Ahad, 1 April 2018 | 10:58am

Hidupan laut tercantik

"KALI pertama mencuba, saya terus jatuh cinta, malah sentiasa mencari peluang melakukannya," kata Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Norhuda Salleh apabila mengenai minatnya meneroka dasar laut menerusi aktiviti menyelam skuba.

Tidak pernah terbayang pada fikirannya suatu hari nanti, berpeluang berenang dan berjalan di dasar laut sambil menikmati pemandangan indah hidupan marin.

Lebih menyeronokkan apabila dapat menyentuh batu karang hidup pelbagai rupa, saiz dan warna, sambil berenang bersama-sama sang penyu serta belut gergasi.

Norhuda berkata, peluang keemasan itu diperolehnya apabila seorang pelajar luar kampus mengajaknya bersama-sama menyelam skuba di Pulau Mabul.

"Paling teruja apabila diberitahu, pelajar terbabit mempunyai rakan juga produser filem dokumentari, Joe. Memandangkan mereka berdua melakukan penggambaran 'Discover Scuba Diving' di dasar laut di pulau berkenaan, lalu dipelawa menjadi 'pelakon'.

"Selain Mabul, Pulau Kapalai dipilih menjadi lokasi penggambaran kerana kedua-duanya memiliki terumbu karang yang indah dan kehidupan marinnya yang mengagumkan," katanya kepada BH.


NORHUDA (depan) dibantu Joe ketika melakukan selaman skuba di perairan Pulau Kapalai.

Norhuda berkata, beliau tidak pernah menyelam skuba sebelum ini, sebaliknya melakukan "snorkeling" di beberapa pulau sekitar Sabah.

Beliau berkata, selepas Joe menunjukkan foto keindahan di dasar laut, saya tertarik mempelajari selaman skuba.

"Ketika itu, Joe hanya memberi penerangan 15 minit. Ini termasuk mengajar kemahiran komunikasi asas ketika berada di dalam air dan prosedur menggunakan peralatan menyelam.

"Selepas itu, kami bersama-sama menyelam di perairan Pulau Mabul dengan kedalaman enam meter dan di Pulau Kapalai sedalam 13 meter," katanya.

Kali pertama bernafas menerusi mulut di dalam air amat menyukarkan kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini.

Norhuda berkata, pakej Discover Scuba Diving atau dikenali sebagai 'Fun Dive' ini termasuk kos penginapan di resort kedua-dua pulau berkenaan.

"Program ini dikendalikan tenaga pengajar yang diiktiraf Persatuan Profesional Pengajar Menyelam (PADI) dan mematuhi peraturan keselamatan standard," katanya.

Norhuda tidak memerlukan lesen kerana kedalaman air kurang 10 meter. Sebelum melakukannya pengunjung diajar konsep keselamatan asas, teknik memakai peralatan dan berenang di dalam air di bawah bimbingan penyelam berpengalaman.


CANTIK dipandang tetapi amat bahaya apabila dipegang.

INFO
Pulau Mabul

  • 12 pulau tercantik di Sabah

  • Lokasi terbaik di dunia untuk jurugambar bawah laut.
  • Terletak di kawasan air laut jernih Laut Celebes di luar tanah besar Sabah.
  • Dikelilingi terumbu karang lembut pada kedalaman dua ke 40 meter.
  • Keluasan 21 hektar, lebih besar dari Pulau Sipadan.
  • Antara hidupan laut di sini ialah kuda laut, tapak Sulaiman eksotik, ikan gobi "Fire", ikan buaya, ikan "Pipe" dan belut laut.
  • Untuk ke Pulau Mabul, perjalanan menaiki bot mengambil masa 30 minit dari Semporna dan 20 minit dari Pulau Sipadan.
961 dibaca
SEEKOR penyu hijau kelihatan bermain-main di batu karang Pulau Mabul.
Berita Harian X