Ahad, 17 September 2017 | 11:18pm
BEKAS anggota polis, Ramli Mahali, 67, (kanan) menceritakan pengalamannya ketika bertugas mengawal sempadan perairan Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
GAMBAR lama Ramli Mahali, 67, ketika zaman darurat. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Syukuri nikmat keamanan Malaysia

SANDAKAN: Peristiwa rakan setugas ditembak mati kerana disangka 'mundu' atau lanun dari Filipina tidak pernah luput dari ingatan bekas polis, Ramli Mahali, 67, ketika bertugas mengawal sempadan perairan negara ketika darurat.

Menceritakan pengalamannya itu, Ramli berkata, rakannya yang bertugas di sebuah lagi kapal marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perairan Sandakan, diarahkan ke Mumiang, dekat sini, bagi mendapatkan bekalan makanan menggunakan bot pam.

Katanya, sistem komunikasi yang agak terhad dan cuma bergantung kepada 'walkie talkie' dan teleprinter menyebabkan maklumat mengenai pergerakan anggota itu lambat disampaikan sehingga rakannya itu disangka lanun yang mahu menceroboh perairan menyebabkan ada anggota keselamatan tertembak mangsa.

"Selain konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, Sabah berdepan ancaman lanun dari selatan Filipina yang mahu merompak nelayan, pedagang, selain kerajaan Filipina yang mahu menuntut negeri ini melalui Presidennya ketika itu, Ferdinand Marcos.

"Ketika itu, keadaan kucar-kacir di sini disebabkan cubaan Filipina mahu menuntut Sabah dan pasukan keselamatan dalam keadaan berjaga-jaga, namun malangnya nyawa rakan kami tergadai kerana faktor kelemahan komunikasi," katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.


ANTARA gambar kenangan dalam simpanan bekas anggota polis, Ramli Mahali, 67, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan ketika zaman darurat. - Foto Poliana Ronnie Sidom

BEKAS anggota polis, Ramli Mahali, 67, menyifatkan tugas ketika mengawal sempadan perairan Sandakan amat mencabar. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Ramli berkata, sehubungan itu, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan dikecapi sekarang yang membawa pelbagai kemajuan dan kepesatan pembangunan termasuk dalam aspek sistem teknologi, sekali gus memudahkan kedaulatan dan keselamatan negara dipelihara.

Katanya, tanpa semangat kukuh rakyat ketika itu selain kesanggupan pasukan keselamatan mempertahankan tanah air, tidak mungkin Malaysia boleh menikmati kehidupan senang dalam keadaan makmur seperti hari ini.

"Dulu gaji polis cuma RM107.50 dan tiada apa-apa jaminan kepada keluarga seperti pencen dan Kumpulan Wang Simpang Pekerja (KWSP) yang disediakan sekarang, tetapi semangat juang sangat tinggi kerana tidak mahu dijajah.

"Ketika bertugas di laut, kami cuma tidur atas papan lapis, seminggu tak mandi sebab air tak cukup, malah senjata kami cuma karbain dan bren, tidak secanggih digunakan lanun. Orang kata, jika mati di tangan lanun, kami mati katak," katanya.

Ramli direkrut menjadi polis pada tahun 1966, dua tahun selepas Malaysia diisytiharkan darurat susulan penentangan Indonesia terhadap pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.


BEKAS anggota polis, Ramli Mahali, 67, (kanan) kini Ketua Cawangan Persatuan Bekas Polis Cawangan Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Beliau yang kini Ketua Cawangan Persatuan Bekas Polis Cawangan Sandakan bersara pada tahun 2008 dengan pangkat terakhir sebagai sarjan.

Ramli berkata, polis ketika itu juga bukan saja bertugas menjaga keamanan, malah merangkap sebagai 'anggota bomba' kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat belum diwujudkan.

"Bukan saja jaga keamanan, kami juga ditugaskan untuk memadam kebakaran hutan atau rumah.

"Sekarang, bukan saja bomba, pelbagai agensi sudah diwujudkan yang semuanya memudahkan rakyat dan rakyat perlu bersyukur kerana ini semua hasil pembentukan Malaysia," katanya.

 


BEKAS anggota polis, Ramli Mahali, 67, bergambar kenangan bersama seorang kawan di hadapan Tugu Kebangsaan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO - Konfrontasi Malaysia-Indonesia

  • Tercetus selepas pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
  • Indonesia berpendapat penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.
  • Dasar konfrontasi tamat selepas pemerintahan Presiden Sukarno berakhir pada 1965.
Berita Harian X