Sabtu, 12 Ogos 2017 | 9:01am

Seronok menyusuri Sungai Perak sampai rentung

HUJUNG MINGGU - SANTAI

Oleh Zubir Mohd Yunus

zubir_yunus@bh.com.my

Foto Halimaton Saadiah Sulaiman / BH

Lunyai, rentung tapi padat dengan pengalaman dan yang penting seronok menikmati pengembaraan penuh cabaran!

Itulah yang dialami penulis bersama rakan-rakan media yang berpeluang menyertai pengembaraan menelusuri Sungai Perak dari Dataran Sayong di Kuala Kangsar hingga jeti Resort Pasir Salak, Kampung Gajah.

Bukan sekadar menikmati pemandangan indah, pengembaraan ini juga bagi memberi pendedahan mengenai produk pelancongan di Perak selain kepentingan sumber air, ekosistem akuatik dan penjagaan alam sekitar.

Hampir 90 peratus perjalanan hidup peserta ekspedisi selama tiga hari dalam bot laju, hanya makan, santai dan tidur saja di darat!

Hutan tertua di dunia

Kehidupan yang santai 'atas air' bermula sebaik saja memulakan ekspedisi dari jeti awam Pulau Banding iaitu lokasi terakhir di darat sebelum menelusuri Tasik Temenggor menuju Hutan Simpan Royal Belum iaitu hutan dara tertua di dunia iaitu 130 juta tahun, lebih tua dari Hutan Amazon, Brazil!

Hutan yang gah ini memiliki pemandangan tasik dan pulau batu kapur sangat indah, sekali gus menjadi destinasi pelancongan idaman dalam kalangan pengembara.

Keasyikan menikmati alam ini bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak melihat bunga bunga pakma atau popular dengan nama Rafflesia. ramai beranggapan pakma hanya hidup di hutan Sabah atau Sarawak, sedangkan Hutan Simpan Royal Belum turut menjadi platform melihat bunga berkenaan.

Kami kurang bernasib baik kerana ketika kunjungan ke hutan ini, bunga pakma belum kembang sepenuhnya.

Sumber air kelas 1

Peserta dibawa menginap di Pulau Tali Kail iaitu pulau buatan yang mempunyai resort khusus kepada kaki pancing.

Pelbagai spesies ikan eksotik terutama kelah, patin dan kap merah hidup liar di hulu Sungai Perak yang kualiti airnya dikategorikan sebagai Kelas 1 iaitu sumber air semula jadi.

Ekspedisi diteruskan ke bahagian utara Hutan Belum untuk meninjau 'klinik' hidupan liar. Klinik yang dimaksudkan ialah sira gajah iaitu lokasi gajah, rusa, kijang, harimau belang dan singa memperoleh garam mineral sebagai makanan tambahan. Mereka menjilat campuran tanah dan batu sehingga kawasan berkenaan berlubang lalu terbit garam mineral berwarna kehitaman. Najis gajah baharu berselerak di kawasan itu menandakan haiwan berkenaan baru saja meninggalkan lokasi itu sebelum kami berkunjung. Peserta ekspedisi turut bertembung pelancong asing untuk ke lokasi sama.

Program penetasan tuntung

Walaupun keletihan, ekspedisi diteruskan hingga ke hilir Sungai Perak dan akhirnya tiba di tebing sungai daerah Bota Kanan dinamakan Pasir Telur iaitu lokasi tuntung (sejenis labi-labi air tawar telurnya boleh dimakan), mendarat dan bertelur. Tuntung hidup di Sungai Perak kerana tebingnya yang landai dan tinggi.

Pada abad ke-19, Kesultanan Melayu Kedah dan Perak menjadikan telur tuntung sebahagian daripada santapan Diraja.

Kami melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung), untuk melihat secara dekat anak tuntung yang baharu menetas.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang diiringi Ketua Pengarah JPS Malaysia, Datuk Seri Ir Zulkefli Hassan menyempurnakan upacara pelepasan peserta ekspedisi.

Zulkefli berkata, sepanjang tebing Sungai Perak memang menyajikan panorama menakjubkan, selain kaya dengan budaya dan sejarah Kesultanan Melayu Perak.

"Ini sekali gus menjadi produk pelancongan negeri Perak yang perlu dipelihara dalam usaha menarik perhatian pengunjung serta pengembara domestik sebelum menambah bilangan pelancong antarabangsa tahun demi tahun," katanya.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

* 454 kilometer

Panjang Sungai Perak

* 14,800 kilometer persegi

Kawasan tadahan air

* 90 km

Jarak pengembaraan

* 290,000 hektar

Luas Hutan Simpan Royal Belum

INFO

-------

* Sungai Perak berpunca dari Banjaran Titiwangsa, di sekitar Hutan Simpan Royal Belum yang terletak di utara, penghujung negeri Perak dan mengalir turun hingga ke Bagan Datuk, seterusnya berakhir ke Selat Melaka.

* Air Bersiram Tabal daripada tujuh anak Sungai Perak untuk upacara pertabalan Tuanku Sultan Perak. Anak sungai iatu ialah Sungai Chempias, Sungai Kangsar, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Buaya dan Sungai Menora.

* Makam Diraja dan kaum kerabat kesultanan Perak kebanyakannya terletak di sepanjang tebing Sungai Perak terutamanya di daerah Kuala Kangsar, Manong, Bota, Lambor Kanan, Kampung Gajah, daerah Kinta dan daerah Hilir Perak.

Ends/

772 dibaca
Berita Harian X