Ahad, 20 Ogos 2017 | 12:23am

Youtube 'ajar' jadi mekanik

 

GEORGETOWN: Di sebalik label mat rempit yang dilemparkan masyarakat, dua beradik dari Bukit Gambir di sini, mempunyai bakat terpendam dalam kerja membaiki enjin dan melakukan proses restorasi terhadap motosikal lama.

Kemahiran yang dimiliki Rozaimie Jamaludin, 31, dan adiknya, Mohd Hafizz, 24, bukannya hasil pendidikan secara formal, sebaliknya hanya belajar daripada pengalaman serta laman video 'Youtube' mengenai kaedah membaiki enjin motosikal.

Hasilnya, Rozaimie dan Mohd Hafizz kini boleh berbangga apabila mampu membuka bengkel di Bukit Gambir bagi memudahkannya membaiki dan menaik taraf motosikal yang ada antaranya boleh dikategorikan sebagai klasik.

Rozaimie yang banyak melakukan kerja mengecat dan restorasi, berkata dia mempelajari teknik menyembur cat dengan betul melalui Youtube, selain bertanya kepada rakan yang lebih mahir.

"Saya sebenarnya pernah membuka bengkel sama di kampung dekat Tangkak, Johor, namun usaha itu ditutup sejak berpindah ke Pulau Pinang kerana mendapat kerja tetap di sini.

"Pada 2012, saya mula belajar teknik mengecat secara serius dan adik yang memang mahir membaiki enjin di kampung turut datang ke Pulau Pinang sebelum kami bersama-sama membuka bengkel sendiri," katanya yang juga anak sulung kepada enam beradik.


ROZAIMIE Jamaludin, (kanan) bersama adiknya Mohd Hafizz, menguasai kepakaran dalam membaiki enjin motosikal sejak usianya 16 tahun di CBP Garage, Bukit Gambir. - Foto Fatin Fazlina Yaakob

Selain membaiki enjin motosikal, bengkel dua beradik dikenali sebagai CBP Garage, turut menerima pelanggan dari Kuala Lumpur dan Melaka yang berminat melakukan proses restorasi motosikal lama dan klasik.

Rozaimie berkata, pelanggan yang meminati motosikal klasik lazimnya cerewet, namun mereka mempunyai kedudukan kewangan kukuh menyebabkan dia perlu mengikut sepenuhnya cita rasa pelanggan berkenaan.

"Kos membaiki dan kerja restorasi motosikal memerlukan pelanggan menyediakan sekurang-kurangnya RM2,000 dan harganya boleh meningkat sekiranya saya terlalu sukar mendapat alat ganti bagi sesetengah model lama.

"Malah bagi sesetengah model klasik, saya terpaksa mencari alat ganti di negara jiran kerana pengeluaran motosikal berkenaan di pasaran Malaysia sudah tiada sejak lebih 40 tahun lalu, menyebabkan kos restorasi boleh mencecah RM6,000," katanya.


ROZAIMIE Jamaludin, melakukan kerja-kerja mengecat rangka motosikal yang sudah uzur dan menrestorasikan kepada motosikal klasik di CBP Garage, Bukit Gambir. - Foto Fatin Fazlina Yaakob

Sementara itu bagi Mohd Haffiz, minat terhadap motosikal sejak remaja mendorongnya belajar membaiki enjin sejak dibangku persekolahan dan menambah pengalaman apabila mendapat kerja sebagai mekanik di kampungnya.

"Kemahiran saya dalam membaiki enjin adalah atas usaha saya sendiri tanpa pernah belajar atau mengikuti sebarang kursus kemahiran, sebaliknya hanya melihat rakan lain melakukannya sebelum mengikut cara mereka.

"Saya juga tidak malu bertanya kepada rakan berpengalaman mengenai komponen motosikal selain sering bertemu mekanik berpengalaman bagi mendapatkan tips membaiki enjin," kata anak ketiga itu.

 


ROZAIMIE melakukan kerja-kerja mengecat rangka motosikal yang sudah uzur di CBP Garage, Bukit Gambir. - Foto Fatin Fazlina Yaakob

Info

  • 2012 mula buka bengkel, CBP Garage di Bukit Gambir
  • RM2,000 kos minimum restorasi motosikal lama
  • RM6,000 kos minimum restorasi motosikal klasik

 

Berita Harian X