Rabu, 22 November 2017 | 10:48pm
MAT Kashim ketika ditemuramah di rumahnya di Batu 4, Jalan Kuala Krai. - Foto Fathil Asri

Puncak Pesona kemegahan karya guru pencen

KOTA BHARU: Berstatus guru pencen dan orang kurang upaya, bukanlah penghalang buat insan kreatif ini menghasilkan lukisan yang mengagumkan di rumahnya.

Dengan membuka galeri lukisannya sendiri, Puncak Pesona di Kampung Batu Empat, Jalan Kuala Krai, menjadikan Mat Kashim Mahamad, 64, antara pelukis disegani kerana hasil kerja tangannya bermutu tinggi.

"Saya lebih tertumpu kepada lukisan khat, abstrak dan panorama. Setiap karya ada maksud tersendiri, malah lukisan terbabit akan diberi tajuknya mengikut apa yang dihasilkan.

"Kebanyakan hasil karya yang dihasilkan menerusi imaginasi, penghayatan dan pengalaman hidup dengan memfokuskan unsur ketuhanan," katanya kepada BH.


MAT Kashim Mohamad menerangkan hasil karyanya di rumahnya di Batu 4, Jalan Kuala Krai. - Foto Fathil Asri

Bekas guru Pendidikan Seni yang cacat kedua-dua tangan dan kaki kiri itu, mengakui beliau berminat melukis sejak daripada bangku sekolah tidak pernah menganggap kekurangannya itu, sebagai penghalang untuk berjaya seperti orang lain.

"Setiap lukisan saya biasanya akan digunakan untuk pameran dan dijual. Sebelum ini, ada hasil karya saya dijual dengan harga RM5,000 bagi sebuah lukisan.

"Hasil lukisan saya bukan sahaja dibeli peminat Malaysia, malah pengunjung luar negara seperti dari Korea, Singapura, Sweden, England dan Australia.

"Kebanyakan mereka tertarik dengan hasil karya melalui mainan warna yang nyata memberi maksud tersendiri," katanya yang banyak menghabiskan masa di Puncak Pesona.

Mat Khasim berkata, beliau kini aktif melukis dan menyertai program pameran atau kraftangan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Kelantan.


KARYA Mat Kashim mendapat sambutan pembeli dari dalam dan luar negara. Foto Fathil Asri

"Pada masa yang sama aktif mencipta lakaran landskap yang mendapat permintaan daripada pelbagai jabatan kerajaan dan swasta untuk hiasan pejabat di sekitar Kelantan. Syukur, mungkin berkat orang pencen," katanya berseloroh.

Bapa kepada sembilan anak ini turut aktif menyertai aktiviti sosial dan pameran berkaitan kraftangan serta lukisan di seluruh negara.

Mat Kashim berkata, setiap kali melukis beliau seakan-akan berada dalam dunianya sendiri, meletakkan dirinya dalam suasana sebenar untuk menjiwai setiap karyanya.


ANTARA hasil karya Mat Kashim. Foto Fathil Asri

"Jika apa yang saya lukis itu adalah sebuah air terjun yang indah, saya berasakan boleh mendengar air yang mengalir. Fokus serta minat mendalam adalah kunci utama untuk menghasilkan sebuah lukisan yang berkualiti dan bermakna.

"Saya juga banyak mendapat idea daripada pemerhatian, termasuk kelakuan manusia serta pemandangan di tempat yang pernah saya kunjungi. Setiap keindahan yang dilihat, akan saya terjemahkan menjadi sebuah lukisan," katanya.

Katanya, kesemua anaknya turut mempunyai bakat kreatif dalam bidang seni, terutama dua anaknya iaitu Amir Harith, 28, dan Siti Nabila Syakirin, 22, yang masing-masing berbakat dalam penghasilan songket serta kraftangan tempatan.


HASIL karya Mat Kashim yang terdapat di galeri lukisannya. Foto Fathil Asri

Mat Kashim berkata, masa terluangnya juga lebih banyak dihabiskan dengan membaca terutama buku ilmiah dan kesenian selain aktif memberi motivasi jika menerima undangan.

"Biasanya saya dijemput untuk berkongsi pengalaman melukis serta dijadikan inspirasi kepada orang ramai berikutan kekurangan saya dari segi fizikal tetapi tetap berusaha untuk berjaya seperti orang lain.

"Saya akan terus melukis selagi mendapat sokongan ramai, malah minat saya bagaikan sudah sebati dalam hidup. Melukis adalah segala-galanya bagi saya," katanya yang turut mendapat sokongan daripada isteri, Azizah Abd Wahab, 57.

 

INFO

  • Mat Kashim pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota dan SMK Ismail Petra.

  • Menjadi pelukis berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Kelantan.
  • Menghasilkan lukisan dalam masa dua hari atau sebulan tertakluk kepada saiz dan jenis lukisan.
  • Berita Harian X