Isnin, 16 April 2018 | 11:25am
PENGASAS Uptown Dreamers Sdn Bhd, Fathiah Shamsuddin (kiri) berucap pada bengkel 'Emotional Make Over' yang dihadiri lebih 40 bekas pesakit barah payudara, anjuran Breast Cancer Foundation (BCF) di Petaling Jaya. - Foto Rohanis Shukri

Lupakan episod sedih

PETALING JAYA: Memprogramkan semula otak atau cara berfikir adalah kaedah penting dalam proses membebaskan daripada belenggu sel barah yang lazim dihidapi pesakit kanser payudara.

Ini boleh dilakukan dengan melupakan ketakutan dan kesedihan penyakit yang dialami, sebaliknya perlu berfikir lebih positif.

Pengasas Uptown Dreamers Sdn Bhd, Fathiah Shamsuddin, berkata terlalu melayan emosi negatif seperti mengenang kesakitan dialami boleh memburukkan lagi tahap kesihatan.

Katanya, terlalu menghayati emosi negatif atau fokus dengan penyakit yang dialami secara langsung tidak boleh membebaskan hormon kortisol yang menyebabkan kesihatan terjejas.

"Justeru, bekas pesakit barah payudara perlu melupakan episod yang pernah dilalui dan tidak terbelenggu dengan kebimbangan atau ketakutan penyakit sama ada penyakit itu bakal berulang atau sebaliknya," katanya pada bengkel 'Emotional Make Over' yang dihadiri lebih 40 bekas pesakit barah payudara, anjuran Breast Cancer Foundation (BCF), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi BCF, Puan Seri Datuk Azrene Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azuwa Abdullah.

Azrene berkata, bengkel berkenaan adalah antara aktiviti yang dijalankan oleh BCF sebagai usaha untuk memperkasakan bekas penghidap barah payudara dalam menjalani kehidupan selepas berjaya mengharungi serangan penyakit itu.

"Penghidap barah payudara perlu menjalani pengembaraan yang panjang, berbeza dengan penyakit yang boleh disembuhkan dalam jangka masa pendek.

"Penyakit ini boleh menyerang kembali walaupun selepas lima hingga 20 tahun disahkan bebas daripada sel barah selain ada turun naiknya," katanya.

Katanya, menyedari hakikat itu, BCF menjalankan pelbagai program secara berterusan untuk memberikan motivasi dan kesedaran kepada wanita termasuk ahli keluarga terdekat mengenai hidup dengan barah.

Barah bukan saja memberikan kesan teruk ke atas pesakit tetapi juga individu di sekeliling mereka seperti anak, suami, ibu bapa dan keluarga.

BCF yang kini dianggotai kira-kira 400 ahli menjalankan pelbagai program sekurang-kurangnya dua kali setahun, termasuk di luar Lembah Klang seperti motivasi, kesihatan dan penyediaan masakan sihat bersama cef terkenal.

394 dibaca
Berita Harian X