Selasa, 5 September 2017 | 7:54pm

Perth mesra pelancong Muslim

MEMILIH destinasi pelancongan luar negara yang mempunyai restoran menghidangkan makanan halal dan masjid, sememangnya cabaran bagi pengembara khususnya yang beragama Islam.

Bagaimanapun, ia bukan masalah bagi mereka yang merancang percutian ke Perth, Australia yang terkenal dengan pelbagai pilihan restoran halal dan masjid.

Lebih menarik, bandar raya terbesar di Australia Barat itu mempunyai lima restoran halal yang menyediakan hidangan terkenal Malaysia seperti sate, rendang daging, laksa, nasi lemak, lontong, dan nasi ayam.


MAKANAN laut yang ditawarkan menjadi antara tarikan pelancong Muslim ke Perth, Australia Barat.


MAKANAN berasaskan produk tempatan menunggu pengunjung ke Perth, Australia Barat.

Restoran Insan's Cafe yang terletak di Murray Street terkenal dengan hidangan makanan Malaysia dan barat manakala Restoran Makan2 di Victoria Park menawarkan hidangan seperti laksa, nasi goreng, mi tomyam dan rendang daging.

Restoran Satay on Charcoal di Mends Street pula menggunakan konsep kasual menawarkan hidangan sate yang dipanggang atas arang manakala restoran MyRasa dikenali dengan sajian Lontong Johor.

Selain itu, Dining Delights di Manning Road sentiasa dipenuhi penduduk tempatan dan pelancong asing yang ingin mencuba nasi lemak ayam.

Selain restoran halal, Perth juga mempunyai komuniti Islam yang aktif dengan masjid mudah ditemui di kawasan bandar serta pinggir bandar.


ANTARA suasana di sebuah restoran di Perth, Australia Barat.

Masjid Perth adalah masjid tertua di bandar raya itu dan terletak secara strategik serta mudah dikunjungi orang ramai.

Pengembara juga boleh menunaikan solat di Musalla Bandar Perth dan beberapa masjid di Rivervale, Mirrabooka, Beechboro dan Hepburn.

Selain itu, Perth turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pengembaraan air di Adventure World, snorkeling di Taman Laut Marmion serta melawat Taman Hidupan Liar Caversham.

Antara tarikan utama Perth ialah Kings Park dan Taman Botani yang menjadi salah satu taman dalam bandar terbesar di dunia dengan kedudukannya yang strategik.


KUNJUNGAN ke pasar malam di Perth, Australia Barat adalah antara tarikan yang menjanjikan pengalaman menarik.

Di Presint Peringatan Perang Negara di Mount Eliza dan Taman Botani Australia Barat pula ia antara beberapa mercu tanda dan tarikan istimewa ke Kings Park. Malah, taman ini menjadi kediaman kepada lebih 300 jenis tumbuhan natif dan 80 spesies burung.

Selain itu, taman berkenaan turut menyediakan pemandangan Sungai Swan dan Banjaran Darling.

Kunjung anda tidak akan lengkap sekiranya tidak ke Fremantle yang mengandungi deretan pasar atau kedai yang menawarkan pelbagai fesyen dan cenderahati tempatan.

Pasar Fremantle dibuka dari Jumaat sehingga Ahad yang turut menawarkan buah-buahan dan sayuran segar kepada pengunjung. Di sini anda juga dapat menikmati gabungan eksentrik penghibur jalanan (busker), gerai-gerai jualan dan barangan.

Selepas penat membeli-belah, tentunya jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan fish & chips di Fishing Boat Harbour. Puaskan selera anda dengan kepelbagaian cita rasa tempatan di pelbagai restoran dan kafe yang menerima pensijilan halal di sana.


PASAR Fremantle di Perth, Australia Barat antara tempat yang wajib dikunjungi.

Juga lawati pelbagai muzium, galeri seni dan tarikan bersejarah seperti Penjara Fremantle, satu-satunya bangunan di Australia Barat yang dalam senarai bangunan warisan dunia.

Bagi yang mengembara bersama keluarga ke Perth, destinasi ini menawarkan pelbagai tarikan sesuai untuk bersantai seisi keluarga. Rasai keseronokan pengembaraan air di Adventure World yang terletak hanya 25 minit dari Perth manakala hanya 15 minit dari Fremantle dengan menaiki kereta.

Taman tema berkenaan boleh diakses menggunakan pengangkutan awam dari stesen kereta api pusat Fremantle dan Cockburn melalui laluan bas 520.

Adventure World merupakan satu-satunya taman tema/taman air di Perth dan sesuai untuk pengunjung muda mahupun berusia yang ingin merasai pengembaraan yang menyeronokkan.

Di bahagian utara Perth, Taman Laut Marmion terkenal sebagai syurga snorkelling dan aktiviti menyelam dengan paparan panorama keindahan terumbu karang, tebing, gua-gua dan lagun yang jernih.

Ia juga lokasi tumpuan untuk memerhati paus ketika musim tertentu. Burung laut, dolfin, singa laut, ikan pari dan pelbagai spesies laut lain menggelar pinggir laut itu sebagai kediaman mereka.


PEMANDANGAN kota Perth, Australia Barat yang indah pada awal pagi menggamit pelancong.

Paus kelasa yang berhijrah juga boleh dilihat antara bulan September dan Disember. Sertai kumpulan memerhati paus di Hillarys Boat Harbour untuk melihat lebih dekat pengunjung alam yang agung ini.

Dengan hanya 30 minit dari Utara CBD Perth, Taman Botanikal Wanneroo menawarkan kaleidoskope berwarna-warni dengan pepohon tinggi, paparan bunga-bunga dan batuan indah serta air terjun.

Turut terdapat padang golf mini dengan lebih 36 lubang yang menawarkan kegembiraan dan ada kalanya, kekecewaan, bagi seisi keluarga dalam salah satu persekitaran taman unggul di Perth.

Kepada mereka yang mengembara bersama rakan-rakan, kembara anda tidak akan sah ke Perth tanpa mengunjungi Taman Hidupan Liar Caversham bagi bertemu kanggaru, wombat dan koala.

Malah, anda juga berpeluang menonton persembahan ladang yang lengkap dengan mengetam bulu kambing.

Berhentilah untuk menikmati makan tengah hari di Ladang Anggur Swan Valley yang disajikan dengan hidangan halal yang enak


PEMANDANGAN Fremantle di Perth, Australia Barat dari udara.

The Pinnacles pula tentunya pilihan lawatan yang berbaloi meskipun dua jam perjalanan ke utara Perth. Berada bersebelahan bandar Cervantes dan dalam landskap gurun Taman Negara Nambung, The Pinnacles merupakan formasi batu kapur yang mengagumkan, setinggi sehingga empat meter yang terbentuk daripada kulit cengkerang sejak ribuan tahun lalu.

Sekiranya anda ingin kegiatan lasak, cuba luncur pasir di Bukit Pasir Lancelin.

Fakta menarik mengenai Halal di Perth

  • Ingin merasai kuisin Timur Tengah? Kunjungi William and Murray Street untuk menikmati hidangan hummus segar dan kebab enak di restoran Chee Tayeb and Ispa Kebabs.
  • Serlahkan ciri-ciri kesukarelawanan dalam diri anda bersama Halal Food Bank Perth! - Sebuah projek bantuan makanan di Perth yang 100% berteraskan usaha sukarela yang memberi tumpuan dalam memberi khidmat kepada komuniti tempatan dengan menyediakan sokongan makanan kepada golongan yang memerlukan makanan Halal.
  • Taman Hidupan Liar Caversham menyajikan makanan halal. Anda boleh mendapati sajian kari dan nasi, malah pie di sini.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh bertemu dengan wakil Tourism Western Australia di Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) (Ruang Pameran 1M29) pada 8 hingga 10 September ini atau melayari www.westernaustralia.com.

852 dibaca
Berita Harian X