kelip berkilau di dalam LF, sebaliknya hutan batu kapur semula jadi terletak bersebelahan Tasik Swan, jika dulu gelap-gelita pada waktu malam, hari ini keseluruhannya diterangi atau disinari cahaya neon berwarna-warni dipantulkan daripada cat florescent atau pendarfluor yang menghiasi batu kapur dan pokok di dalam hutan berkenaan.

Pemandangannya begitu mengagumkan, anda seolah-olah sedang berjalan di dalam dunia fantasi apabila bertemu dengan pokok hidup mempunyai 'muka' dan mampu bergerak-gerak atau kenali Mother Sophea, dikatakan mempunyai pertalian ajaib dengan sekalian hidupan hutan termasuklah suku kaum Makalani dan Malayana yang mendiami LF ratusan tahun dahulu.

Anda pasti teruja apabila terserempak dengan lipan gergasi yang boleh mengeluarkan asap diberi nama Shadowfang berperanan memelihara keselamatan hutan daripada sebarang ancaman.

LF dikawal rapi oleh pahlawan Malayana yang diketuai Maharaja Kukuntalu.

Penulis yakin sebaik saja pengunjung melewati taman bercahaya dinamakan Garden of Light, Wapi Springs dan Lights of Aiyana yang menampilkan obor-obor gergasi berwarna-warni terjuntai dari dahan pokok.

Anda pasti enggan mahu berganjak meninggalkan LF kerana tidak pernah jemu merakam foto menampilkan imej yang memukau pandangan.

Alam 'magika' LF dibuka kepada pengunjung 14 Februari lalu bermula 7.30 malam, tanpa sebarang caj tambahan. Layari laman sesawang: www.sunwaylostworldoftambun.com untuk maklumat lanjut.

INFO

  • Hutan dan bonjolan batu kapur sekitar Tambun dipercayai pernah didiami reptilia gergasi atau dinosaur yang hidup pada zaman prasejarah.
  • Orang Asli terdiri daripada suku kaum Makalani dan Malayana pernah mendiami hutan batu kapur Tambun jutaan tahun dahulu.
2363 dibaca
Berita Harian X