Jumaat, 18 Ogos 2017 | 10:40pm
PENGGUNAAN kanta lekap tanpa preskripsi boleh menyebabkan jangkitan pada mata sehingga boleh menyebabkan buta. - Foto hiasan
PENGGUNA kanta lekap perlu melalui proses pemasangan dan pemeriksaan mata secara komprehensif daripada pengamal bertauliah. - Foto hiasan

Kanta lekap dalam talian boleh buta

PENGGUNA kanta lekap dinasihatkan membeli kanta berkenaan daripada pengamal bertauliah bagi mengelakkan risiko kesihatan tidak diingini.

Antara risiko yang terpaksa ditanggung termasuk jangkitan pada mata dan paling bahaya, hilang deria penglihatan hingga boleh menjadi buta.

Pengamal bertauliah adalah juruoptik dan optometris berdaftar dengan pihak berkuasa peranti perubatan.

Optometris dan Setiausaha Majlis Optik Malaysia (MOC), Norazizah Ismail, berkata bukan semua juruoptik dan optometris layak memasang kanta lekap.

Individu yang ingin memakai kanta lekap kata beliau, perlu melalui proses pemasangan dan pemeriksaan mata secara komprehensif daripada pengamal bertauliah.

Pilih kanta lekap yang sesuai

"Juruoptik berdaftar mempunyai permit kanta lekap dengan sijil pengiktirafan berwarna biru dan optometris pula berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (AMO) dengan sijil pengiktirafan berwarna hijau," katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelancaran Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) anjuran AMO dan MOC dengan kerjasama Johnson & Johnson di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


OPTOMETRIS, Nor Azizah Ismail. NSTP/Ihsan PEMBACA

Kanta lekap umpama sepasang kasut, sekiranya ketat boleh menyebabkan mata menjadi bengkak dan kornea kekurangan oksigen.

Keadaan ini mendedahkan mata kepada jangkitan apabila kornea terkoyak dan kanta lekap menjadi sumber jangkitan.

Elak pembelian atas talian

Justeru, pengguna sebaiknya menjalani pemeriksaan mata dengan juruoptik atau optometris bertauliah sebelum memutuskan untuk memakai kanta lekap.

Elakkan daripada membeli kanta lekap secara dalam talian atau pasar malam serta ketahui cara memakainya.

"Cara penyimpanan kanta lekap juga penting untuk mengelakkan jangkitan kerana ramai yang gemar menyimpannya di tepi sinki atau dalam tandas.

"Jangkitan pada mata bukan saja boleh menyebabkan buta tetapi menyebabkan mata hitam menjadi putih,' katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Optometris Malaysia, Murphy Chan, berkata pemeriksaan mata yang betul dan berkala perlu dilakukan untuk memastikan penggunaan kanta lekap yang tepat dan sesuai.


TABIAT memakai kanta lekap dengan cara yang salah antara faktor menyumbang kepada jangkitan ulser kornea. - Foto hiasan

Pastikan keadaan mata sihat

"Pastikan keadaan mata sama ada sihat atau sebaliknya sebelum memakai kanta lekap termasuk mempunyai jumlah air mata mencukupi, jenis alahan dan apakah bentuk yang sesuai.

"Pemeriksaan lanjutan dan rawatan susulan diperlukan selepas sekurang-kurangnya enam bulan selepas pemakaian kanta lekap," katanya.

Kebanyakan kes membabitkan risiko ke atas kornea bukan disebabkan oleh kanta lekap kerana tidak mendapatkan nasihat daripada juruoptik dan optometris yang diiktiraf.

Info
Prosedur memakai kanta lekap:

  • Pengambilan sejarah.
  • Ketajaman visual dan pembiasan.
  • Keratometri-ukuran kelengkungan kornea.
  • Penilaian luaran dan penilaian segmen dalaman.
  • Pemilihan kanta lekap.
  • Penilaian pemasangan kanta lekap.
  • Pembiasan-menentukan kuasa kanta lekap yang dipreskripsi.
  • Preskripsi


PENGGUNAAN kanta lekap perlu dengan preskripsi pengamal bertauliah. - Foto hiasan

Fakta

  • 1,857 optometris bertauliah.
  • 79 peratus pengguna bimbang dengan kesihatan mata.
  • 42 peratus pengguna kanta lekap tidak tahu kanta lekap adalah alat perubatan yang memerlukan preskripsi.
  • 65 peratus pengguna mencari maklumat dalam talian mengenai pembetulan penglihatan dan kesihatan mata.
  • 30 peratus tidak mendapatkan rawatan susulan.

Golongan tidak digalakkan memakai kanta lekap:

  • Individu yang mengalami rabun jauh dan dekat.
  • Berusia 40 tahun ke atas
Berita Harian X