Ahad, 25 March 2018 | 2:20pm
KEINDAHAN Gua Datok bagaikan lukisan Pablo Picasso menggamit kunjungan pelancong.

Meneroka keunikan Gua Datok

TAMBUN terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Ipoh, Perak, pekan yang penuh keunikan.

Selain dikenali sebagai kawasan bekas lombong bijih timah dan dikelilingi hutan serta bukit batu kapur berusia lebih 400 juta tahun, pekan kecil ini juga semakin menjadi tumpuan dalam kalangan pengunjung dari luar Perak.

Keindahan kawasan berkenaan menggamit kehadiran pengunjung dengan disediakan pelbagai aktiviti sukan ekstrem berpaksi kepada alam semula jadi, sesuai dilakukan di hutan mahupun bukit batu kapur yang berselerak sekitar Tambun.

Pekan kecil ini juga mendapat jolokan Tujuh Keajaiban Tambun daripada penduduk setempat hasil semula jadi, sejarah silam dan mitos.

Antara yang popular ialah penerokaan ke Gua Datok yang terletak di dalam kawasan taman tema, Sunway Lost World of Tambun (LWOT).

Terokai gua

Ekspedisi penulis ke Gua Datok disertai jurulatih sukan ekstrem, Muhamad Syahdan Mat Rodzi yang bertindak sebagai jurupandu untuk mendaki ke puncak Gunung Datok.

Walaupun disediakan anak tangga hingga ke puncak, namun kecuraman yang hampir mencecah 45 darjah, menuntut kudrat dan kesabaran yang bukan sedikit. Penulis hampir putus asa, tapi gagahkan juga bersama semangat kental.

Sebaik tiba di pintu Gua Datok, Muhammad Syahdan memaklumkan untuk menerokai gua berkenaan, kami perlu berjalan dalam kegelapan yang hampir menyamai waktu malam.

Walaupun membawa lampu suluh, tetapi perasaan takut tetap ada. Sebelum memulakan ekspedisi, kami diingatkan mengenai pantang larang dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.

Gua batu kapur yang penuh misteri ini dipercayai 'berpenghuni' dan jangan sesekali menaikkan kemarahan 'mereka', buruk padahnya!

Dinding gua cantik

Hampir setengah jam meredah kegelapan, kami tiba di kawasan stalaktit dan stalagmit (memerlukan 2,000 tahun untuk mencapai panjang 20 sentimeter (sm).

Ketika meraba-raba pada dinding gua, jangan terkejut sekiranya tangan anda terpegang sesuatu yang licin kerana itu adalah tahi kelawar.

Lebih unik, terdapat kawasan menampilkan dinding gua yang sangat cantik seperti sebua

lukisan pernah dihasilkan oleh pelukis terkemuka dari Sepanyol, Pablo Picasso. Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan seberapa banyak foto di sini.

288 dibaca
Berita Harian X