Isnin, 6 November 2017 | 9:50pm
SEEKOR burung kakaktua spesies Budgie bertenggek diatas tangan seorang remaja. - Foto Harun Yahya
DUA orang remaja tertarik bermain dengan burung yang jinak di pameran burung anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Burung Sibu. - Foto Harun Yahya

Bela burung eksotik jana pendapatan

SIBU: Semuanya bermula sebagai hobi, namun pemilik bengkel kereta, Mohd Annuar Mahrup, 27, dari Kampung Hilir, di sini, sama sekali tidak menyangka aktiviti masa terluang itu mampu menjana pendapatan sampingan yang lumayan.

Mohd Annuar berkata, beliau tertarik memelihara burung kakaktua kerana kecerdikannya, selain mempunyai keindahan bulunya yang berwarna-warna dan unik.

Burung kakaktua miliknya dibiakkan sendiri, malah dijaga rapi bagai 'menatang minyak yang penuh' hingga ada dalam kalangan pencinta burung sanggup membayar harga tinggi bagi mendapatkan 'koleksi' beliau.

"Ia dijual mengikut tahap pembesarannya. Lebih matang burung itu, lebih mahal harganya berikutan risiko untuk haiwan ini mati lebih rendah kerana burung ini sudah pandai berdikari dan makan sendiri tanpa perlu disuap oleh tuannya.

"Burung kakaktua dari spesies Eclectus antara yang paling mahal. Ia boleh mencecah harga RM3,000 seekor. Spesies Budgie agak murah, cuma sekitar RM150 hingga RM300 seekor, diikuti spesies Cockatiel (RM500 ke RM800 seekor)," katanya.


MOHD Annuar Mahrup, 27 pemilik Owner Workshop di Kampung Hilir kini mempunyai pelbagai jenis burung peliharaan. - Foto Harun Yahya

PENGUNJUNG bermain-main dengan burung yang sudah dijinakkan di Dataran Fasa 2 Sibu. - Foto Harun Yahya

Annuar berkata, beliau menjual burung untuk membiayai kos penjagaan burung itu sendiri yang membabitkan kos yang agak tinggi terutama untuk spesies Eclectus.

"Spesies Eclectus makan buah-buahan seperti betik, jagung dan epal. Ia juga gemar memakan bijirin yang dijual pada harga RM180 sepaket (dua kilogram). Jadi, apabila menjual burung ini pada harga RM1,000 hingga RM3,000, dapatlah saya menampung kos penjagaannya," katanya.

Beliau menjelaskan keuntungan bulanan juga tidak menentu kerana ia bergantung kepada berapa ekor burung yang berjaya dibiakkan, selain mengambil tempoh beberapa bulan untuk memberi masa untuknya 'berdikari'.

"Sebenarnya, membeli haiwan ini dari pembiak seperti kami adalah jauh lebih murah dari membeli di kedai haiwan. Lagipun, saya sendiri akan mengajar pembeli bagaimana mahu menjaganya, menjinakkan dan panduan pemakanan bagi memastikan burung sentiasa sihat dan mendapat diet yang betul," katanya.

Mengenai penyertaannya dalam pameran burung di Dataran Fasa 2 Sibu, di sini, Mohd Annuar berkata, ia sebagai platform memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai hobi memelihara burung sebagai haiwan kesayangan.


ANNUAR menerangkan cara memelihara burung kepada seorang pengunjung pameran. - Foto Harun Yahya

BURUNG Kicau diletakkan di dalam sangkar dan digantung di dahan pokok untuk tatapan pengunjung. - Foto Harun Yahya

"Di sini, orang ramai lebih mengenali haiwan seperti kucing dan anjing. Kami mempamerkan burung ini untuk memberi peluang kepada mereka bermain dengan burung yang sudah dijinakkan.

"Kelab Sukan dan Rekreasi Burung Sibu akan mengadakan pameran setiap petang Ahad, bermula jam 4 petang hingga 6 petang. Selain kakaktua, kami juga membawa burung kicau ke lokasi pameran.

"Burung kicau adalah burung yang mengeluarkan bunyi kicauan merdu yang menarik perhatian orang ramai. Pada pertandingan burung kicau, burung itu dinilai dari gaya ekornya ketika berkicau dan suara kicauannya. Burung ini juga pandai meniru suara burung lain," katanya.

Berbanding burung spesies Lovebird dan Cokateil, burung kicau agak sukar untuk dijinakkan, malah mengambil masa sehingga enam bulan untuk tujuan itu.


SEEKOR burung kakaktua spesies Budgie bertenggek diatas tangan seorang remaja. - Foto Harun Yahya

BURUNG spesies Cokateil merupakan salah satu jenis burung yang boleh dijinakkan. - Foto Harun Yahya

"Selepas jinak, barulah burung ini mahu berkicau riang seperti yang kita sering dengar di pertandingan burung kicau," katanya.

Bagi Annuar, walaupun menjana pendapatan dari hobi ini, keuntungan bukanlah sesuatu yang dikejar dalam hobi ini.

"Saya sendiri pernah melepaskan burung dari spesies haiwan terlindung ke hutan. Saya hanya menjaganya sehingga dewasa. Selepas besar, saya akan membawanya ke lokasi jauh dari kawasan kediaman manusia untuk dibebaskan," katanya.

INFO

  • Burung kakaktua dari spesies Eclectus antara yang paling mahal, harga boleh mencecah RM3,000 seekor.
  • Spesies Budgie agak murah, cuma sekitar RM150-RM300 seekor, diikuti spesies Cockatiel, RM500-RM800 seekor.
  • Berbanding burung spesies Lovebird dan Cokateil, burung kicau sukar dijinakkan, malah mengambil masa sehingga enam bulan untuk tujuan itu.
Berita Harian X