Ahad, 8 April 2018 | 4:18pm

Teroka keindahan Kuala Lumpur

PERJALANAN meneroka keindahan bandar raya Kuala Lumpur pastinya lebih menyeronokkan dengan menaiki bas dua tingkat. Menikmati panorama waktu siang dengan meninjau lokasi menarik dan bersejarah pastinya memberikan pengalaman tidak dilupakan.

Teruskan penerokaan anda pada waktu malam sehingga jam 8 untuk menyaksikan kilauan lampu neon di sekitar bandar. Namun jika sambutan penjelajahan KL waktu malam lebih mendapat sambutan, bas sedia meneruskan operasi sehingga jam 11.

Faktor cuaca antara penyebab pelancong menghargai suasana pada waktu malam berbanding siang, memandangkan suhu nyaman dan pemandangan lebih menakjubkan.

Mengimbau serba sedikit sejarah ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur (KL) pada 1857 asalnya sebuah perkampungan lombong bijih timah. KL bermaksud kuala berlumpur membangun di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Menerusi pelantikan kapitan (ketua) kaum Cina ketiga, Yap Ah Loy, beliau membangunkan KL sebagai pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi, menjadi bandar dikenali ramai.


PENUMPANG menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur di bahagian bumbung terbuka bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). - Foto Eizairi Shamsudin

Pengunjung berpeluang melihat deretan rumah kedai pertama dibina dekat Old Market Square (kini Lebuh Pasar Besar). Unit kediaman di situ pernah didiami Yap Ah Loy bersama keluarganya sekitar tahun 1870.

Pilihan terbaik menjelajah KL dan melawat tempat menarik dengan menggunakan perkhidmatan bas persiaran dua tingkat dengan bumbung terbuka dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO).

Perkhidmatan ini memberi peluang penumpang mengambil gambar pemandangan dari sudut 360 darjah, selain berswafoto sepuas hati!

Apabila bas berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat ikonik KL seperti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan kereta api lama, pusat beli-belah Pavilion dan Menara Berkembar PETRONAS, ini peluang terbaik penumpang berswafoto.

Secara peribadi, menaiki KL HOHO memberikan pengalaman unik, seolah-olah anda mengelilingi KL sambil menaiki bas merah di kota London yang popular di seluruh dunia. Cuma bagi pelancong tempatan, harap anda jangan merungut panas apabila duduk di bahagian bumbung terbuka, namun bas berkenaan turut menawarkan ruang tertutup berhawa dingin.


MENAIKI KL HOHO memberikan pengalaman unik seperti menaiki bas merah di kota London. - Foto Eizairi Shamsudin

Sebagai nilai ditambah kepada pelancong asing, bas dilengkapi sistem audio rakaman bahasa Inggeris yang memberi penjelasan sejarah dan tarikan yang ada di KL. Sekiranya penumpang ingin turun di mana-mana 23 hentian dengan pelbagai tarikan istimewa, mereka boleh menaiki bas seterusnya dengan tempoh menunggu kurang 30 minit.

Bermula di hentian satu berhadapan WOW KL bersebelahan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) hingga yang terakhir iaitu KLCC, perjalanannya sekitar dua setengah hingga tiga jam. Bas beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 8 malam.

FAKTA NOMBOR

* 42 kilometer

laluan KL HOHO

* RM25

harga tiket dewasa

* 50 lokasi menarik

* 2 jam 30 minit perjalanan tanpa henti

INFO

* Tiket boleh dibeli apabila berada di atas bas yang mengambil penumpang di mana-mana 23 hentian sekitar Kuala Lumpur

* Bagi pelancong asing, mereka boleh menempah tiket secara atas talian dengan melayari www.myhoponhopoff.com

402 dibaca
MENJELAJAH Kuala Lumpur menaiki bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). - Foto Eizairi Shamsudin
PENUMPANG menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur di bahagian bumbung terbuka bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). - Foto Eizairi Shamsudin
MENJELAJAH Kuala Lumpur menaiki bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »