Ahad, 6 Mei 2018 | 12:58pm
HIDANGAN menu kampung oleh Cef Noraidah. - Foto Nurul Shafina Jemenon
CEF Noraidah kongsi kemahiran memasak sambal udang.
NORAIDAH (kiri) bersama media dan makanan yang dimasaknya di Elda's Farmhouse. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kunjungi lokasi sajian hebat di Lembah Klang

MISI pencarian menu lazat menerusi pemanduan bersama jentera hebat Jerman Volkswagen (VW) ke sekitar Lembah Klang memberikan pengalaman istimewa.

Pemanduan bermula dari pusat bandar Kuala Lumpur menuju Hulu Langat bersama lima varian terkini lebih lancar, tangkas dan dilengkapi ciri keselamatan sempurna.

Program bertemakan "Food Discovery with Volkswagen memberi kesempatan penulis memandu lima kereta mewah jenama itu silih berganti sepanjang perjalanan lebih 150 kilometer, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kenderaan itu memudahkan pencarian menu istimewa iaitu Vento Highline, Golf Sportline, Passat Comfortline Plus, Tiguan Highline dan Beetle Sport.

Ketua Pemasaran Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Isabela Pascu memulakan perjalanan dengan sesi penerangan kepada wakil media.

Destinasi pertama, kopitiam milik usahawan Cina, sudah diusahakan oleh tiga generasi berniaga di Pekan Batu Lapan Belas, Hulu Langat.

Merasai keenakan roti bakar dan kukus bersama air barli sejuk, dihidangkan bersama kaya perisa asli dan pandan dihasilkan sendiri oleh pengusahanya.

Belajar gulung popia basah

Pemanduan diteruskan ke Elda's Farm House, Semenyih. Rumah kampung dengan suasana hijau, kawasan tanah berhampiran dimanfaatkan dengan tanaman pelbagai spesies herba, pokok sayur-sayuran dan buah-buahan. Tetamu disambut dengan hidangan nanas dan mangga.

Berehat sebentar di rumah milik Cef Noraidah Lembang, hidangan menu kampung seperti lemak cili padi rebung dan ayam kampung, ikan bawang putih, daging dendeng, sambal udang dan sayur goreng, dipetik segar dari kebun berhampiran.

Kesempatan mempelajari kaedah memasak sambal udang dengan rasa enak menerusi demonstrasi masakan oleh Cef Noraidah.

Petua beliau sambal harus dikisar bersama kunyit hidup bertujuan menaikkan warna, bawang ditumis sehingga naik bau selain menggunakan bahan segar tanpa pengawet.

Destinasi mencari diteruskan dengan memandu kereta Golf, berprestasi tinggi pilihan ini menawarkan revolusi reka bentuk serasi dengan pelbagai peringkat umur.

Pemanduan mencabar

Kenderaan dipandu menghala ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, peserta berpeluang belajar menggulung popia basah, makanan popular terutama dalam kalangan masyarakat Cina.

Di lokasi sama, pengembaraan lebih mencabar apabila penulis memandu beberapa kereta jenama itu termasuk Passat dan Tiguan, menerusi teknik pemanduan dinamik oleh jurulatih pemanduan di lapang sasar di lokasi itu.

Sebagai jenama kenderaan yang mementingkan ciri keselamatan, penulis mencuba menekan brek pada kelajuan 60 km/j, secara tiba-tiba dan membelok pantas seumpama mengelak halangan di hadapan, begitu mendebarkan.

Bagaimana pun, brek jentera jenama ini bukan saja mencengkam kemas, tujahan enjin lancar dan berhenti tepat tanpa 'menggoncang' pemandu. Begitu juga teknik pemanduan halangan tanpa menggunakan brek dicuba boleh diaplikasi ketika berhadapan saat cemas.

Tampil ranggi

Memandu model Passat dengan keselesaan konsep dalaman eksekutif. Kelajuan tertentu pemanduan lebih pantas, pilihan tepat untuk perjalanan jarak jauh.

Jika anda lincah dan gemar rekaan model 'gagah', kenderaan utiliti sukan (SUV) Tiguan disarankan terutama buat pemandu berkeluarga untuk tampil lebih ranggi.

Menuju destinasi akhir di kawasan Kiara View, Bukit Kiara, menyaksikan proses menghasilkan keju jenama tempatan Milky Whey memang menarik.

Tuan rumah Anissa Iwan menghidangkan keju segar dengan kudapan sampingan iaitu biskut rangup bersama kacang dan buah.

info

* Kunjungi empat destinasi sekitar Lembah Klang dan Hulu Langat

* Menaiki 5 kenderaan jenama Volkswagen

* Mencari destinasi dan menu makanan popular tempatan

179 dibaca
Berita Harian X