Isnin, 12 Februari 2018 | 9:55am

Platform terbaik pencinta haiwan

KUALA LUMPUR: Tidak ada yang lebih menggembirakan bagi 500 pencinta haiwan peliharaan seluruh negara apabila berpeluang berkumpul menjayakan acara Pet's Lover Fiesta (PLF), berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, berakhir semalam.

Program tahunan bermula 3 Februari lalu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung, anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM). Penganjur berjaya menghimpunkan lebih 600 haiwan peliharaan termasuk pelbagai jenis baka kucing, arnab, burung, ikan, hamster, ayam dan itik.

PLF menjadi platform terbaik kepada pencinta haiwan berkongsi pengalaman dan menimba ilmu mengenai panduan penjagaan haiwan dengan sempurna.

Seorang kakitangan swasta, Wan Muinuddin Wan Lokman, 30, yang memelihara kucing baka British Short Hair (BSH) sejak tiga tahun lalu dinobatkan pemenang kategori Kucing Baka Terbaik (anak kucing). Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang.

Beliau ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka kucing BSH yang dipanggil Ah Golden Aqva menewaskan ratusan kucing lain yang tidak kurang hebatnya.

"Saya ada seekor lagi BSH dan turut membela kucing Himalayan iaitu jenis Persian Long Hair (berbulu panjang).


WAN Muinuddin bersama kucingnya yang bernama Ah Golden Aqva yang berusia enam bulan setengah dari baka British Shorthair. - Foto Supian Ahmad

Minat memelihara kucing namun menjadikannya lebih bersabar dan mengisi masa terluang dengan lebih tenang," katanya.

Kategori Kucing Eksotik Terbaik dimenangi Mohd Shariff Cheah dan Kucing Baka Terbaik (Mohd Yusri).

Presiden KKM Khalid Rashid, berkata pemilihan kucing terbaik mengikut piawaian standard Persatuan Kucing Sedunia, haiwan peliharaan perlu 100 peratus baka asli tanpa kacukan.

Beliau berkata, pihaknya menitikberatkan penampilan kucing bagi setiap kategori. Bukan mudah memilih kerana semua peserta mempunyai kriteria dikehendaki.

Selain pertandingan kucing, katanya, PLF mengadakan pertandingan arnab terbaik dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, bertujuan mendidik masyarakat mencintai haiwan dengan menggabungkan elemen kraftangan.

374 dibaca
NORASHIKIN Harizan bersama kucingnya yang bernama Soll-jovi Ucool Caramelladolls yang berusia tujuh bulan dari baka Ragdoll. - Foto Supian Ahmad
GELAGAT kucing dalam acara Pet's Lover Fiesta (PLF), di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
GELAGAT kucing dalam acara Pet's Lover Fiesta (PLF), di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
Berita Harian X