Khamis, 19 Oktober 2017 | 10:37pm

Qabil jaguh motor kecil-kecil cili api

KUALA TERENGGANU: Pada usia lima tahun, kanak-kanak sebayanya hanya menghabiskan masa di tadika untuk mengenal ABC atau di padang permainan untuk bergembira bersama rakan-rakan.

Namun, Qabil Irfan Azlan disifatkan sebagai kanak-kanak unik kerana bukan saja mempunyai minat sebagai pelumba motosikal, malah lebih membanggakan dia antara pelumba motosikal mini (pocket bike) paling digeruni serta hebat di litar.

Mendapat jolokan Velentino Rossi Jr kerana gaya, keberanian dan kemahirannya menunggang ala pelumba Itali itu terutama ketika mengambil selekoh tajam di litar.

Walaupun ramai termasuk ibu bapanya risau akan keselamatannya, kanak-kanak itu yang baru setahun bergiat serius dalam dunia permotoran, langsung enggan menoleh ke belakang.

Malah, kemampuan luar biasa kanak-kanak berusia lima tahun itu mengendalikan motosikal mini seperti pelumba profesional melayakkan dia untuk dikenali sebagai ikon permotoran Terengganu.


GAYA Pelumba cilik Qabil Irfan Azlan, 5 bersama motosikal mini miliknya. - Foto Aslina Abu Bakar

SELEPAS tiga bulan menjalani latihan, Qabil menyertai perlumbaan pertamanya di Kulai, Johor dan memperoleh tempat ke-10 daripada 25 peserta. - Foto Aslina Abu Bakar

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang pernah melihatnya beraksi, turut kagum dengan kebolehan dan bakat Qabil Irfan lalu menobatkan kanak-kanak itu sebagai anak angkat sukan permotoran Terengganu.

Siapa sangka permintaan untuk memiliki motosikal sendiri pada usia empat tahun daripada bapanya adalah permulaan buat Qabil Irfan untuk menjadi pelumba motosikal mini paling muda di Malaysia.

"Saya tahu keluarga, terutama ibu bapa bimbang keselamatan saya ketika berlumba. Tetapi saya buktikan kepada mereka saya boleh melakukannya dengan baik.

"Ternyata dengan kejayaan saya di litar, mereka akhirnya akur dengan minat saya dan memberi dorongan serta sokongan sehingga hari ini," katanya kepada BH.

Bapanya, Azlan Abd Rahman, 41, berkata anak kedua daripada tiga beradik itu mula menunjukkan minat terhadap motosikal seawal usia dua tahun lagi.


AZLAN membuat pemeriksaan motosikal mini Qabil di bengkel miliknya di Kampung Ladang Sehat. - Foto Aslina Abu Bakar

"Di usia itu dia gemar mengendalikan motosikal beroda empat, namun bermula tahun lalu minatnya terhadap kenderaan itu semakin serius. Hampir setiap hari dia meminta saya membelikan sebuah motosikal mini untuknya.

"Mulanya saya tidak membenarkan Qabil mengendalikannya kerana bimbang keselamatan memandangkan usianya yang masih muda. Namun, melihat kesungguhan Qabil dan tidak pernah berhenti meminta, saya akhirnya akur," katanya.

Azlan berkata, selepas tiga bulan menjalani latihan, Qabil menyertai perlumbaan pertamanya di Kulai, Johor dan memperoleh tempat ke-10 daripada 25 peserta.

"Qabil hanya mengambil masa singkat untuk mahir mengendalikan motosikal mini dan selepas perlumbaan pertamanya, dia semakin teruja dan sentiasa mengambil bahagian dalam perlumbaan lain.

"Selepas Johor, Qabil menyertai satu lagi perlumbaan di Putrajaya dan ketika itu dia mendapat tempat keenam. Memandangkan ketika itu dia tidak memperoleh hadiah kerana tidak berjaya menduduki podium, dia sedikit kecewa.


QABIL Irfan Azlan, 5, mendapat jolokan Velentino Rossi Jr kerana memiliki keberanian selain cepat menguasai teknik dan kemahiran mengambil selekoh tajam ketika berlumba di litar. - Foto Aslina Abu Bakar

"Bagaimanapun, selepas pertandingan itu, saya lihat Qabil semakin serius berlatih sehinggalah dia berjaya menduduki podium dengan kemenangan tempat kedua dan ketiga untuk dua kategori ketika perlumbaan di Sijangkang, Selangor," katanya.

Azlan berkata, sejak itu bakat Qabil semakin menyerlah dan kerap menjadi juara dalam kategori dipertandingkan.

Beliau yang juga seorang mekanik berkata, meskipun kos penyelenggaraan dan kelengkapan membabitkan dunia permotoran mini tinggi, ia tidak menghalangnya untuk merealisasikan hasrat anaknya itu.

"Bagi saya Qabil adalah anugerah Allah yang cukup bernilai. Melihat kesungguhannya yang sukar dicari ganti, saya reda dan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan sebarang keperluan diperlukannya.

"Alhamdulillah, saya mempunyai ramai sahabat yang membantu dan menyokong minat anak saya ini. Mereka bukan sahaja membantu saya daripada segi kewangan, malah kata-kata semangat juga. 


QABIL berjaya menduduki podium dan menjadi juara ketika perlumbaan di Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Aslina Abu Bakar

"Tidak terkecuali juga kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada anak saya ini," katanya.

Azlan berkata, kini Qabil memiliki dua motosikal mini yang setiap satunya dibeli dengan harga RM18,000.

"Sebuah motosikal mini yang ada sudah berusia 18 tahun dan motosikal ini saya gunakan untuk melatih pelumba satu ketika dahulu dan sebuah lagi baru sahaja dibeli untuk kegunaan Qabil.

"Selain motosikal, saya juga membelanjakan hampir RM15,000 untuk menyediakan kelengkapan keselamatan, termasuk pakaian kepada Qabil ketika mengikuti perlawanan dan latihan," katanya.

Katanya, anaknya pernah beberapa kali terbabit dalam kemalangan sama ada ketika latihan dan perlumbaan. 


PELUMBA cilik Qabil Irfan Azlan, 5, bersama piala kemenangan. - Foto Aslina Abu Bakar

"Paling mengerikan apabila Qabil pernah terbabit dengan kemalangan apabila dia menekan minyak dengan kuat sehingga mengakibatkan motosikalnya melompat dan melepasi longkang sebelum melanggar sebuah kereta ketika di Gong Badak, Kuala Nerus, tahun lalu.

"Sebagai bapa, saya mula rasa takut dan tidak mahu anak saya terbabit dalam dunia permotoran. Tetapi, selepas kemalangan itu, Qabil kelihatan biasa sahaja dan tidak pernah menunjukkan rasa trauma untuk terus mengemudi motosikal mini.

"Malah, setiap petang dia sentiasa meminta saya membawanya ke trek perlumbaan untuk menjalani latihan," katanya.

INFO

Qabil Irfan Azlan:

  • Baru berusia lima tahun.
  • Mendapat jolokan Velentino Rossi Jr kerana keberaniannya.
  • Ikon permotoran Terengganu.
  • Selepas tiga bulan menjalani latihan, Qabil menyertai perlumbaan pertamanya di Kulai, Johor dan memperoleh tempat ke 10 daripada 25 peserta.
  • Memiliki dua motosikal mini yang setiap satunya berharga RM18,000.

Berita Harian X