Isnin, 26 Februari 2018 | 10:48am
BERGAMBAR bersama peminat cilik. - Foto Saad Nordin
PELAJAR sekolah di Terengganu teruja mengibarkan Jalur Gemilang ketika misi Jelajah Merdeka ke-59. - Foto Saad Nordin
SAWAH padi yang menghijau ketika berkayuh di Tanjung Karang, Selangor. - Foto Saad Nordin
BERGAMBAR di pintu gerbang Selamat Datang ke Terengganu. - Foto Saad Nordin
SAAD di mercu tanda penghujung benua Asia di Tanjung Piai, Johor. - Foto Saad Nordin
DERETAN bot nelayan menghiasai Kuala Rompin, Pahang. - Foto Saad Nordin
PEMANDANGAN indah waktu senja di Rantau Abang, Terengganu. - Foto Saad Nordin
SAAD tertarik dengan basikal tua yang dipamerkan di salah muzium yang dilawatinya.

Ekspedisi keliling Malaysia

SELAGI kudrat mampu mengayuh, Saad Nordin, 69, bertekad akan berbasikal bagi menikmati keindahan alam sepanjang penjelajahannya, sekali gus aktiviti lasak ini banyak memberi faedah untuk kesihatannya.

Sejak 2014, bekas wartawan sambilan BH ini bergiat aktif berbasikal sama ada berkumpulan atau secara solo dengan menjelajah semenanjung Malaysia.

Bermula berkayuh di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga ke Padang Besar, Saad menanam hasrat untuk berbasikal mengeliling Malaysia suatu hari nanti, sambil meneroka keunikan dan keindahan alam.

Justeru, sempena mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016, beliau bersama seorang rakan membawa risalah pelancongan memulakan kayuhan dari Alor Setar ke Pantai Timur, seterusnya ke selatan tanah air mengikut laluan pantai.

"Memang benar kata orang tua-tua, jauh perjalanan luas pandangan. Menerusi aktiviti berbasikal saya melihat keindahan bumi Malaysia, pelbagai ragam manusia, makanan dan budaya yang rasa bertuahnya menjadi rakyat negara ini.

"Paling syok di Pantai Timur apabila dapat melihat matahari naik pada sebelah pagi. Inilah saat paling cantik dan menarik. Pada waktu malam pula, disirami cahaya daripada deretan lampu kalimantang bot nelayan di tengah laut, begitu mengasyikkan.

"Yang tidak dapat saya lupakan apabila singgah di perkampungan nelayan di Terengganu, dilihat masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya. Kelihatan keluarga nelayan menjemur ikan masin dan membuat keropok. Saya mengabadikan saat itu dengan mengambil foto," katanya kepada BH.

Jejaki sejarah silam setiap negeri

"Paling menarik saya menikmati keenakan keropok lekor dan nasi dagang di Lagun Kuala Ibai sambil di sapa bayu Laut China Selatan.

"Pastinya kedai keropok lekor 007, antara lokasi persinggahan saya dan boleh dikatakan di sinilah kedai yang terbaik.

"Saya juga merasai kesegaran sotong dan ikan goreng tepung serta nasi dagang selepas berkayuh di sepanjang Pantai Teluk Lipat, di Dungun.

"Ketika singgah di Masjid Geliga, Kemaman saya tidak lepaskan peluang makan isi sata, iaitu makanan popular di situ," katanya.

Kagum flora dan fauna negara

Saad berkata, kayuhan beliau membawanya mengunjungi penghujung benua Asia iaitu di Tanjung Piai di Johor.

"Di kesempatan itu, saya singgah ke Tanjung Piai National Park, iaitu sebuah mercu tanda tanah paling selatan benua Asia. Di taman ini juga terletaknya 526 hektar kawasan pokok bakau yang dihuni pelbagai flora dan fauna," katanya.

Di mana sahaja tempat yang menarik, beliau akan singgah lebih lama termasuk di Melaka bandaraya Warisan Dunia 2016.

"Di sini saya melawat lebih 20 muzium di negeri terbabit. Antaranya, Muzium Samudera yang menampil replika Flor de Le mar, Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Muzium Sejarah dan Ethnografi, Muzium Rakyat, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Mainan Melaka, Muzium Lebah Sedunia, Muzium Islam Melaka, Muzium Senibina Malaysia, Muzium Adat Istiadat di Alor Gajah, Muzium Setem Melaka dan Muzium Kastam Diraja Malaysia.

"Tidak dilupakan ke muzium orang Chetti, Muzium Orang Asli, Muzium Kapal Selam, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Belia Malaysia serta Muzium Warisan Baba dan Nyonya.

"Bertepatan dengan moto kerajaan negeri, Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia. Semuanya ada di bumi Hang Tuah ini," katanya.

Kayuhan muzium penuh informasi

Ketika menjelajah Negeri Sembilan, beliau mengunjungi Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang terkenal kerana dibina tanpa menggunakan sebatang paku.

"Keunikan seni binanya membuatkan saya teruja dan berfikir betapa pakarnya tukang kayu ketika itu. Saya juga difahamkan istana berkenaan ditutup untuk tempoh tiga tahun berikutan kerja baik pulih dan naik taraf, katanya.

Begitu juga ketika melalui Pahang, beliau juga mengunjungi Muzium Bijih Timah di Kampung Kenau di Sungai Lembing.

"Tertarik saya akan penerangan yang diberikan petugas muzium mengenai lombong bijih timah yang terbesar di dunia ketika 1920 - 1950. Malah, lombong berkenaan mempunyai kedalaman sehingga 700 meter dan dikatakan terdalam berbanding lombong bijih timah di Asia Tenggara.

"Model struktur galian terowong bawah tanah seperti sarang anai-anai turut dipamerkan di muzium itu.

Minat Saad untuk mengembara dengan caranya sendiri itu mendapat sokongan daripada rakannya.

Paling menarik dan tidak dapat dilupakan ialah ketika berkayuh dalam misi Jejak Bekas Wartawan 2017, beliau menemui 78 bekas wartawan, selain melawat keluarga daif.

INFO

  • Saad Nordin, 69
  • Bekas wartawan sambilan BH
  • Sudah menyertai tujuh ekspedisi berkayuh
  • Januari 2015 - Kayuhan Tahun Melawat Kedah 2016.
  • April 2 015 - Kayuhan Jelajah Semenanjung hingga Penghujung Selatan Benua Asia.
  • Mei 2016 - Kayuhan Jelajah Muzium seluruh Malaysia.
  • Ogos 2016 - Kayuhan Merdeka 59
  • Januari 2017 - Kayuhan Jejak Wira
  • Ogos 2017 - Kayuhan Merdeka 60
  • Nov 2017 - Kayuhan Jejak Bekas Wartawan
367 dibaca
Berita Harian X