Isnin, 5 March 2018 | 10:34am
SUKARELAWAN menyediakan barang untuk diagih kepada penduduk kampung di pedalaman Kemboja.
KANVAS bumbung surau yang digantikan dengan sumbangan dari PKIMB.
KAMPUNG yang dilawati misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran Persatuan Kakitangan Islam Maybank (PKIMB) Perak.

Menelusuri kehidupan komuniti Islam Kemboja

IBU negara Kemboja, Phnom Penh yang terletak di persimpangan Sungai Mekong dan Sungai Tonle Sap adalah legasi kolonial yang kini pesat membangun.

Apatah lagi dengan sejarahnya yang panjang, merakam jatuh bangun Empayar Khmer dan penjarahan Perancis, Phnom Penh, khususnya Kemboja masih menyimpan derita sebahagian warganya.

Justeru, baru-baru ini, sekumpulan 16 peserta menyertai misi bantuan kemanusiaan bagi menyelusuri warna warni kehidupan penduduk Islam di lima kampung yang terletak di pedalaman Kemboja.

Peserta misi itu membabitkan 14 kakitangan Maybank yang juga ahli Persatuan Kakitangan Islam Maybank (PKIMB) Perak bersama-sama dua usahawan tempatan. Usahawan tempatan yang turut serta dalam misi itu Nor Azizi Hashim selaku wakil Jakel Ipoh dan Shaidi Mohmad Zin.

Misi tiga hari dua malam itu hasil inisiatif Pengarah Serantau Maybank Perak, Mazlina Muhammad dan ia adalah misi kemanusiaan pertama PKIMB Perak di luar negara.

Bantu sesama manusia

Mazlina berkata, sebelum ini PKIMB Perak aktif menjalankan misi sama di dalam negara.


MAZLINA (kiri) menyampaikan bantuan kepada wakil penduduk ketika misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran PKIMB Perak, baru-baru ini.

Beliau berkata, misi di Kemboja ini bertujuan untuk membantu sesama manusia, meringankan beban komuniti setempat yang hidup dalam serba kekurangan.

Justeru, katanya, pada kunjungan ke kampung terbabit, bantuan seperti jubah, telekung, kain pelikat, sejadah juga muqaddam turut diberikan bagi memudahkan urusan mereka beribadat.

"Malah untuk kelangsungan hidup seharian, wang tunai turut diagihkan.

"Lima jam perjalanan dari Phnom Penh dengan melalui jalan tanah merah yang berdebu, memang memberi gambaran keperitan hidup masyarakat Islam Kemboja di sini.

"Namun semua kepenatan itu hilang apabila menyaksikan sendiri kesusahan yang melingkari kehidupan penduduk Islam lima kampung yang sempat kami lawati itu," katanya.

Realiti kehidupan

Jika sebelum ini kewujudan Kampung Preak Sondai, Kampung Ro, Kampung Roka Khenor dan Kampung Pnom Soy tidak pernah diketahui, namun misi kali ini membuka mata peserta misi akan realiti kehidupan sebenar mereka lalui.

Kehidupan serba daif. Bekalan air paip tidak sampai ke perkampungan mereka sebaliknya masih bergantung pada air pam.

Malah ada surau yang dibina dengan serba kekurangan. Rombongan misi kemanusiaan PKIMB Perak melengkapkan kekurangan itu dengan menyumbangkan kanvas baru untuk menggantikan bumbung kanvas surau yang usang dan koyak.

Usai misi di Kampung Jong Kong, kembara dua van dan sebuah pacuan empat roda rombongan misi menuju ke Kampung Romchek.


SUKARELAWAN bersama ustaz dan ustazah di sebuah sekolah anak yatim.

Di situ, rombongan disambut mesra oleh penduduk kampung meskipun tiba pada jam 9 malam. Dalam kepayahan hidup mereka, ahli rombongan misi berasa terharu apabila penduduk kampung sudi menumpangkan ahli rombongan untuk bermalam.

Hati terusik

Di kampung itu juga, bantuan sama turut diberikan. Hampir setiap lapis masyarakat kampung menerima bantuan mengikut keperluan. Jika lelaki menerima kain pelikat, wanitanya dihadiahkan jubah dan telekung sementara kanak-kanak dihadiahkan gula-gula dan muqaddam.

Melihat kanak-kanak teruja menerima gula-gula yang diagihkan, hati terusik. Mungkin harganya tiga biji 20 sen di negara kita dan mudah diperoleh di setiap pelusuk negeri, tetapi di kelima-lima kampung yang kami lawati, gula-gula itu bagai emas yang dinanti-nantikan.

Meskipun agak kepenatan menjayakan misi kemanusiaan dalam masa yang singkat, sesuatu yang tidak dapat di sangkal kami memperoleh pengalaman yang tidak ternilai.

437 dibaca
Berita Harian X