Ahad, 2 September 2018 | 9:21pm
HIASAN bunga yang terdapat di Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018). - Foto Rohanis Shukri

Spesies unik bunga

Tidak sempurna pengembaraan ke Eropah tanpa menyaksikan keindahan bunga matahari, tulip, hydrangeas, lavender dan cherry blossoms.

Kalau ke Portugal, Belanda, Sepanyol dan Itali pula masing-masing ada pesta bunga yang menghimpunkan pelbagai spesies bunga-bungaan yang mampu memikat pelancong dari seluruh dunia.

Tidak terkecuali di Malaysia, saban tahun turut menyediakan pesta bunga bagi tujuan sama.

Umpamanya, Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018), yang sedang berlangsung sejak 23 Ogos hingga hari ini, menyediakan lebih 4,000 pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan daripada pelbagai spesis.

Bagaikan berada di alam fantasi, apabila anda mengunjungi Pusat Acara Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya ini dengan kira-kira 20 tarikan utama untuk pengunjung termasuk memaparkan seni bina bangunan tradisional Melayu dan aktiviti persembahan hiburan yang menyeronokkan.

Sempena meraikan ulang tahunnya yang ke 10 kali ini, penganjurnya, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengangkat tema 10 Kegemilangan FLORIA atau 10 Wonders of FLORIA dengan menghimpunkan bunga tema sejak acara itu diperkenalkan.


ANTARA seni bina bangunan tradisional Melayu yang terdapat di Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018). - Foto Rohanis Shukri

Taman 10 Wonder Garden menyajikan perjalanan mempesonakan menerusi taman yang dicipta khas bagi memperingati setiap penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya.

Ia mengembalikan semula nostalgia bunga yang pernah menjadi tema setiap tahun antaranya bunga raya, kertas, orkid, heliconia, ros, begonia, lily dan kekwa.

Bunga-bunga berkenaan ditanam dalam susunan melingkar mengikut tahun sehingga ke ruang kemuncak Floria 2018.

Dalam ruang yang terhad, pereka landskap menyerlahkan kreativiti menggunakan bahan alam lain seperti batang buluh untuk mencipta menara bunga dan arca comel bagi menambahkan keceriaan, seolah olah pengunjung berada di taman bunga eksklusif.

Selain hamparan bunga di 10 Wonder Garden, pengunjung tidak bosan kerana FLORIA Diraja Putrajaya turut menyediakan beberapa komponen baharu untuk diterokai pelbagai peringkat usia.

Misalnya Miniature Garden, Entrance Statement, Designer Boutique Garden, Fertigation Garden dan Hipster Square.


HIASAN bunga yang terdapat di Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018). - Foto Rohanis Shukri

Bagi peminat orkid berkunjung ke sini, pasti mendamaikan apabila disediakan lebih 300 spesies bunga berkenaan di ruang Pavilion Bunga.

Keunikan FLORIA Diraja Putrajaya tambah terserlah kerana turut mengangkat dan memartabatkan seni bina Melayu dengan mendirikan beberapa replika rumah dan istana Melayu tradisional sebagai tarikan lebih gah buat pengunjung, terutama pelancong asing.

Antara seni bina menarik ialah Taman Diraja Perak yang diilhamkan dari Istana Kenangan di Kuala Kangsar.

Memaparkan ciri seni bina unik dan halus, replika istana itu turut merangkumi ikon seperti Menara Pavilion, Menara Jam Kuala Kangsar dan Masjid Ubudiah sementara reka bentuk ruang masuk taman berkenaan berasaskan pintu utama Istana Iskandariah di Bukit Chandan.

Keseluruhan kawasan bertambah berseri apabila dibangkitkan dengan suasana tanaman bunga kekwa pelbagai rona jingga, kuning, merah dan ungu.

Melintasi Laman Seri Terengganu, pengunjung dihidangkan pula arca rumah tradisional di Terengganu.

Reka bentuk taman itu diadaptasi dari warisan laman Istana Lama Terengganu yang menerapkan nilai estetika landskap Melayu Nusantara.

Lebih mempesona dan mendamaikan, kawasan laman itu dihiasi tanaman bunga seperti bunga resam batu, bunga sepit udang dan kekwa.


ANTARA pengunjung yang hadir ke Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018). - Foto Rohanis Shukri

Laman Terengganu merangkumi ruang pintu masuk utama yang turut memaparkan kalimah Allah dan Nabi Muhammad dan ruang santai dengan wakaf untuk pelbagai aktiviti keraian, permainan dan kemasyarakatan.

Satu lagi konsep taman yang pernah menjadi daya tarikan utama ketika kegemilangan Royal Florida Putrajaya 2015 ialah Bucolic Garden. Taman Taman Mini Hobbiton Malaysia berkenaan adalah hasil inspirasi kehidupan desa diangkat dari filem fantasi ‘The Hobbit’ dan ‘The Lord of The Rings’ untuk tarikan kanak-kanak dan dewasa.

Lebih menyeronokkan, taman comel ini mengetengahkan beberapa karektor dalam filem berkenaan sambil menyuntik sulaman bunga di sekitarnya untuk menghidupkan suasana seperti di perkampungan orang kerdil.

Bukan saja tanaman bunga di luar, tetapi khemah putih mega di belakang pentas dibina untuk Floral Pavilion yang turut membawa pengunjung FLORIA Diraja Putrajaya menyaksikan hasil gubahan bunga segar dengan konsep tersendiri oleh pereka bunga dari dalam dan luar negara.

Setiap negara seperti dari China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam, masing-masing membuat gubahan bunga mengikut kreativiti masing-masing.

Menariknya, disediakan taman persahabatan China-Malaysia yang menyaksikan keunikan hubungan antara kedua-dua negara.

Selain pameran bunga, pokok bonsai dan suiseki, terdapat juga pameran batu, kayu yang datang dari pelbagai bentuk dan imaginasi semula jadi milik persendirian yang diambil dari hutan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid berkata, acara tahunan itu mampu mengukuhkan kedudukan dalam kalender pesta bunga-bunga dunia setanding penganjuran pesta bunga di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat.

“Kita menyasarkan 1.5 juta pengunjung ke FLORIA Diraja Putrajaya kali ini terlalu tinggi tetapi angka itu mungkin boleh dicapai kerana sambutan Hari Kebangsaan akan disambut besar-besaran di Putrajaya.

“Sambutan itu juga mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri ke FLORIA kali ini,” katanya.

“Objektif penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya juga bagi terus mempromosikan Putrajaya sebagai Bandaraya dalam Taman dan Bandaraya Bunga-Bungaan,” katanya.

FLORIA Diraja Putrajaya turut membantu mempromosikan Putrajaya dan menyasarkan acara ini di peringkat antarabangsa setanding acara bunga bertaraf dunia seperti Royal Chelsea Flowe5r Show dan Melbourne Flower Show serta beberapa negara lain.

420 dibaca
Berita Harian X