Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:09am
TUN Abdullah Ahmad Badawi (tiga dari kanan) bersama pakar Gastroenterologi dan Naturopati, Dr Vagif Soultanov (tiga dari kiri), bekas pesakit gastrik, Raymond Yong Kim Keong (kiri sekali), konsultan Fizik dan Gastroenterologi UKM, Dr Raja Affendi Raja Ali, Ahli farmasi dan Terapi Semula Jadi, Datin Swanee Teh dan Dr Hafiz (IJN) pada forum kesihatan 'Oh My Gerd! di Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

'Air bateri' dalam perut

PEDIH hulu hati sering dipandang sebagai masalah biasa namun boleh membawa kesan lebih kronik sekiranya dibiarkan berlarutan.

Ini kerana asid dari dalam perut yang mempunyai pH (kadar asid) yang hampir sama dengan asid bateri naik ke esofagus (salur makanan) dan menghakis saluran ini seterusnya menyebabkan kesakitan.

Pedih hulu hati atau Refluks Asid menyebabkan seakan rasa terbakar pada dada.

Jika berlaku lebih daripada dua kali seminggu diiringi kesukaran bernafas atau menelan, ini menandakan keadaan lebih serius dikenali sebagai Penyakit Refluks Gastroesofagus (Gerd).

Perunding Perubatan dan Pakar Grastroenterologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata lebih 50 pesakit menderita dalam senyap kerana tidak menyedari mereka mengalami Gerd.


MENGUBAH gaya hidup dengan bersenam dapat menurunkan berat badan.

Keadaan tidak selesa, loya

Beliau berkata, pesakit mengadu mengalami masalah penghadaman (dispepsia) menyebabkan muntah.

Mereka juga katanya, sering mengalami keadaan tidak selesa pada dada, loya dan apabila bergerak ke kiri dan kanan semasa berbaring terasa seakan asid keluar dari mulut.

"Bagaimanapun, ramai yang tidak mendapatkan rawatan dan hanya membeli ubat di kaunter farmasi kerana menganggap ini masalah biasa," katanya.

Pemeriksaan menggunakan endoskopi atau kamera kata Dr Raja Affendi, dijalankan bagi mengesan sebarang radang dalam esofagus.

Ada pesakit katanya, mengalami keadaan seakan serangan jantung dan terpaksa melalui pemeriksaan yang tidak diperlukan.


PAKAR Gastroenterologi dan Naturopati, Dr Vagif Soultanov (kiri) bersama Konsultan Fizik dan Gastroenterologi UKM, Dr Raja Affendi Raja Ali pada forum kesihatan 'Oh My Gerd! di Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Kesan radang lapisan perut

Gerd sering dikaitkan dengan makanan pedas dan berasid namun ini bergantung kepada setiap individu.

Secara umum, beliau berkata, perut mempunyai persekitaran berasid dan sekiranya pesakit makan makanan berasid seperti tomato, makanan pedas, minuman kafein seperti kopi boleh menyebabkan radang lapisan perut.

"Gerd yang ringan boleh hilang tetapi memerlukan pesakit mengubah gaya hidup seperti tidak merokok, mengurangkan berat badan, memantau makanan diambil, senaman dan mengawal tekanan.

"Sesetengah pesakit pula walaupun mengalami gerd ringan sudah cukup mengganggu kehidupan harian dan perlu mendapatkan rawatan," katanya.

Usaha mengurangkan berat badan berupaya mengatasi masalah Gerd kerana obesiti dikaitkan dengan beberapa jenis seperti kanser sistem penghadaman, perut dan usus.


PEDIH hulu hati Menyebabkan seakan rasa terbakar pada dada.

Turunkan berat badan, atasi kesan radang

Individu yang mengalami obesiti, sfinker (pencerut) esofagus bawah (LES) yang mengawal makanan ke dalam perut mungkin tidak berfungsi. Selepas makan, kandungan di dalam perut tidak sepatutnya keluar ke esofagus tetapi disebabkan gangguan akibat berat badan berlebihan, pesakit mudah mengalami refluks asid.

Sementara itu, Pakar Gastroentrologi dan Naturopati dan Penyelidik Akademi Teknikal St Petersburg, Russia, Dr Vagif Soultanov, berkata Gerd sukar ditangani.

Berdasarkan kajian klinikal terbaharu beliau berkata, pihaknya mendapati pengambilan esktrak jejarum hijau konifer pain mempunyai ciri penyembuhan sel.

"Dalam kajian itu, kami melihat sejauh mana keberkesanannya terhadap pesakit yang mengalami keadaan pra kanser perut selain Gerd," katanya.

Ahli Farmasi dan Penasihat Terapi Semulajadi Nuvanta Sdn Bhd, Datin Swanee Teh, berkata kini pesakit mempunyai 'senjata' tambahan untuk menguatkan injap esofagus yang lemah serta menjadikan rembesan jus pencernaan dalam perut kembali normal.

Info:

Definsi Gerd:

-Keadaan kronik yang menyebabkan kandungan dalam perut keluar semula ke esofagus (salur yang membawa makanan daripada tekak ke perut akibat refluk asid.

-Menyebabkan radang dan menimbulkan gejala atau simptom.

Fungsi asid:

- Menghadam makanan

- Apabila fikir untuk makan, otak menghasilkan hormon supaya asid bersedia untuk menghadam makanan.

Gejala gerd:

- Pedih hulu hati (gejala utama refluks asid).

- Rasa masam pada tekak (asid perut).

- Sukar menelan atau tersekat pada tekat atau dada.

- Pengumpulan angin dalam perut.

- Sendawa berlebihan.

Sesetengah orang mungkin mengalami:

- Batuk kering kronik

- Sesak nafas

- Nafas berbau (asid membunuh bakteria baik dalam mulut).

- Kerosakan gigi dan gusi.

Kesan ke atas penderita gerd:

-80 peratus penurunan menikmati makanan.

-60 peratus mengalami gangguan tidur.

-40 peratus sukar bekerja.

Rawatan:

Ubat:

- Menyekat rembesan asid dikenali sebagai perencat pam proton.

Mengubah gaya hidup:

- Hidup lebih sihat

- Mengurangkan berat badan.

Berita Harian X