Selasa, 22 Ogos 2017 | 9:02pm
ORANG ramai terhibur menyaksikan keletah beruk memetik kelapa dalam pertandingan beruk pintar. - Foto Zaman Huri Isa
AKSI beruk pintar memetik kelapa. - Foto Zaman Huri Isa

Pertandingan Beruk Pintar

BACHOK: Bermula sekadar menjadi hiburan, keletah si beruk memetik buah kelapa kini menjadi tarikan pelancongan di Kelantan melalui pertandingan beruk pintar.

Ia juga sebagai aktiviti liburan kepada pemelihara beruk selepas penat bekerja sebelum dikembangkan menjadi pertandingan yang mampu menarik ramai penonton.

Seorang 'otai' dalam pertandingan beruk pintar, Mohd Zulkifli Mat Idris, 42, berkata pertandingan itu cukup mudah iaitu membiarkan beruk memanjat dan menjatuhkan buah kelapa sebanyak mungkin mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.

Katanya, pemenang dikira berdasarkan bilangan buah kelapa yang berjaya digugurkan beruk.

"Bezanya, zaman dahulu pertandingan diadakan di pokok kelapa sebelum ditukar dengan mengikat longgokan buah kelapa di batang kayu yang dipanggil 'galah'.


MOHD Zulkifli (kiri) bersama anaknya sentiasa memastikan beruk sihat dan bersedia sebelum menyertai pertandingan. - Foto Zaman Huri Isa

PEMELIHARA beruk menunggu giliran dalam pertandingan memetik kelapa di Karnival Pantai Irama. - Foto Zaman Huri Isa

"Kaedah permainan masih sama, iaitu beruk perlu menjatuhkan sebanyak mungkin buah kelapa dalam tempoh yang ditetapkan," katanya ketika ditemui dalam pertandingan beruk pintar sempena Karnival Pantai Iramai, di sini.

Pertandingan itu disertai hampir 70 pemelihara beruk yang dianjurkan Majlis Daerah Bachok (MDB).

Katanya, sepanjang lebih 20 tahun bertanding dia sudah menganggap beruk peliharaannya sebagai ahli keluarganya sendiri.

"Antara kenangan paling saya tidak boleh lupakan adalah ketika memiliki beruk yang mempunyai kulit bertompok yang dipanggil Balar. Selain cerdik, Balar juga mampu memetik hingga 800 biji kelapa setiap hari selain sering menang dalam pertandingan," katanya yang memberitahu Balar sudah mati beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Mohamad Faruinzudin Jusoh, 23, berkata dia berbangga kerana kerjaya sebagai pemetik kelapa adalah kemahiran yang diwarisi daripada bapanya, Jusoh Ahmad, 67.

"Antara kemahiran yang diperturunkan adalah cara nak jinakkan beruk, main tali dan kaedah petik kelapa malah di rumah saya ada tempat khas untuk melatih beruk," katanya yang dikenali dengan nama Cikgu Beruk Pok Dik.


MOHAMAD Faruinzudin sentiasa menjaga kebersihan dan membelai beruknya sebelum pertandingan. - Foto Zaman Huri Isa

BERUK perlu menjatuhkan sebanyak mungkin kelapa dalam tempoh yang ditetapkan. - Foto Zaman Huri Isa

Faruinzudin berkata, dia juga turut memberi nama kepada beruk peliharaannya seperti Pok Cek, Merah dan Mat Bong mengikut perangai mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pelancongan MDB, Muslim Che Yusoff, berkata pertandingan beruk pintar menjadi acara tahunan di daerah Bachok berikutan kerjaya pemetik kelapa antara sumber ekonomi masyarakat di sini.

Katanya, pertandingan itu menjadi acara tahunan daerah itu sejak tahun 2012 dengan pengisian acara sampingan lain seperti perlumbaan motocross dan sukaneka penduduk.

"Tujuan diadakan pertandingan ini bagi menarik minat generasi muda dalam mengenali usaha orang lama mencari rezeki dan bagaimana orang dulu melatih beruk bagi mendapatkan buah kelapa.

"Pada masa sama, kita mahu memberitahu generasi muda bahawa melatih beruk ini satu pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi serta mempromosi kerjaya tradisional masyarakat dan industri pertanian sebagai produk pelancongan di Bachok," katanya.

Berita Harian X