Ahad, 20 Ogos 2017 | 10:55pm
TONG Lye Heng menunjukkan bayaran melalui waran yang masih diterimanya. - Foto Fariz Iswadi Ismail
AHLI MACVA, Kapt (bersara) Tong Lye Heng menunjukkan peta yang mengandungi kesan darahnya ketika sidang media Malaysian Armed Force Chinese Veterans Association MACVA di Mid Valley City. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Veteran ATM kongsi pengalaman di medan perang

KUALA LUMPUR: Walaupun perjuangan mendaulatkan negara sering dikaitkan dengan orang Melayu, namun sebagai rakyat Malaysia kaum lain seperti Cina, India dan lain-lain bangsa turut bergadai nyawa melawan musuh.

Sumbangan itu seharusnya dihargai kerana mereka sanggup menghabiskan masa muda, mempertaruhkan nyawa dan melupakan ahli keluarga, semata-mata demi mempertahankan keamanan serta kemakmuran negara.

Ini diakui tiga bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Laksamana Pertama (B) Datuk Kay Hai Thuan TLDM, Kapten (B) Tong Lye Heng dan Kapten (B) Tien Sen An TUDM yang sama-sama beraksi di perbatasan.

Bagi Kay Hai Thuan, pengalaman 40 tahun berkhidmat dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyaksikan beliau mengalami pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugas.

"Saat yang paling getir ialah mewakili Malaysia sebagai pasukan pemantau di antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Mindanao (MILF), yang ketika itu sedang berperang. Kami diarah memasuki zon konflik dengan bunyi tembakan dan letupan bom daripada kedua-dua pihak.


PRESIDEN MACVA, Major (Bersara) Tan Pau Son (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama (duduk dari kiri), Penasihat MACVA, Brig Jen (Bersara) Dr Leong Weng Foon, Naib Presiden MACVA Udara, Laskar Kanan Joe Pie Chong Seng, Naib Presiden MACVA Laut (Bersara), Laksamana Pertama Datuk Kay Hai Thuan dan Panasihat MACVA Udara. Brig Jen (Bersara), Lau Kong Cheng, (berdiri dari kiri), Ketau Panel Perhubungan Awam MACVA, Major (Bersara) Lee Kong Kok, Setiausaha Kehormat MACVA, Lt Kol (Bersara) Wong Ah Jit, Ahli MACVA, Kapt Udara (Bersara) Tien Sen An, Ketua AJK Laut MACVA, Bentara Kanan TLR Laut Chen Ka Kim, Ahli MACVA, Kapt (Bersara) Tong Lye Heng dan Ahli Panel Perhubungan Awam MACVA, Pegawai Waren 1 Udara (Bersara) Too Thean Kooi selepas sidang media Malaysian Armed Force Chinese Veterans Association (MACVA) di Mid Valley City. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Naib Presiden MACVA Laut (Bersara), Laksamana Pertama Datuk Kay Hai Thuan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Bayangkan dengan situasi berbalas tembakan, berada di kawasan tengah peperangan yang memisahkan kedua kumpulan, nyawa kami ibarat duit 20 sen sahaja ketika itu, sangat murah dan bila-bila sahaja boleh terkena peluru sesat," katanya kepada BH.

Insiden sama turut dialami Tong Lye Heng yang mengalami kecederaan pada bahagian pinggang akibat terkena tembakan anggota komunis ketika menjalankan operasi di kawasan berbukit di Gerik, Perak pada 1973.

"Ketika itu saya berkhidmat bersama Rejimen Renjer Diraja (RRD) Tentera Darat dan ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan musuh. Selepas 10 jam memeriksa kawasan sekitar, kami menemui beberapa kesan komunis seperti susunan batu dan dahan pokok patah sebagai isyarat ia adalah laluan mereka.

"Saya kemudian ke arah laluan komunis berkenaan di selatan, tanpa diduga diserang hendap musuh dengan ledakan senjata api. Akibatnya saya terpelanting sehingga seluar yang dipakai hampir terlucut kesan daripada ledakan berkenaan.

"Seorang rakan cuba membantu dengan berlari ke arah saya dan mengalami kesukaran untuk keluar ke kawasan selamat kerana keadaan ketika itu sangat kritikal. Saya meminta dia membiarkan saya tinggal dan mati di situ sahaja," katanya sambil menunjukkan peta peperangan yang masih disimpan.

Beliau terselamat dan apabila tersedar sudah berada di sebuah hospital di Kota Bharu bagi menerima rawatan.

Bagi Tien Sen An, beliau pernah mengalami saat-saat getir apabila helikopter Nuri kendaliannya hampir terhempas di bukit Gambir selepas salah satu bahagian pengimbang pesawat patah akibat ditembak komunis pada 1991.

"Ketika itu, Nuri dinaiki kira-kira 12 orang anggota yang mengalami kecederaan. Dengan izin tuhan, saya mampu mengawal situasi kerana pesawat berada di paras yang rendah dan berjaya mendarat dengan selamat, kalau berada pada tahap yang tinggi mungkin saya sudah tiada lagi," katanya.


AHLI MACVA, Kapt Udara (bersara) Tien Sen An. - Foto Fariz Iswadi Ismail


TONG Lye Heng menunjukkan seluarnya yang berlubang akibat terkena tembakan ketika berkhidmat. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Beliau berkata, satu lagi pengalaman ngeri yang tidak boleh dilupakan ialah apabila pesawat Nuri yang diterbangkannya bagi urusan diplomatik ke Singapura terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Muar, Johor.

"Saya berlepas dari Stesen TUDM Sungai Besi dan dijadualkan ke Kem Mahkota Kluang bagi mengisi minyak. Dalam perjalanan pesawat mengalami masalah teknikal dan terpaksa mendarat di sebuah estet di Kampung Parit Zin.

"Walaupun pelbagai pengalaman ngeri dialami, namun saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada anggota tentera di negara ini. Saya berharap masyarakat menghargai pengorbanan golongan veteran polis dan askar yang melawan penjajah kerana tanpa mereka sudah pasti negara ini masih bergolak," katanya.

Berita Harian X